Skydance New Media telah mengumumkan penangguhan untuk Marvel 1943: Rise of Hydra. Game tersebut, yang sebelum ini dijadualkan untuk pelancaran pada awal 2026, kini telah ditunda ke tarikh yang belum diumumkan.
Ini menandakan penangguhan besar kali kedua bagi projek ini, yang pada asalnya dirancang untuk dilancarkan pada tahun 2025.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pembangun permainan, penangguhan itu disebabkan oleh komitmen pasukan terhadap kualiti.
“Di Skydance Games, matlamat kami adalah untuk menghasilkan game premium yang tidak dapat dilupakan serta menghormati watak-watak dan dunia yang kami bertuah untuk bekerjasama,” menurut mesej tersebut.
“Marvel 1943: Rise of Hydra adalah projek yang bercita-cita tinggi, dan kami komited untuk memastikannya mencapai tahap kualiti yang diharapkan oleh pasukan kami, para pemain, dan peminat.”

Kenyataan itu menyambung, “Bagi merealisasikan sepenuhnya visi kami untuk Marvel 1943: Rise of Hydra, kami telah membuat keputusan untuk menunda jangka masa pelancaran kami melepasi awal 2026. Kami berterima kasih atas semangat dan sokongan daripada komuniti dan para pemain di seluruh dunia.
Pasukan kami sedang bekerja keras untuk mencipta sesuatu yang benar-benar istimewa, dan kami berharap dapat berkongsi lebih banyak maklumat dengan anda seiring dengan kemajuan pembangunan.”

Diterajui oleh Amy Hennig, yang terkenal dengan hasil kerjanya dalam siri Uncharted, Marvel 1943: Rise of Hydra ialah sebuah game aksi-pengembaraan pacuan naratif yang berlatarkan Perang Dunia II. Game ini memfokuskan kepada Captain America dan Azzuri, Black Panther era 1940-an, ketika mereka menentang kuasa jahat Hydra.
Para pemain juga akan mengawal dua watak lain: Gabriel Jones, seorang anggota Howling Commandos, dan Nanali, seorang perisik Wakanda.
Walaupun projek ini dinanti-nantikan, Skydance masih belum mendedahkan rakaman rasmi gameplay, dengan demonstrasi setakat ini terhad kepada sinematik yang telah mempamerkan kualiti visual permainan menggunakan Unreal Engine 5.
Platform untuk game ini juga masih belum diumumkan, walaupun ia dijangka akan dilancarkan di PC, PlayStation 5, dan Xbox Series X/S.









Discussion about this post