SEGA telah mengumumkan kandungan DLC crossover percuma untuk game lumba kart terbaharunya, Sonic Racing: CrossWorlds, yang menampilkan watak-watak kegemaran ramai daripada NiGHTS: Journey of Dreams, Super Monkey Ball, dan siri komik IDW Sonic the Hedgehog.
DLC percuma ini bakal menyaksikan empat pelumba baharu menyertai senarai watak Sonic Racing: CrossWorlds iaitu: NiGHTS, AiAi, Tangle, dan Whisper. Watak-watak ini akan diperkenalkan secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang, menambahkan lagi kepelbagaian kepada game perlumbaan yang merentasi pelbagai dimensi ini.


Pencabar baharu yang pertama, NiGHTS, daripada francais klasik SEGA NiGHTS into Dreams…, dijadualkan tiba pada Disember 2025. Menyusul pada Januari 2026 ialah AiAi daripada siri Super Monkey Ball. Kedua-dua NiGHTS dan AiAi akan membawa kart unik mereka ke litar, iaitu “Dream Sleeper” dan “Banana Cruiser”.

Pada Februari 2026, para peminat siri komik Sonic the Hedgehog terbitan IDW Publishing boleh teruja kerana Tangle the Lemur dan Whisper the Wolf membuat penampilan sulung mereka dalam game ini. Ini menandakan satu peristiwa crossover yang penting, membawa watak-watak dari komik ke game konsol.

Selain pelumba baharu, para pemain juga boleh menantikan lagu-lagu dan decals (pelekat) kolaborasi baharu mereka.
SEGA juga telah mendedahkan rancangan untuk muzik baharu dengan kerjasama pempengaruh popular Jepun, termasuk pasukan e-sukan profesional Crazy Raccoon dan VTuber Inugami Korone serta Rejekun, yang dirancang untuk ditambah dalam kemas kini akan datang.
Bagi mereka yang belum menyertai perlumbaan, demo singleplayer percuma boleh dimuat turun di PlayStation 5, Nintendo Switch, Xbox Series X|S, Steam, dan Epic Games Store. Sebarang kemajuan yang dicapai dalam demo boleh dipindahkan ke game penuh selepas pembelian.
Sonic Racing: CrossWorlds kini tersedia di PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Xbox One, Nintendo Switch, dan PC melalui Steam serta Epic Games Store. Versi Nintendo Switch 2 bakal dilancarkan secara digital pada 4 Disember 2025.









Discussion about this post