Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

[Interviu] Fallout 76 Menuju Ke Barat Dalam ‘Burning Springs,’ Sebuah Expansion Yang Diinspirasikan Fallout Klasik & The Ghoul

Razin Syafiq by Razin Syafiq
October 1, 2025
in Action, Artikel, Berita, PC, PS4, RPG, Steam, Temuramah, Xbox One
0 0
0
[Interviu] Fallout 76 Menuju Ke Barat Dalam ‘Burning Springs,’ Sebuah Expansion Yang Diinspirasikan Fallout Klasik & The Ghoul
Share on FacebookShare on Twitter

Dunia Fallout 76 bakal menjadi lebih besar—dan lebih berbahaya. Dalam satu perbincangan, Pengarah Produksi Bill Lacoste dan Pengarah Kreatif Jon Rush menjelaskan tentang Fallout 76: Burning Springs, sebuah expansion besar-besaran yang akan dilancarkan pada awal Disember.

Kiri ke kanan: Bill Lacoste (Pengarah Produksi), Jon Rush (Pengarah Kreatif) | Kredit: Bethesda Softworks

Kemas kini ini bukan sahaja melangkaui sempadan Appalachia ke wilayah Ohio pasca-perang yang belum diterokai, tetapi juga mengintegrasikan dunia siri popular Amazon secara terus, dengan membawa watak ikonik Walton Goggins, The Ghoul, ke dalam game sebagai watak utama.

Wilayah Ohio Baharu dan Inspirasinya

Kredit: Bethesda Softworks

Selama bertahun-tahun, Sungai Ohio telah menjadi penanda sempadan barat peta Fallout 76, satu halangan semula jadi yang memisahkan dunia yang diketahui daripada yang tidak diketahui. Dengan Burning Springs, semua itu akan berubah.

Apabila ditanya mengenai pilihan lokasi, Jon Rush membalas dengan nada bergurau, “Kenapa tidak Ohio? Kenapa tidak Ohio?” Beliau menjelaskan bahawa selepas meluas ke arah timur dan menghampiri Capital Wasteland yang sudah dikenali, pasukan pembangunan melihat satu peluang unik di sebelah barat.

“Kami melihat ke arah barat dan menyedari, oh, kita betul-betul di sempadan Ohio dan tidak banyak yang telah dilakukan di rantau itu dalam cerita Fallout, jadi kenapa tidak?”

Keputusan ini menyediakan “kanvas kosong”, membolehkan pasukan tersebut membina asas cerita di sudut baharu alam semesta Fallout.

“Sangat hebat untuk mempunyai kanvas kosong di sebuah rantau di mana kami boleh mewujudkan beberapa latar cerita awal untuk game ini,” tambah Lacoste.

Kredit: Bethesda Softworks

Sempadan baharu ini bukan sekadar ruang kosong; ia adalah satu penghormatan kepada suasana yang lasak dan gersang seperti yang ada dalam siri-siri kegemaran francais ini. Pasukan pembangunan mendapat inspirasi hebat daripada pengakhiran siri Amazon, yang mengacah bandar ikonik New Vegas.

“Apa yang kami mahu lakukan dengan rantau baharu ini adalah kami mahu ia mengingatkan orang ramai tentang apa yang mereka kenali dan sukai dalam Fallout 3 dan Fallout New Vegas,” kongsi Rush.

Visi ini telah dirumuskan menjadi tiga tonggak reka bentuk utama untuk pasukan tersebut:

“Ia mesti ada padang pasir, Deathclaw, dan raider. Dan bagi saya, itu merangkumi suasana, intipati, dan bahaya game-gametersebut.”

Hasilnya adalah sebuah rantau yang luas, yang digambarkan oleh Rush dari segi saintifik sebagai “sangat besar,” menampilkan lebih 20 tempat menarik baharu. Para pemain akan membuat penjelajahan pertama mereka ke tanah berbahaya ini dengan menyeberangi Point Pleasant Bridge yang telah dibina semula, satu perjalanan yang digalakkan oleh Lacoste untuk dinikmati oleh para pemain.

