Bersempena dengan kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia, Piala Dunia FIFA 2026, sebuah game simulasi bola sepak FIFA baharu akan diperkenalkan secara eksklusif menerusi platform Netflix Games.
Game yang buat masa ini masih belum dinamakan itu merupakan hasil pembangunan dan penerbitan oleh Delphi Interactive. Ia direka khusus supaya boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja. Para pemain diberi pilihan untuk bermain secara solo ataupun mencabar rakan-rakan dalam talian, dengan hanya memerlukan langganan aktif Netflix dan sebuah telefon pintar.

Pengumuman ini juga menjadi inisiatif utama pertama FIFA dalam arena gaming selepas menamatkan kerjasama jangka panjangnya dengan EA Sports pada tahun 2022, satu perkongsian yang telah terjalin selama hampir 30 tahun dan mendapat perhatian ramai. Meskipun EA kini meneruskan siri bola sepaknya sendiri di bawah nama “EA FC”, FIFA pula mula mengorak langkah ke arah yang berbeza dalam industri gaming.

Game FIFA ini nanti boleh diakses melalui aplikasi Netflix pada peranti mobile yang menggunakan sistem operasi iOS dan Android. Sebagai langkah untuk membawa pengalaman gaming ke skrin yang lebih besar, game FIFA baharu ini juga menyokong gameplay di beberapa model televisyen terpilih, di mana telefon pintar pemain akan dijadikan sebagai alat kawalan.
Bagi para peminat di Malaysia, maklumat lanjut yang lebih terperinci dijangka akan diumumkan pada tahun 2026.

Delphi Interactive, studio yang bertanggungjawab atas projek besar ini, berkomitmen untuk menghasilkan sebuah pengalaman gameplay yang menyeronokkan dan boleh disertai oleh semua lapisan pemain. Menurut Pengasas dan CEO Delphi Interactive, Casper Daugaard, “Bola sepak adalah fenomena terbesar di dunia. Sebagai peminat setia FIFA, kami amat berbangga kerana diberi peluang untuk membuka lembaran baharu bagi generasi akan datang dan mencorakkan semula masa depan francais ini. Matlamat kami cukup jelas: untuk menjadikan game FIFA ini sebagai game bola sepak yang paling menghiburkan, paling mudah dimainkan, dan bersifat paling global yang pernah wujud.”









Discussion about this post