Melalui sesi hands-on terkini, kami diberi peluang untuk melihat perkembangan Yakuza Kiwami 3 & Dark Ties dari sudut pandang berbeza dan lebih segar. Kami pernah mencuba game ini secara ringkas di Tokyo Game Show 2025, namun pengalaman kali ini adalah jauh lebih menyeluruh.
Berbeza dengan pratonton sebelum ini, sesi ini memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang mutu dan reka bentuk gameplay untuk kedua-dua game tersebut.
Berdasarkan pemerhatian, semakin ketara bahawa strategi RGG Studio bukanlah sekadar menggilap semula kandungan sedia ada. Sebaliknya, mereka membangunkan dua pengalaman berbeza yang masing-masing mempunyai keunikan tersendiri. Jadi tanpa melengahkan masa lagi, izinkan saya mengulas dengan lebih lanjut.
Kualiti Visual Dikemas Kini, dengan Sedikit Ruang Penambahbaikan

Dari aspek grafik, build yang kami mainkan ini sudah terasa seakan-akan versi akhir. Kualiti visual persekitaran dan tekstur kelihatan konsisten tidak kira pada waktu siang atau malam. Di samping itu, transisi antara gameplay dan cutscene juga sangat lancar tanpa sebarang gangguan.
Walaupun ekspresi wajah watak masih mengekalkan gaya yang sama, peningkatan visual yang dibawakan kali ini berjaya menambah lebih banyak butiran, sekali gus memberikan impak yang lebih kuat pada babak-babak penceritaan tertentu.

Secara am, kawasan-kawasan terbuka mendapat manfaat daripada sistem pencahayaan yang lebih baik. Suasana di Kamurocho terasa hidup, namun ia tidak menjejaskan kejelasan visual semasa pemain meneroka. Manakala, persekitaran di Okinawa pula kelihatan lebih bertenaga, selari dengan lokasinya di tepi pantai.
Namun begitu, ada beberapa kawasan yang tertutup seperti Public Market yang kelihatan agak kusam kerana kekurangan pencahayaan. Keadaan ini menjadi lebih ketara apabila dibandingkan dengan babak waktu malam di Kamurocho, di mana suasana gelap dengan lampu-lampu neon yang terang amat menyerlah.
Jelas sekali, kawasan-kawasan seperti ini memerlukan sedikit lagi sentuhan akhir bagi memastikan kualiti visual yang seragam di seluruh permainan.
Kontras Gameplay Antara Kiryu dan Mine

Dalam sesi hands-on ini, perbezaan gaya lawan antara Kiryu dan Mine sangat mudah untuk dilihat. Kiryu masih lagi bergantung kepada kekuatan fizikal dan serangan gaya Dragon of Dojima, di mana setiap pukulannya terasa padu.
Gaya bertarungnya mencerminkan seorang brawler sejati yang tidak gentar diserang demi mencari peluang untuk melancarkan serangan balas yang dahsyat.
Dengan pengenalan Ryukyu Style yang diinspirasikan daripada seni bela diri Okinawa, Kiryu kini turut memiliki pilihan gaya bertarung yang lebih tangkas dan fleksibel tanpa perlu mengorbankan ketahanan ikoniknya.

Yoshitaka Mine pula membawakan pendekatan yang jauh berbeza. Gaya lawannya lebih pantas, bergaya, dan mempunyai variasi yang lebih luas. Corak lawannya direka untuk menggalakkan pemain agar sentiasa bergerak, mengelak serangan secara agresif, melancarkan combo bertalu-talu, dan menukar sasaran dengan pantas.
Seperti yang pernah kami sebutkan dalam pratonton sebelum ini, mekanik utama Mine ialah Dark Awakening. Melaluinya, setiap serangan yang berjaya akan mengisi meter “Shackled Hearts”. Apabila meter ini penuh, Mine boleh mengaktifkan satu mod khas yang akan meningkatkan kuasa serangannya serta membuka gerakan-gerakan baharu.
Ini menjadikan gameplaynya lebih dinamik, dan boleh dianggap lebih buas berbanding gaya tempur biasanya.