“Pergi ke Point Pleasant, bersiar-siar di atas Mothman Bridge, teruskan perjalanan ke kompleks… Pemandangan, pendedahan visual yang akan anda dapat di akhir misi itu sangat hebat.”

Dan bagi pemain yang tertanya-tanya tentang penghuni tanah yang ganas ini, terutamanya pemangsa yang paling terkenal, pasukan itu tetap berselindung. Apabila ditanya sama ada rantau yang dipenuhi Deathclaw itu akan menampilkan anak Deathclaw, Lacoste hanya tersenyum dan berkata, “Anda perlu bermain sendiri untuk mengetahuinya.”

Walton Goggins Membawa Watak Ghoul ke dalam Game

Kredit: Bethesda Softworks

Integrasi The Ghoul lebih daripada sekadar penampilan kameo; ia adalah akibat daripada kejayaan luar biasa siri televisyen tersebut. Rush menjelaskan bahawa perancangan untuk kandungan yang diinspirasikan oleh musim kedua bermula sejurus selepas musim pertama berakhir.

“Melihat betapa hebatnya musim pertama dihasilkan dan betapa semua orang menyukainya… kami terus mula merancang untuk musim kedua,” katanya. “Kami cuma tahu bahawa apabila musim kedua tiba, kami mahukan sesuatu yang selari sepenuhnya dan besar, bukan? Jadi dari situlah Burning Springs muncul.”

Kredit: Bethesda Softworks

Ini menimbulkan persoalan penting bagi peminat cerita: bagaimana The Ghoul, yang masih hidup lebih 200 tahun selepas peristiwa Fallout 76, boleh berada dalam garis masa yang lebih awal ini? Rush memberikan penjelasan yang jelas.

“Fallout 76 sebenarnya berada pada titik paling awal dalam garis masa… dan siri TV pula berada pada titik paling hadapan,” beliau memulakan. “Nasib baik bagi kami, The Ghoul telah mengawet dirinya melalui proses ghoulification. Jadi kewujudan The Ghoul dalam garis masa 76 adalah munasabah. Walaupun apa yang dia lakukan di Ohio, atau apa yang dahulunya Ohio, masih belum dapat dipastikan.”

Kolaborasi dengan Walton Goggins adalah satu padanan yang semula jadi.

“Walton Goggins sememangnya peminat besar francais ini. Dia peminat besar game ini,” kata Rush.

Proses menghidupkan watak itu adalah satu kerjasama kreatif, yang berakhir dengan persembahan yang menangkap intipati sebenar watak penembak itu.

“The Ghoul benar-benar menyerlah apabila Walton Goggins mengambil skrip itu dan menjadikannya miliknya sendiri… Sungguh mengagumkan melihat dia berubah daripada Walton Goggins menjadi The Ghoul, begitu sahaja. Ia sangat hebat.”

‘Grunt Hunts’ dan ‘Head Hunts’, Kehidupan Baharu Anda sebagai Bounty Hunter

Kredit: Bethesda Softworks

Di tengah-tengah Burning Springs adalah sistem ‘bounty hunting’ serba baharu, yang dihoskan oleh The Ghoul sendiri dari pangkalan operasinya di Highway Town. Ciri ini, kata Rush, “mungkin ciri unik utama kemas kini baharu ini.”

Para pemain akan berkumpul di sebuah bar bernama Last Resort, yang menurut Lacoste telah menjadi hab sosial yang sebenar secara organik.

“Semua orang akan pergi ke Last Resort… dan kami belum pernah mempunyai ruang seperti itu sebelum ini selain daripada acara bos,” katanya.

Rush menyamakan suasana tempat itu dengan lokasi Fallout klasik:

“Rasanya seperti Diamond City dari Fallout 4… hab perhimpunan komuniti yang besar dan luas.”

