ASUS Republic of Gamers (ROG) telah mengumumkan satu kolaborasi dengan HoYoverse, pembangun di sebalik game aksi popular, Honkai Impact 3rd. Hasil daripada gandingan ini, lahirlah ROG x Honkai Impact 3rd Elysia’s Special Collection, sebuah pakej edisi terhad yang direka khas untuk siri telefon pintar gaming ROG Phone 9.

Koleksi ini dihasilkan sempena penampilan kostum crossover baharu untuk watak kegemaran ramai, Elysia. Setiap set didatangkan dalam sebuah kotak hadiah istimewa bertemakan “Romantic Pink”. Reka bentuknya menyerupai sepucuk surat, sebagai simbolik mesej daripada Elysia kepada peminat.

Peminat yang mendapatkan koleksi ini akan menerima pelbagai barangan eksklusif yang diilhamkan oleh Elysia, termasuklah:
- Stand Hiasan Akrilik: Sebuah dirian akrilik hiasan untuk mempamerkan watak Elysia dengan penuh gaya.
- Sarung Pelindung Telefon: Sarung pelindung telefon yang rekaannya diinspirasikan oleh kostum eksklusif Elysia di dalam permainan.
- Lencana Eksklusif: Sebuah lencana bergaya lengkap dengan penutup, membolehkan peminat membawanya ke mana sahaja.
- Kad Watak dan Sampul Surat: Cenderahati berupa kad watak dan sampul surat dengan rekaan yang menawan untuk dijadikan koleksi.
- Set Pelekat Comel: Satu set pelekat gaya chibi Elysia yang comel untuk menghias barangan peribadi.
- Pelindung Kabel Khas: Pelindung kabel bertemakan watak chibi Elysia.
- Pin Pencungkil SIM Unik: Pin pencungkil SIM yang direka khas menyerupai senjata ikonik Elysia.

Bagi melengkapkan pengalaman, setiap kotak turut mengandungi nombor siri unik. Nombor ini boleh digunakan di laman sesawang rasmi kempen bagi menebus ganjaran eksklusif di dalam permainan, iaitu dua item Enchanted Phones dan 2,000 Asterite.

Selain itu, pengalaman digital pengguna akan diperkaya dengan Elysia Theme Pack, yang boleh dimuat turun secara percuma melalui ROG Phone Theme Store sebaik sahaja ia dilancarkan.
Pek tema ini akan mengubah keseluruhan UI siri ROG Phone 9, merangkumi live wallpaper, animasi pengecasan, paparan skrin panggilan, panel sentiasa hidup (always-on), serta animasi khas AniMe Vision, kesemuanya bertemakan Elysia.

Para pemain dan pengumpul yang berminat disarankan untuk menanda kalendar mereka, kerana ROG x Honkai Impact 3rd Elysia’s Special Collection mula dijual secara rasmi sejak 23 Oktober 2025. Penawarannya amat terhad, dengan hanya 5,000 unit sahaja tersedia untuk pasaran global.
Telah disahkan juga bahawa koleksi eksklusif ini akan memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

UPDATE

Bermula 7 November 2025, ROG x Honkai Impact 3rd Elysia’s Special Collectionuntuk ROG Phone 9 Pro boleh didapati di Malaysia dalam kuantiti terhad. Set eksklusif ini berharga RM3,999.
Pelancaran ini adalah sebahagian daripada Promosi Akhir Tahun Siri ROG Phone 9, yang berlangsung dari 7 November hingga 31 Disember 2025. Sepanjang tempoh promosi ini, ROG Phone 9 Pro versi standard juga akan ditawarkan pada harga promosi RM3,999 (turun daripada harga runcit yang disyorkan, RM4,599).
Selain itu, ROG Phone 9 FE akan dijual pada harga eksklusif RM2,299 (harga asal RM2,599).
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari SINI.
![[UPDATE] ASUS ROG & Honkai Impact 3rd Melahirkan Koleksi Edisi Terhad ROG Phone 9 Bertemakan Elysia!](https://cdn.gamersantai.com/2025/10/ROG-x-Honkai-Impact-3rd-Elysias-Special-Collection_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post