Nasib game eksklusif PS5 “Ballad of Antara” kini diselubungi tanda tanya berikutan pelbagai bukti yang seakan mengesahkan bahawa projek ini mungkin telah dihentikan secara diam-diam.
RPG free-to-play ini, yang dibangunkan oleh TipsWorks, mencuri tumpuan ramai semasa acara PlayStation State of Play pada Mei 2024… tetapi, selepas lebih setahun menyepi tanpa sebarang khabar berita, pelbagai spekulasi mengenai pembatalannya kini semakin kencang dibincangkan.

Khabar angin ini mula tersebar apabila seorang artis konsep yang terlibat dalam pembangunan game tersebut mendedahkan bahawa projek itu telah dibatalkan. Posting itu dibuat oleh artis dengan nama “yuehai2000” (kemudian ditukar kepada “lingchang2000”) sebagai respons kepada soalan mengenai rekaan watak yang dikongsinya.
Beliau menyatakan bahawa rekaan itu adalah untuk “sebuah projek game yang telah dibatalkan bertajuk Ballad of Antara.” Walaupun posting asal di platform X telah dipadam dan akaun tersebut turut dinyahaktifkan buat sementara waktu, kenyataan tersebut sempat direkodkan oleh internet.

Dakwaan ini dikukuhkan lagi dengan komen-komen terdahulu daripada seorang sumber dalaman industri dari China (dikenali sebagai Lunatic Ignus). Ignus mendedahkan bahawa Paper Games, syarikat penaung kepada TipsWorks, telah menjalankan proses penstrukturan semula.
Perubahan dalaman syarikat itu didakwa telah menyebabkan saiz pasukan pembangunan Ballad of Antara dikurangkan, daripada 120 orang kepada hanya 20 orang.
Menurut sumber yang dirujuk oleh Ignus, proses pembangunan itu juga dilaporkan sangat perlahan, di mana hanya satu bab sahaja yang berjaya disiapkan untuk boleh dimainkan (playable chapter) dalam tempoh antara tahun 2021 hingga 2024, dan itupun masih memerlukan banyak penambahbaikan.
Sejak kali terakhir video gameplay ditayangkan pada September 2024, kedua-dua pihak pembangun, TipsWorks, dan penerbit, Infold Games, langsung tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. Semua akaun media sosial rasmi GAME itu juga tidak lagi dikemas kini sejak tempoh tersebut.
Tambahan pula, tahun 2025 yang pada asalnya dijadualkan sebagai tahun pelancaran game ini telah pun berlalu tanpa sebarang pengumuman rasmi mengenai penangguhan atau tarikh pelancaran yang baharu.
Ballad of Antara asalnya diperkenalkan sebagai sebuah IP fantasi serba baharu, dengan latar belakang sebuah dunia yang telah musnah akibat satu kuasa purba.
Para pemain akan menggalas watak sebagai “Emissaries,” iaitu pahlawan-pahlawan yang boleh merentasi antara dunia nyata dan sebuah dimensi alternatif yang dikenali sebagai “Para,” dalam misi untuk mengumpul semula “essences” yang telah hilang dari dunia mereka.
Dibangunkan menggunakan Unreal Engine 5, game ini menawarkan pengalaman single-player dan mod multiplayer co-op yang boleh disertai sehingga tiga orang pemain.
Sehingga kini, status sebenar Ballad of Antara masih belum dapat dipastikan secara rasmi. Selagi tiada sebarang pengumuman rasmi daripada pihak TipsWorks atau Infold Games, harapan untuk melihat game ini dilancarkan masih lagi ada, walaupun tipis.









Discussion about this post