Where Winds Meet, secara rasminya akan melancarkan versi Mobile untuk pemain di Malaysia pada jam 8:00 pagi, 12 Disember. Susulan pengumuman awal, butiran baharu telah didedahkan mengenai akses pra-muat turun, cross-progression dengan PC, dan perkakasan khusus yang diperlukan untuk mengembara melalui dunianya yang luas.
Pemain yang tidak sabar untuk mencuba edisi ini boleh bermula lebih awal, kerana pra-muat turun untuk klien mobile akan bermula pada jam 00:00 pada 11 Disember.
Akses awal ini bukan sahaja membolehkan pemain memuat turun game lebih awal, tetapi juga menawarkan peluang untuk penciptaan watak awal dan demo yang boleh dimainkan untuk merasai pengembaraan wuxia tersebut.
Boleh Cross-Progression dan Cross-Play?

Bagi mereka yang telah memulakan pengembaraan mereka di PC atau konsol, Where Winds Meet akan menyokong cross-progression dan cross-play sepenuhnya, membolehkan akses kepada data watak, kemajuan permainan dan pembelian merentas platform.
Walau bagaimanapun, pihak pembangun telah mengeluarkan arahan penting untuk pemain sedia ada: anda mesti memautkan (link) akaun mobile anda sebelum mencipta watak pada versi mobile. Sebagai alternatif, anda boleh log masuk terus menggunakan akaun sedia ada anda.
Kegagalan untuk berbuat demikian akan menghalang pemautan akaun jika kedua-dua akaun PC/konsol dan mobile mempunyai data watak sedia ada.
Perubahan di Versi Mobile?

Sambil menyasar untuk menyampaikan pengalaman wuxia yang konsisten dengan versi PC, pasukan pembangunan telah melaksanakan pengoptimuman khusus yang disesuaikan untuk peranti mobile. Pelarasan ini direka untuk menyediakan proses pengenalan yang lebih lancar dan menampung sifat mobile game yang lebih santai.
Perubahan utama untuk versi mobile termasuk:
- Tahap Kesukaran yang Dilaraskan: Watak baharu yang dicipta pada peranti mobile pada mulanya akan mempunyai akses kepada tetapan kesukaran “Story” atau “Recommended”. Tahap kesukaran “Expert” yang lebih mencabar akan tersedia apabila pemain mencapai Level 30. Bagi mereka yang mencari cabaran terhebat, kesukaran “Legend” boleh dialami dengan mencipta watak di PC terlebih dahulu, dan status itu akan dibawa ke peranti mobile.
- Assist Deflection: Untuk membantu pemain baharu menguasai mekanik combat, ciri “Assist Deflection” akan diaktifkan secara lalai untuk watak mobile baharu. Ciri ini boleh dimatikan dalam [Settings].
- Penyesuaian Kawalan: Walaupun versi awal akan menampilkan susun atur butang skil yang tetap, pihak pembangun telah mengesahkan bahawa tetapan butang tersuai dan pilihan kawalan mobile yang lebih maju akan diperkenalkan dalam kemas kini akan datang.
Spesifikasi Sistem Mobile
Untuk memastikan pengembaraan yang lancar, pihak pembangun telah mengeluarkan spesifikasi perkakasan yang disyorkan dan minimum untuk kedua-dua peranti Android dan iOS.
Peranti Android:
- Memerlukan: Android 7.1+ dan sekurang-kurangnya 8GB RAM.
- Disyorkan: Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2, MediaTek Dimensity 9200, Samsung Exynos 2400 atau ke atas.
- Disokong: Qualcomm Snapdragon 7+ Gen 2, MediaTek Dimensity 8000, Samsung Exynos 2200 atau ke atas.
- Minimum: Qualcomm Snapdragon 778G, MediaTek Dimensity 1000L, Samsung Exynos 2100 atau ke atas.
Peranti iOS:
- Memerlukan: iOS 15+.
- Disyorkan: iPhone 14 Pro (cip A16) atau lebih baharu.
- Disokong: iPhone 12 Pro (cip A14) atau lebih baharu.
- Minimum: iPhone 11 (cip A13) atau lebih baharu.
Pengoptimuman Berterusan

Pasukan pembangunan mengakui bahawa pengoptimuman prestasi untuk versi mobile adalah satu proses yang berterusan. Untuk mengekalkan kestabilan gameplay pada model peranti tertentu, beberapa real-time rendered cutscene telah digantikan sementara dengan video. Ini mungkin akan menyebabkan penggunaan data mobile tambahan.
Pihak studio telah menyatakan komitmennya untuk mempercepatkan usaha pengoptimuman dan akan terus menambah baik pengalaman mobile berdasarkan maklum balas dan panduan komuniti.
Untuk pra-daftar Where Winds Meet Mobile, layari laman web rasmi.









Discussion about this post