Netmarble dan pembangun Netmarble Neo telah melancarkan secara rasmi Solo Leveling: ARISE OVERDRIVE, sebuah RPG aksi baharu berlatarkan dunia webtoon terkenal, Solo Leveling.
Game ini kini tersedia untuk pemain di seluruh dunia di PC melalui Steam dan platform Xbox PC, diiringi dengan trailer baharu untuk meraikan pelancaran rasminya.
Berdasarkan webtoon popular yang telah mengumpulkan 14.3 bilion tontonan di seluruh dunia, Solo Leveling: ARISE OVERDRIVE membolehkan pemain merasai sendiri pengalaman sebagai protagonis, Sung Jinwoo. Game ini mengisahkan perjalanannya daripada seorang hunter terlemah di dunia menjadi Shadow Monarch yang hebat.
Kempen singleplayer bukan sahaja menceritakan semula kisah yang digemari dari webtoon tetapi juga memperkenalkan bab-bab baharu yang dicipta khusus untuk game ini.

Aspek utama ARISE OVERDRIVE ialah sistem combat aksi third-person dinamik, yang mendapat inspirasi daripada judul-judul seperti Devil May Cry. Pemain boleh mengalami pertempuran pantas yang menampilkan sistem kombo yang luas, pelbagai skil dan gerakan istimewa.
Gameplay juga menekankan pemasaan yang tepat dengan mekanik seperti “Extreme Evasion” dan ‘Perfect Parry’ untuk menangkis serangan musuh. Skill Tree yang luas dengan lapan kemajuan pekerjaan yang berbeza dan sistem pembuatan senjata membolehkan penyesuaian yang meluas bagi gaya pertarungan Jinwoo.
Selain kempen solo, game ini turut menampilkan mod ‘cooperative raid’ empat pemain di mana pemain boleh bekerjasama untuk menumpaskan bos yang kuat. Dalam serbuan ini, pemain boleh memilih untuk bertarung sebagai Sung Jinwoo yang telah diubah suai atau sebagai hunter lain daripada siri ini.
Bagaimana ‘ARISE OVERDRIVE’ Berbeza Daripada ‘ARISE’
Penting untuk tahu bahawa Solo Leveling: ARISE OVERDRIVE ialah judul yang berbeza dan terasing daripada game gacha free-to-play yang dikeluarkan sebelum ini, Solo Leveling: ARISE.
ARISE OVERDRIVE ialah game premium kendiri berharga penuh yang direka untuk menawarkan pengalaman RPG aksi tradisional yang lengkap tanpa sebarang mekanik gacha.

Pembangun telah menekankan bahawa ARISE OVERDRIVE disesuaikan untuk platform PC dan konsol, dengan memfokuskan pada gameplay asas yang lebih mendalam dan rumit serta pertarungan manual, tanpa ciri auto-battle.
Walaupun ARISE yang percuma untuk dimainkan akan terus disokong dan dibangunkan secara bebas, OVERDRIVE mempersembahkan sebuah pakej serba lengkap di mana semua kemajuan dicapai melalui kemahiran dan usaha pemain, kecuali beberapa DLC kosmetik pilihan.

Solo Leveling: ARISE OVERDRIVE kini boleh didapati di Steam dan Xbox PC. Pelancaran untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X/S dirancang pada tahun 2026. Untuk maklumat lanjut, pemain boleh melayari laman web rasmi.









Discussion about this post