Menerusi acara State of Play hari ini, pembangun Game Freak bersama Fictions akhirnya mendedahkan tarikh pelancaran bagi game terbaharu mereka Beast of Reincarnation.
Action RPG ini, yang membawakan konsep “seorang manusia, seekor anjing,” akan dilancarkan secara rasmi pada 4 Ogos 2026 bagi PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam serta Microsoft Store.
Game ini turut disahkan akan tersedia sebagai judul Day One di Xbox Game Pass. Bersama info ini, beberapa bahagian tentang gameplay juga didedahkan:
Diarahkan oleh Kota Furushima, Beast of Reincarnation membawa pemain ke Jepun pada tahun 4026, di mana segala-galanya telah musnah akibat serangan wabak misteri yang digelar “Blight.” Naratif berpaksi kepada dua watak utama: Emma dan Koo.

Emma ialah seorang “Blightborn,” insan terpinggir yang tubuhnya telah bersatu dengan hidupan tumbuhan. Keadaan ini mengubah rambutnya menjadi sulur paut, yang juga menjadi mekanik utama dalam gameplay.
Anda boleh menggunakan rambutnya untuk menghayun merentasi jambatan runtuh, memanjat dinding yang tinggi, malah melakukan silent assassination dengan menjatuhkan diri ke arah musuh.
Manakala rakannya, Koo, merupakan seekor “malefact”… makhluk yang biasanya dianggap sebagai ancaman kepada umat manusia. Walaupun Emma memikul tanggungjawab sebagai seorang “Sealer” yang menyerap blight untuk melindungi saki-baki manusia yang ada, takdirnya akhirnya terikat dengan Koo.

Dari segi gaya gameplay, apabila mengawal Emma, kita akan terlibat dengan aksi real-time action yang memfokuskan kepada serangan jarak dekat dan ‘precision parries’. Namun, pemain tidak akan berjuang sendirian.
Setiap kali berjaya menangkis serangan musuh, anda akan mengumpul mata yang membolehkan Koo memberikan bantuan.
Dengan menekan butang Segitiga, command menu akan dibuka dan masa akan menjadi perlahan, memberi peluang kepada pemain untuk memilih abiliti khusus yang akan dilaksanakan oleh Koo (seolah-olah seperti mekanik dalam turn-based RPG tradisional).

Kesan blight dalam dunia ini bukan sekadar membawa maut, malah ia mampu mengubah keadaan sekeliling secara drastik. Semasa meneroka, persekitaran boleh berubah secara real-time.
Anda mungkin pada awalnya sedang berjalan di kawasan padang pasir yang tandus, namun dalam masa beberapa saat sahaja, sebuah hutan yang lebat dan subur boleh muncul secara tiba-tiba dari rekahan tanah.
Ini bukanlah gimik semata-mata. Perubahan pada landskap boleh mencetuskan kemunculan “malefacts” baharu yang lebih berbahaya, sekaligus memaksa pemain untuk sentiasa berwaspada dengan perubahan rupa bumi di sekeliling mereka.









Discussion about this post