Satu perkara yang perlu ditekankan ialah cara bermain Mine tidak boleh disamakan dengan Kiryu. Setiap kesilapan kecil akan membawa padah yang lebih besar, sama ada disebabkan oleh AI musuh yang lebih pintar ataupun kerana gaya tempur Mine itu sendiri yang tidak dibina untuk menyerap serangan berat.
Jika Kiryu adalah lambang ketahanan dan kekuatan mentah, Mine pula adalah manifestasi seorang fighter taktikal dan agresif, yang memberi ganjaran kepada pemain yang cekap membuat keputusan dan mempunyai ketepatan tinggi (juga satu cerminan personalitinya).
Bagi pemain yang suka mekanik brawler yang lebih teknikal, kontras antara kedua-dua watak ini pasti akan menarik perhatian.
Dark Ties Adalah Naratif yang Lebih Serius

Dark Ties dibina untuk menjadi sebuah pengalaman tersendiri. Berdasarkan babak-babak cerita yang ditayangkan, suasananya terasa lebih serius dan saspens, dengan fokus utama diberikan kepada perjalanan hidup Mine serta peranannya dalam konflik yakuza yang lebih besar.
Pendekatan sebegini menjadikan naratif Dark Ties lebih bersifat peribadi, dan pada masa yang sama, ia memberikan dimensi baharu kepada peristiwa-peristiwa yang mungkin sudah diketahui oleh peminat lama siri ini.

Dalam game ini, pemain akan meluangkan lebih banyak masa dalam aktiviti-aktiviti yang berkait rapat dengan dunia yakuza, malah lebih mendalam berbanding jalan cerita Kiryu.
Sebagai contoh, salah satu misi yang ditunjukkan ialah usaha Mine untuk memulihkan nama baik Kanda, seorang ketua yakuza yang terkenal kerana menggunakan cara kotor untuk naik pangkat sehingga dibenci ramai.
Apa yang membuatkan babak ini menarik adalah dinamik antara Mine dan Kanda; interaksi mereka berdua sering kali mencuit hati, apabila sikap Mine yang sentiasa tenang dan strategik bertembung dengan personaliti Kanda yang kasar dan tidak terduga.
Elemen-elemen sebeginilah yang menjadikan kisah Mine terasa unik, kerana ia menawarkan satu sisi yang lebih kompleks bagi watak yang dahulunya hanya dikenali sebagai watak jahat.

Dengan membawakan perspektif baharu ini, Dark Ties bukan lagi sekadar kandungan sampingan. Ia adalah cara serba baharu untuk mengalami Yakuza 3 dari satu sudut pandang yang belum pernah diterokai sebelum ini.
Minigame, Mod Tambahan, dan Aktiviti Sampingan
Dari segi kepelbagaian kandungan, sesi hands-on mengesahkan bahawa tiada apa yang dikurangkan. Pelbagai minigame klasik kembali ditawarkan, lengkap dengan elemen-elemen aneh yang menjadi identiti siri Yakuza. Aktiviti santai seperti memasak dan berkebun juga disediakan untuk pemain yang mahukan kelainan.
Malah, dalam Yakuza Kiwami 3, Kiryu kini boleh meluangkan masa menjaga anak-anak angkatnya melalui pelbagai minigame baharu seperti membantu menyiapkan kerja sekolah, menjahit baju, atau mencari serangga.
Ini mewujudkan suasana “bapa simulator”, yang menjadi kontras kepada naratif utama permainan yang penuh dengan aksi serius.

Tambahan judul-judul Game Gear, yang boleh dimainkan sama ada secara solo mahupun mod two-player, juga adalah satu bonus tambahan yang benar-benar menyeronokkan. Ia seolah-olah seperti kita bermain ‘game di dalam game’, yang memberikan nilai tanpa terasa berlebihan atau meleret.
Senarai judul yang ditawarkan juga bukan sekadar pelengkap semata-mata, kerana ia menampilkan judul-judul klasik seperti Pac-Man, Sonic, Galaga, dan Puyo Puyo. Kesemua game ini boleh dimainkan sepenuhnya dan bersesuaian dengan pesona nostalgia yang sebati dengan siri Yakuza.