Kredit: Bethesda Softworks

Sistem bounty itu sendiri direka untuk nilai main semula yang tidak berkesudahan di 20 lokasi khas. Pemain akan bermula dengan “grunt hunts,” yang digambarkan oleh Rush sebagai “bounty peringkat rendah yang dia [The Ghoul] tidak ada masa untuk uruskan.”

Selepas membuktikan kebolehan mereka, mereka mungkin akan ditawarkan “head hunt.”

“Anggaplah ‘head hunt’ sebagai acara awam,” jelasnya. “Ia jauh lebih sukar… anda akan memerlukan bantuan itu kerana sasaran ‘head hunt’ sangat, sangat sukar, tetapi ganjarannya juga sangat, sangat lumayan.”

Hanya satu “head hunt” boleh aktif pada satu-satu masa bagi setiap server, tetapi sesiapa sahaja boleh menyertainya, memastikan pertempuran ini menjadi acara klimaks seluruh server. Sasarannya pelbagai dan sering kali aneh, daripada kumpulan raider hingga musuh yang lebih luar biasa.

“Anda mungkin akan bertemu dengan sekumpulan badut. Anda mungkin akan bertemu dengan sekumpulan pemuzik. Anda mungkin akan bertemu dengan sekumpulan nenek,” Rush mengacah.

Dengan bekalan penjahat yang tidak terhingga, Lacoste mengesahkan, “The Ghoul tidak mempunyai masa untuk melakukannya sendiri. Sebab itulah anda di sini.” Tetapi awas: Highway Town bukanlah tempat yang selamat.

“Saya tidak akan kata Highway Town tidak berbahaya,” Lacoste memberi amaran. “Ada beberapa orang jahat di sana. Tidak sepenuhnya selamat.”

Rush menambah sambil tersenyum, “Jaga-jaga dengan cap, semua, apabila berjalan di sekitar Highway Town.”

Senjata Baharu, Ganjaran, dan Kemas Kini Sistem

Kredit: Bethesda Softworks

Selain daripada sistem bounty hunting utama, Burning Springs padat dengan kandungan dan butiran persekitaran yang baharu. Pemain boleh menjangkakan pelbagai gear baharu, dengan Rush berjanji, “Semestinya senjata baharu, ganjaran… mod baharu, pakaian, perisai, semuanya.”

Beliau meluahkan minat peribadi terhadap senjata baharu, dengan berkata, “Saya sangat suka berlari-lari dengan pistol The Ghoul.” Tambahan ini juga memperkaya dunia dengan flora baharu—termasuk varian unik yang muncul selepas letupan nuklear—dan skor muzik serba baharu yang digubah khusus untuk rantau Ohio.

Kredit: Bethesda Softworks

Sistem sedia ada juga menerima perhatian yang besar. Pemancing akan menemui ikan baharu dan legenda tempatan di perairan Ohio, dan Rush mengesahkan ini hanyalah permulaan.

“Kami juga mempunyai rancangan masa depan untuk memancing… ikan bermusim pada masa akan datang serta penambahbaikan dan penambahan kepada ciri ini secara keseluruhan.”

Pembina akan menemui “banyak pemandangan yang sangat hebat untuk membina kem mereka,” menurut Lacoste. Pasukan itu juga memastikan bahawa pemain yang memilih untuk menjadi Ghoul tidak ketinggalan.

“Kandungan pada masa hadapan perlu mengambil kira The Ghoul,” tegas Lacoste.

Ini akan dizahirkan dalam pilihan dialog khusus dan ganjaran unik, seperti “mod yang memberi manfaat khusus kepada para Ghoul.” Falsafah ini kini menjadi sebahagian proses reka bentuk mereka.

“Salah satu soalan pertama yang akan kami tanya pada diri sendiri ialah, bagaimana ini memberi manfaat kepada Ghoul?” tambah Rush. “Bagaimana ini menyokong pemain yang telah membuat keputusan itu?”

