Electronic Arts Inc. bersama Battlefield Studios telah mengumumkan bahawa Battlefield 6 berjaya mencatat pelancaran terhebat sepanjang sejarah francais ini, meraih jualan melebihi 7 juta salinan sepanjang tiga hari pertama ia diperkenalkan ke pasaran, sekali gus memecahkan pelbagai rekod lama siri ini.
Game yang kini boleh dimainkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S, serta PC melalui Steam, EA App, dan Epic Games Store ini, melambangkan perubahan dramatik bagi francais Battlefield selepas kekecewaan Battlefield 2042, yang hanya berjaya menjual tidak sampai 4 juta salinan pada minggu pertamanya dan dianggarkan jumlah keseluruhan jualan seumur hidupnya hanya mencecah 10 juta unit.

Bukan sekadar dari segi jualan sahaja, Battlefield 6 turut mempamerkan tahap interaksi pemain yang luar biasa tinggi sepanjang hujung minggu pelancarannya. Game ini merekodkan lebih daripada 172 juta perlawanan yang berlangsung secara dalam talian dan mengumpulkan melebihi 15 juta jam tontonan di pelbagai platform penstriman sepanjang tempoh tiga hari tersebut.
Melalui platform Steam, game ini berjaya mencatatkan kemuncak 747,440 pemain serentak—satu pencapaian rekod francais yang meletakkan kedudukannya hampir ke dalam senarai 10 teratas kiraan pemain serentak tertinggi sepanjang zaman di Steam.
Battlefield 6 menghadirkan pengalaman combat shooter berskala besar yang diperluaskan menerusi pengenalan mod multiplayer baharu, kempen singleplayer yang penuh aksi, serta kepulangan mod Portal yang membekalkan pemain dengan pelbagai alat kreatif untuk mencipta pengalaman gaming tersendiri.
Sokongan pasca-pelancaran untuk game ini akan dimulakan dengan Season 1, yang bakal diperkenalkan pada 28 Oktober. Kemas kini bermusim yang diberi nama “Rogue Ops” ini akan menampilkan peta baharu yang dikenali sebagai Blackwell Fields serta mod 4v4. EA telah memberi jaminan untuk menyediakan kandungan bermusim secara berterusan, dengan dua fasa lanjutan kandungan Season 1 dirancang untuk dikeluarkan pada akhir tahun ini.

Kejayaan pelancaran ini menjadikan Battlefield 6 antara keluaran game paling besar pada tahun 2025 dan berpotensi sebagai pesaing kepada dominasi Call of Duty yang sudah lama bertakhta dalam pasaran shooter premium. Para penganalisis industri berpendapat bahawa permulaan yang memberangsangkan bagi Battlefield 6 ini berkemungkinan membolehkannya merampas kedudukan teratas genre FPS sekiranya momentum ini dapat dikekalkan sepanjang tahun.
Pemain boleh memperoleh butiran lanjut di laman web Battlefield.com.









Discussion about this post