Berita tentang projek filem live-action Mobile Suit Gundam kini semakin rancak selepas ada berita (daripada Deadline) bahawa Netflix mengesahkan akan mengedarkan projek filem tersebut.
Ini menandakan satu langkah baharu bagi kolaborasi antara Sunrise (Bandai Namco Filmworks) dan Legendary Pictures dalam usaha membawa francais mecha ikonik ini kepada penonton global.

Walaupun urusan pengedaran seakan dimuktamadkan, senarai pelakon rasmi masih lagi menjadi bualan hangat. Menurut laporan daripada Deadline, Sydney Sweeney (Euphoria, Immaculate) dan Noah Centineo (To All The Boys I’ve Loved Before) merupakan nama besar yang dikaitkan dengan watak utama filem ini.
Bagaimanapun, penglibatan mereka setakat ini masih di peringkat khabar angin dan belum disahkan secara rasmi oleh pihak studio. Sweeney dilaporkan berada dalam fasa akhir rundingan, manakala Centineo pula mula dikaitkan dengan projek ini sejak akhir 2024.

Dari sudut produksi, Bandai Namco Filmworks dan Legendary Pictures telah menandatangani perjanjian pelaburan bersama bagi filem ini pada Januari lalu. Jim Mickle, yang terkenal sebagai produser siri Sweet Tooth, telah dilantik sebagai penulis dan pengarah.
Beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai penerbit bersama rakannya, Linda Moran, melalui syarikat mereka, Nightshade.

Plot bagi filem ini masih lagi dirahsiakan. Memandangkan semesta Gundam yang sangat luas, kami tertanya-tanya sama ada Mickle akan mengadaptasi latar masa klasik “Universal Century” yang bermula pada tahun 1979, atau meneroka salah satu daripada pelbagai semesta alternatif lain seperti Gundam Wing atau G Gundam.

Sejak mula ditayangkan di Jepun, Mobile Suit Gundam telah berkembang daripada sebuah siri anime menjadi satu fenomena budaya. Campuran drama politik dan peperangan robot gergasi telah membantu jualan ratusan juta model plastik “Gunpla,” menjadikannya salah satu jenama paling berpengaruh dalam dunia hiburan.
Dengan Netflix kini mengendalikan pengedaran dan barisan bintang popular yang dikaitkan dengan watak utama, francais ini nampaknya bersedia untuk lonjakan antarabangsa.









Discussion about this post