Baru-baru ini, Paramount Pictures mengesahkan bahawa pelakon terkenal, Kristen Bell, telah dipilih untuk menyumbang suara bagi watak Amy Rose dalam filem sinematik Sonic the Hedgehog 4 yang akan datang.
Namun, bagi penonton yang baru mengenali dunia Sonic, timbul lah beberapa persoalan termasuk: Siapakah itu Amy Rose?
Kemunculan dalam ‘Sonic 3’
Bagi pentonton yang setia menunggu sehingga tamat babak mid-credits Sonic the Hedgehog 3, kelibat Amy Rose sebenarnya sudah pun diperkenalkan. Di tengah-tengah kekecohan di New York State Park, Sonic sedang diburu oleh angkatan Metal Sonic yang jahat.

Tiba-tiba, seorang penyelamat misteri muncul dan menghancurkan hampir kesemua robot tersebut dengan hanya menggunakan tukul gergasi. Apabila sosok itu menurunkan kepala jubah, wajahnya adalah seekor landak merah jambu. Inilah kali pertama Amy Rose diperkenalkan secara rasmi dalam versi filem.

Walaupun plot masih dirahsiakan, peranan Amy Rose dan Metal Sonic dalam Sonic the Hedgehog 4 dijangka sangat besar. Malah, angka “4” pada logo rasmi filem tersebut sengaja diletakkan warna merah jambu, iaitu warna tema Amy.

Sonic the Hedgehog 4 akan ditayangkan pada 19 Mac 2027.
Dalam Dunia Gaming Sejak 1993
Amy Rose bukanlah watak baharu dalam sejarah Sonic. Dia merupakan watak legenda yang dicipta oleh Kazuyuki Hoshino. Amy mula muncul dalam manga terbitan Shogakukan sebelum membuat debut rasminya dalam game Sonic the Hedgehog CD pada tahun 1993, di mana mulanya dikenali dengan gelaran “Rosie the Rascal.”

Sepanjang lebih tiga dekad, Amy telah menjadi watak tetap dan wajah utama dalam pelbagai judul terbitan Sega, termasuklah siri Sonic Adventure, Sonic Heroes, dan Sonic the Hedgehog (2006) di mana dia merupakan watak yang boleh dimainkan.
Namun, dalam beberapa judul lain seperti Sonic Adventure 2, peranannya dihadkan sebagai watak sampingan sahaja.

Amy dikenali sebagai seorang yang sangat optimis, ceria, dan sentiasa bersemangat untuk membantu rakan-rakannya. Dia juga cukup terkenal dengan perasaan cintanya terhadap Sonic dan sering mendakwa dirinya sebagai teman wanita landak biru itu.
Walaupun Sonic tidak mengendahkannya, sebenarnya Sonic sangat menyayangi Amy namun terlalu malu dan gugup untuk mengakuinya. Kerana tidak memiliki kelajuan luar biasa seperti rakan-rakannya yang lain, Amy mempertahankan diri dengan “Piko Piko Hammer.”









Discussion about this post