Wildlight Entertainment, sebuah studio indie yang diasaskan oleh individu kreatif di sebalik Apex Legends dan Titanfall, secara rasminya telah melancarkan game pertama mereka, Highguard.
Bermula hari ini, “PvP raid shooter” free-to-play ini sudah boleh dimuat turun di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam. Bagi memastikan komuniti pemain yang aktif sejak awal lagi, game ini menyokong fungsi cross-play, membolehkan rakan-rakan bermain bersama tanpa mengira platform pilihan mereka.
Siege Combat Bertemu Gunplay Taktikal
Walaupun pasaran shooter ketika ini agak padat, Highguard ingin membina identiti tersendiri dengan memperkenalkan mekanik “raid” berbeza daripada corak Battle Royale atau Team Deathmatch biasa.

Setiap perlawanan dibina berasaskan kitaran ‘escalation’. Pemain memegang peranan sebagai “Warden”; iaitu penembak berkuasa sihir yang menggabungkan aksi gunplay pantas dengan kebolehan magic.
Pasukan bertiga ditugaskan untuk mempertahankan pangkalan sendiri sambil menjelajah dunia untuk mengumpul sumber dan menaik taraf kelengkapan.

Tumpuan utama setiap perlawanan adalah “Shieldbreaker,” sebilah pedang sakti yang muncul di dalam peta. Mendapatkan pedang ini adalah satu-satunya cara untuk menembusi sistem pertahanan musuh. Ini akan memulakan serangan raid di mana pasukan perlu menyelaraskan serangan ke atas pangkalan lawan.
Jika pihak lawan berjaya bertahan, perisai pangkalan akan kembali pulih, dan tahap persaingan akan meningkat apabila senjata serta peralatan di lapangan dinaik taraf ke tahap yang lebih berbahaya untuk pusingan seterusnya.
Kandungan Pelancaran dan Perancangan Masa Depan

Untuk pelancaran hari pertama, Highguard hadir dengan jumlah kandungan yang banyak bagi memastikan pemain sentiasa mempunyai aktiviti untuk dilakukan. Semasa pelancaran, game ini merangkumi:
- 5 Peta Besar dan 6 Pangkalan Unik.
- 8 Warden, masing-masing dengan kit abiliti khusus untuk serangan raid, penyusupan, atau pertahanan.
- Mount untuk pergerakan pantas merentasi persekitaran peta yang luas.
- 10 Senjata serta pelbagai “Raid Tool” dan mod untuk menyesuaikan gaya permainan.

CEO Wildlight, Dusty Welch, menegaskan bahawa pelancaran hari ini hanyalah satu permulaan. Studio tersebut telah pun merangka pelan kandungan untuk setahun penuh yang disusun mengikut “Episode” selama dua bulan setiap satu. Kemas kini ini akan memperkenalkan peta, Warden, dan mod baharu pada setiap bulan sepanjang tahun 2026.
Kemas kini kandungan utama yang pertama dijadualkan tiba dalam masa dua minggu sahaja lagi.
Ekonomi Mesra Pemain

Wildlight kekal dengan model monetization “fair play”. Semua kemas kini asas—termasuk setiap Warden dan peta baharu—akan diberikan secara percuma kepada semua pemain. Pendapatan game ini akan dijana sepenuhnya melalui pembelian barangan kosmetik secara terus.
Tiada sistem loot box, tiada ganjaran berasaskan RNG, dan tiada elemen yang memberikan kelebihan kompetitif kepada pemain yang mengeluarkan duit.
Untuk muat turun game ini, sila layari laman web rasmi.









Discussion about this post