MAGES. telah mengumumkan bahawa STEINS;GATE RE:BOOT, sebuah remake penuh kepada novel visual terkenal STEINS;GATE, telah ditangguhkan dari tarikh pelancaran asalnya pada tahun 2025 kepada tahun 2026.
Syarikat itu menyatakan keperluan untuk “peningkatan kualiti lebih lanjut” sebagai sebab penangguhan, bertujuan untuk meningkatkan kualiti keseluruhan agar bersesuaian dengan persekitaran gane semasa, termasuk resolusi grafik dan pengoptimuman sistem. Platform pelancaran untuk game ini masih belum diumumkan.

Di samping penangguhan itu, MAGES. menawarkan pandangan pertama pada grafik permainan yang dinaik taraf, mempamerkan kerja yang sedang dilakukan untuk memodenkan tajuk yang digemari ramai ini. Walaupun masih dalam pembangunan, visual baharu ini menunjukkan pembaharuan komprehensif kepada aset game tersebut.

Reka bentuk watak telah diperbaharui oleh pereka watak asal, huke. Pakaian dan aksesori untuk barisan pelakon juga telah direka bentuk semula dengan butiran rumit bertujuan untuk menjadikan kehadiran mereka terasa lebih hidup dan bertenaga.

Persekitaran juga menerima peningkatan yang ketara. Grafik latar belakang akan menggambarkan Akihabara seperti pada sekitar tahun 2010, menggunakan bahan rujukan dari masa itu. Tambahan pula, untuk memperkaya cerita, STEINS;GATE RE:BOOT akan menampilkan lokasi-lokasi baharu yang tidak muncul dalam game asal.

Semua ‘event still’ dicipta semula dari papan cerita baharu untuk menggambarkan naratif dengan lebih dekat dan dramatik. MAGES. juga mengesahkan bahawa adegan yang tidak digambarkan dalam STEINS;GATE asal telah ditambah, menjanjikan kandungan serba baharu untuk pemain baharu dan juga pemain lama.

Bagi mereka yang tidak kenal dengan tajuk ini, STEINS;GATE ialah novel visual fiksyen sains pujian ramai yang dibangunkan oleh 5pb. dan Nitroplus, pertama kali dikeluarkan pada tahun 2009. Ia merupakan entri kedua dalam siri Science Adventure.
Cerita ini berlatarkan di Akihabara, Tokyo, dan mengisahkan tentang Rintaro Okabe, seorang individu yang menggelar dirinya sebagai “saintis gila”, bersama rakan-rakannya.
Mereka mendapati bahawa ketuhar gelombang mikro mereka yang diubah suai boleh menghantar mesej teks ke masa lalu, yang mencetuskan peristiwa yang tidak lagi dapat mereka kawal.

Gameplay STEINS;GATE sebahagian besarnya terdiri daripada membaca teks pada skrin yang mewakili dialog antara watak dan fikiran protagonis.
Interaksi pemain datang melalui sistem “phone trigger”, di mana pilihan yang dibuat dalam menjawab atau mengabaikan panggilan dan membalas mesej teks menyebabkan plot yang tidak linear bercabang kepada senario dan pengakhiran yang berbeza. Kejayaannya telah membawa kepada pelbagai adaptasi manga dan anime.









Discussion about this post