Netflix nampaknya semakin rancak mempromosikan musim kedua siri live-action One Piece. Jika sebelum ini kita hanya diacah dengan teaser, trailer terbaharu benar-benar “belanja” kami dengan aksi yang lebih padat.
Antara yang paling mencuri tumpuan dalam trailer ini sudah tentulah Tony Tony Chopper. Disuarakan oleh Mikaela Hoover, watak kegemaran ramai ini dilihat mula berinteraksi dengan ahli kru yang lain.
Visual juga nampak semakin hebat. Kami diberi peluang melihat ikan paus gergasi Laboon dengan lebih dekat, yang digambarkan sama seperti yang kita lihat dalam manga serta anime asalnya.
Suasana kemudian bertukar cemas apabila kru Straw Hat tiba di pulau Little Garden. Di sini, kualiti adaptasi live-action benar-benar diuji apabila Luffy dan rakan-rakan perlu berdepan dengan dinosaur gergasi sambil mengelak jerat maut yang dipasang oleh ejen Baroque Works. Selain itu, babak lawan Zoro di Whiskey Peak juga diacah, yang pasti memebri kepuasan buat mereka yang menantikan pendekar pedang tersebut.
Seiring trailer ini, pencipta asal One Piece, Eiichiro Oda, turut berkongsi pesanan buat para peminat. Beliau mengakui bahawa kejayaan Season 1 telah membuktikan kepada dunia bahawa karya ini mampu diadaptasi dengan baik. Untuk Season 2, Oda berjanji akan “melanggar segala kebiasaan” yang ada.
“Lagi sebulan sebelum kita berlayar. Bersedia semua!” kata Oda yang turut mengacah tentang kemunculan lebih ramai pengguna Devil Fruit, kaum gergasi, dan VFX yang jauh lebih mantap berbanding sebelum ini.
Memandangkan saga Arabasta ini sangat panjang, Netflix telah pun mengesahkan bahawa musim ketiga kini sedang dalam proses pembikinan.
Jangan lupa tandakan kalendar, kerana pengembaraan Grand Line akan mula menemui penonton pada 10 Mac nanti.









Discussion about this post