Sejak diumumkan pada Januari 2025, Sony Pictures dan PlayStation Productions akhirnya menetapkan tarikh masa rasmi bagi adaptasi filem francais sains fiksyen popular, Helldivers. Filem ini dijadualkan tayang pada 10 November 2027.
Apa yang lebih menarik, bintang ternama Jason Momoa telah disahkan bakal menerajui filem ini.
Bagi mereka yang kurang tahu, Helldivers adalah sebuah game sains fiksyen yang menggabungkan aksi dengan elemen satira. Berlatarkan masa hadapan yang jauh, pemain menggalas watak sebagai tentera elit dari “Super Earth” yang dihantar ke planet-planet berbahaya di seluruh galaksi.
Misi utama mereka adalah untuk menyebarkan “Managed Democracy.” Walaupun kedengaran murni, ia sebenarnya adalah satu bentuk parodi terhadap semangat patriotisme dan propaganda melampau.
Dalam perjuangan ini, para Helldiver perlu berhadapan dengan dua ancaman besar: Terminids, iaitu makhluk asing gergasi yang menyerupai serangga, dan Automatons, iaitu tentera robot yang kejam.

Filem ini turut disokong oleh barisan belakang tabir yang berpengaruh. Projek ini diterbitkan oleh Hutch Parker bersama Asad Qizilbash dari PlayStation Productions. Turut serta adalah Justin Lin, pengarah berprofil tinggi yang sebelum ini menguruskan francais Fast & Furious dan Star Trek Beyond.
Menerusi syarikatnya, Perfect Storm Entertainment, Lin dijangka akan membawa kepakaran beliau dalam menyusun koreografi aksi berskala besar.
Keputusan Sony untuk membawa Helldivers ke layar perak bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika melihat kepada impak luar biasa permainan videonya. Sehingga sekarang, Helldivers II masih lagi menjadi antara game paling dominan dalam industri, dan berjaya mengekalkan pangkalan peminat yang sangat setia.
Walaupun asalnya hanya tersedia untuk PlayStation dan PC, siri ini kini telah meluaskan pengaruhnya ke konsol Xbox Series, selain boleh didapati di PlayStation 5 dan Steam.









Discussion about this post