Bagi kandungan yang berfokuskan pertarungan, Yakuza Kiwami 3 memperkenalkan Rumble Mode. Dalam mod ini, pemain akan menguruskan sebuah geng motosikal dan terlibat dalam perang wilayah (turf war) menentang geng-geng lain.
Pemain boleh menyusun ahli skuad, memberikan peranan, menaik taraf kelengkapan untuk meningkatkan stats, malah mengubah penampilan watak supaya kelihatan lucu ataupun menggerunkan (semuanya bergantung pada cita rasa pemain).

Mod ini turut disertakan dengan cutscene sebelum pertarungan bermula; memberikan konteks kepada setiap pertarungan seolah-olah ia adalah sebahagian daripada perang geng yang lebih besar.
Gameplaynya pula mirip dengan gameplay Musou, di mana pemain perlu menawan kawasan dengan menewaskan ketua-ketua skuad musuh sambil mempertahankan wilayah sendiri daripada serangan berpuluh-puluh, malah beratus-ratus musuh.
Pemain akan bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain menggunakan motosikal, membolehkan mereka memberi bantuan di mana-mana barisan hadapan yang memerlukan. Setiap pertempuran akan berakhir dengan satu pertarungan klimaks menentang ketua utama geng lawan.

Musuh tidak akan bermain secara adil, tetapi begitu juga anda. Pemain akan dibekalkan dengan pelbagai senjata aneh seperti pelancar roket, meriam, dan juga haiwan seperti ayam, khinzir, dan lembu untuk digunakan dalam pertempuran. Ia mungkin tidak masuk akal, tetapi itulah tarikannya.
Selain daripada sistem kemajuan dan naik taraf, Rumble Mode juga mempunyai elemen penceritaan dan sistem interaksi untuk menaikkan semangat ahli geng.

Sementara itu, Dark Ties pula menawarkan mod Survival Hell Battle, iaitu satu mod pertarungan berstruktur ‘tower-style’ yang dibahagikan mengikut peringkat. Setiap peringkat mempunyai beberapa fasa dengan tahap kesukaran yang akan meningkat secara beransur-ansur.
Untuk mara ke peringkat seterusnya, pemain perlu menewaskan Master Keeper selepas menyelesaikan semua fasa sebelumnya. Kitaran ini akan terus berulang dengan cabaran yang semakin sukar, menjadikannya satu mod yang mustahil untuk dihabiskan dalam satu sesi permainan sahaja.
Pemain boleh memilih untuk berundur bagi menguatkan Mine sebelum kembali mencuba. Walaupun ada watak bantuan (Mercenaries) yang boleh direkrut, kejayaan pemain akhirnya bergantung sepenuhnya pada kemahiran bertarung Mine dan kecekapan pemain itu sendiri.

Sudah semestinya, tidak lengkaplah Yakuza tanpa karaoke. Dalam Yakuza Gaiden: Dark Ties, pemain berpeluang untuk mengawal Mine di atas pentas, membawakan set lagu-lagu baharu yang pastinya akan menambah satu lagi elemen menarik dan menyeronokkan.
Pendapat Setakat Ini…

Secara keseluruhan, build yang kami cuba ini terasa sangat solid dan hampir bersedia untuk dilancarkan.
Walaupun masih ada beberapa aspek kecil yang boleh diperbaiki, terutamanya dari segi pencahayaan di sesetengah kawasan tertutup, namun dari segi gameplay, visual, dan struktur kandungan, kedua-dua game ini sudah pun mempunyai identiti yang mantap dan tersendiri, dengan tawaran kandungan yang sangat padat.

Yakuza Kiwami 3 berjaya membawakan pengalaman sebuah remake yang berkualiti tinggi dan setia pada versi asalnya, manakala Dark Ties pula berdiri sebagai sebuah judul sampingan yang membawakan nada yang lebih serius dan agresif, serta memberikan perspektif baharu kepada naratif Yakuza 3.
Gabungan kedua-dua game ini terasa lebih daripada sekadar satu projek untuk membangkitkan nostalgia; tetapi kepada satu usaha yang teliti untuk mengembangkan lagi alam semesta Yakuza.

Game ini akan dilancarkan pada 12 Februari 2026, untuk PlayStation 5, PlayStation 4, Nintendo Switch 2, Xbox Series X|S, dan PC (Steam). Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post