Salah satu ikon terhebat dalam sejarah permainan video bakal bersaing di atas litar… Khususnya, Pac-Man bersama musuh-musuh hantunya yang terkenal, akan meluncur masuk ke dalam dunia Sonic Racing: CrossWorlds. Setelah diumumkan pada Ogos 2025, akhirnya pek DLC ini akan datang esok pada 8 Januari 2026.

Sebagai DLC ketiga untuk Season Pass game ini, “PAC-MAN Pack” menjanjikan pengalaman yang pasti membangkitkan nostalgia. Kami diberi peluang istimewa untuk menguji DLC ini lebih awal, dan kami ternyata crossover ini adalah campuran dua dunia yang sangat serasi.
Permusuhan Legenda, Kini di Litar Perlumbaan

Daya tarikan DLC ini dapat dirasai serta-merta. Ia bukanlah sekadar penambahan watak yang ‘simple’, tetapi lebih kepada penghormatan kepada sebuah ikon. Pac-Man, yang merupakan maskot lama untuk Bandai Namco Entertainment, menyertai barisan watak sebagai pelumba kelas “Acceleration”.
Setia pada wataknya, dia terasa sangat lincah dan mudah dikawal. Dengan statistik yang memberikan kelebihan kepada ‘acceleration’ dan ‘handling’, dia adalah pilihan terbaik untuk pemain yang mahir mengelak serangan item dan ingin memulihkan kelajuan dengan segera.

Kehebatannya terserlah di litar-litar teknikal dengan selekoh-selekoh tajam, yang membolehkan pemain berpengalaman untuk terus mengekalkan momentum ketika pelumba lain bergelut.
Ini juga menandakan kemunculan semula Pac-Man sebagai pemandu, selepas penampilan pertamanya sebagai watak boleh dimainkan dalam Mario Kart Arcade GP DX pada tahun 2013.

Sudah semestinya, Pac-Man tidak akan lengkap tanpa musuh-musuhnya yang sentiasa mengejar. The Ghost Gang—yang terdiri daripada Blinky, Pinky, Inky, dan Clyde—diperkenalkan sebagai satu watak jenis “Speed.” Setiap hantu boleh dipilih sebagai skin yang berbeza.
Rekaan ini memberi peluang kepada pemain untuk menggunakan hantu kegemaran mereka. Sebagai kelas Speed, Team Ghost sangat dominan di laluan lurus yang panjang.

Walaupun mungkin memerlukan sedikit masa untuk mencapai kelajuan maksimum, mereka menjadi kuasa yang sukar ditandingi apabila memecut di laluan lurus, menjadikannya pilihan ideal bagi pemain yang gemar menguasai perlumbaan menggunakan kelajuan semata-mata.
Ini juga merupakan kemunculan yang penting bagi keempat-empat hantu ini, yang kali terakhir boleh dimainkan dalam game lumba Pac-Man Kart Rally pada tahun 2010.
Memandu Jentera Penuh Kenangan

Untuk bersaing di litar-litar baharu, pemain akan memandu “Pac-Man Mobile”. Ini bukanlah kart biasa yang dicat kuning; tetapi sebuah kenderaan yang dihasilkan semula berdasarkan seni promosi dari iklan-iklan Jepun era 1980-an.
Peminat sejati mungkin akan mengecam reka bentuknya yang menjadi inspirasi kepada kereta Pac-Man yang muncul sebagai cameo dalam Ridge Racer V. Di dalam Sonic Racing: CrossWorlds, Pac-Man Mobile adalah kenderaan yang tertumpu kepada “Handling”, menjadikannya jentera yang sesuai untuk selekoh-selekoh tajam.
Drifting pun rasa sangat memuaskan.

Menjelajahi Dunia Baharu yang Sarat dengan Nostalgia

Satu lagi elemen baharu dalam DLC ini adalah litar terbaharu: Pac-Village & Maze. Litar ini merupakan kombinasi dua persekitaran berbeza dari dunia Pac-Man dan ia juga merupakan kali pertama sebuah lokasi daripada siri Pac-Man World ditampilkan dalam game crossover.
Perlumbaan akan bermula di Pac-Village dan kemudian membawa para pelumba ke dalam koridor-koridor ikonik Maze dari permainan arked klasik.

Para pembangun turut menyertakan satu sentuhan istimewa dan unik untuk litar ini: kesemua Rings di sepanjang litar telah ditukar kepada Pac-Dot. Apabila melanggarnya, anda akan mendengar kesan bunyi “waka waka” yang sangat dikenali, yang pasti akan mencuit hati mana-mana gamer.

“PAC-MAN Pack” ini turut dilengkapi dengan pelbagai barangan kosmetik tambahan, termasuklah kesan bunyi baharu, emote khas untuk setiap watak yang boleh ditunjukkan di podium, serta decal unik untuk menghiasi profil anda.

Sonic Racing: CrossWorlds – PAC-MAN Pack bakal dilancarkan esok, 8 Januari 2026. Berdasarkan ujian awal kami, ia adalah DLC wajib bagi peminat kedua-dua francais, dan pada masa yang sama pasti akan menghiburkan semua pemain. Jadi siap sedialah di garisan permulaan kerana ada banyak Pac-Dots menanti untuk dimakan.
Sekiranya memerlukan maklumat yang lebih terperinci, anda digalakkan untuk melayari laman sesawang rasmi di SINI.




![[Eksklusif] Hajime Tabata Mengupas Kerjasama Dengan Arab Saudi, RPG Turn-Based & Hala Tuju Pembangunan Game Kreatif](https://cdn.gamersantai.com/2026/01/Hajime-Tabata_INTERVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post