David Jaffe, individu yang bertanggungjawab membina francais God of War, tidak menahan sabar semasa mengkritik game terbaharu dalam siri berkenaan. Selepas pelancaran mengejut judul spinoff side-scrolling, Sons of Sparta di PlayStation 5 minggu lalu, Jaffe terus membidasnya melalui media sosial dengan ulasan yang sangat pedas.
Beliau menyifatkan projek tersebut sebagai sesuatu yang membosankan, tidak cerdik, serta gagal memahami identiti jenama yang telah beliau bina selama ini.
Game ini merupakan hasil kerja pembangun indie, Mega Cat Studios, yang memfokuskan gaya retro. Dijual pada harga RM 131.44, ia merupakan sebuah prequel bergenre Metroidvania yang mengisahkan Kratos dan adiknya, Deimos, semasa fasa latihan awal mereka di Sparta.
Walaupun Sony mungkin menganggap judul eksperimental ini sebagai satu tarikan unik, ia sebaliknya menimbulkan kemarahan daripada pencipta asal francais tersebut yang cukup vokal semasa menyuarakan pendapatnya.
Menerusi video di YouTube setelah menghabiskan sejam bermain, Jaffe meluahkan kekecewaan. Walaupun beliau mengakui sudah lama menyokong konsep God of War dalam format 2.5D, beliau menegaskan bahawa Sons of Sparta telah tersasar jauh dari segi pembawaan watak dan suasana permainan yang sepatutnya.
“Saya sudah beli game ini… saya tidak suka dan tidak akan mengesyorkannya kepada sesiapa,” jelas Jaffe kepada pengikutnya.
Beliau turut mempersoalkan kewujudan projek tersebut dengan berkata, “Apa yang mereka fikirkan sebenarnya? Game ini tidaklah teruk sangat—mekanik kawalannya pun memuaskan—tapi saya langsung tidak faham kenapa game ini perlu wujud.”
Fokus utama kritikan Jaffe adalah pada pendekatan naratifnya yang dianggap terlalu penuh dengan dialog sehingga mengganggu rentak aksi. “Janganlah jadikan dia sekadar budak biasa yang hambar, seolah-olah kita sedang menonton rancangan kartun Kids WB,” ulasnya lagi.
Beliau turut mengecam penulis yang terlalu mahu menceritakan latar belakang watak, sedangkan bagi beliau, idea sebegitu adalah mengarut dan tidak diminati oleh sesiapa.
Menurut Jaffe, apa yang peminat mahukan adalah sesuatu yang lebih agresif, serius, dan berdarah seperti Blasphemous atau aksi pantas ala Ninja Gaiden, bukannya sebuah kisah asal-usul yang “dibersihkan”.
Beliau membuat perbandingan dengan berkata, “Ia seumpama anda memegang lesen filem John Wick tetapi menghasilkan filem tentang dia sekadar duduk berbual-bual di kedai kopi.”
Pada mulanya beliau berkata tidak akan menyambung game itu, tetapi Jaffe akhirnya memuat naik video ulasan kedua berdurasi 30 minit selepas mencuba game tersebut selama tiga jam lagi. Kali ini, kritikan beliau beralih daripada isu kebosanan kepada masalah teknikal yang lebih serius.
Dalam video itu, Jaffe menyenaraikan pelbagai kelemahan termasuk gangguan visual atau “visual noise” yang mengelirukan sewaktu bertarung, rekaan seni yang tidak konsisten sehingga menjejaskan kualiti gameplay, serta user interface yang penuh dengan pepijat.
Beliau turut mengecam kualiti dialog yang dianggap “tahap kanak-kanak” serta lakonan suara yang mengecewakan, sambil melabelkan game ini sebagai produk yang masih belum bersedia untuk dipasarkan.
“Ini adalah satu penghinaan kepada peminat,” simpul Jaffe. “Malah, ia juga menghina mereka yang telah bekerja keras membina siri asal jika pembangun fikir watak sebegini adalah apa yang dimahukan oleh orang ramai. Ia sampah. Nasihat saya, elakkanlah daripada membeli benda ini.”









Discussion about this post