Reka Bentuk, Mod Multiplayer, dan Masa Depan

Kredit: Bethesda Softworks

Sebagai game live-service berterusan, pasukan sentiasa memikirkan tentang penciptaan misi naratif dan sistem yang boleh dimain semula tanpa henti. Lacoste menjelaskan fokus mereka sering kali lebih kepada yang kedua.

“Banyak kandungan misi itu jenis sekali main dan selesai… keseimbangannya akan lebih tertumpu pada aspek multiplayer,” katanya, sambil menekankan sistem seperti bounty hunting yang menyatukan komuniti.

Rush menambah bahawa ciri yang didorong oleh sistem pun menyumbang kepada naratif permainan, membolehkan pemain mencipta cerita mereka sendiri yang muncul secara spontan.

“Ia menyokong cerita mereka sendiri sepanjang bermain sambil mengekalkan suasana dan fiksyen dunia Fallout sedia ada.”

Apabila bercakap tentang barisan misi baharu expansion ini, para pembangun mengukur kejayaan bukan dalam jam permainan, tetapi dalam kualiti pengalaman.

“Apa yang paling penting bagi kami adalah mencipta pengalaman yang kaya dan memuaskan untuk pemain,” kata Rush.

Kredit: Bethesda Softworks

Melihat ke masa depan, pasukan itu menangani ciri ‘cross-play’ yang sangat diminta. Lacoste berterus terang mengenai cabarannya.

“Ia adalah satu halangan teknikal yang sangat besar, terutamanya selepas tujuh tahun pembangunan game ini… halangan teknikal itu melebihi keperluan untuk kandungan.”

Walaupun ia bukan satu penolakan mutlak, dan Rush mengesahkan “kami sebenarnya kerap membincangkannya,” ia tetap menjadi satu halangan yang besar. Walau bagaimanapun, halangan ini tidak melemahkan visi jangka panjang mereka.

“Kami mempunyai rancangan untuk bertahun-tahun akan datang,” isytihar Rush. “Ia akan menjadi lebih besar dan lebih baik untuk semua orang.”

Evolusi Game selepas 64 Kemas Kini

Kredit: Bethesda Softworks

Dengan Burning Springs menandakan kemas kini percuma yang ke-64 untuk Fallout 76, kedua-dua pengarah merenung evolusi game tersebut yang luar biasa.

“Ia adalah satu perjalanan yang menakjubkan,” kata Lacoste.

Beliau menekankan komitmen mereka untuk bukan sahaja menambah kandungan baharu tetapi juga meningkatkan pengalaman utama, merujuk kepada keseimbangan semula sistem combat baru-baru ini.

“Daripada beberapa gameplay yang mungkin anda lihat hari ini, anda dapat melihat bahawa pengendalian senjata terasa lebih kemas berbanding dahulu.”

Dedikasi ini berpunca daripada cinta yang tulen terhadap dunia yang telah mereka bina. “Kami sangat, sangat berbangga dengan game ini,” sambung Lacoste.

“Jon dan saya kedua-duanya mempunyai lebih seribu jam bermain sebagai watak peribadi kami… Kami juga peminat game ini, sama seperti anda semua.”

Kredit: Bethesda Softworks

Semangat ini jelas terpancar dalam keterujaan mereka terhadap butiran kecil dalam expansion baharu ini. Lacoste bercakap dengan gembira tentang sistem cuaca baharu, di mana “ribut pasir melanda dan anda melihat serpihan berterbangan,” dan memberi penghargaan istimewa kepada lokasi baharu:

“Saya masih suka Dino Peak Mini Golf. Anda semua akan dapat pergi ke sana dan melihatnya.”

Sebelum pelancaran Burning Springs, perasaan yang dirasai adalah kebanggaan dan penantian yang besar. “Ini adalah salah satu kemas kini terbaik kami,” Lacoste menyimpulkan.

“Ia akan menjadi sangat menyeronokkan dan orang ramai pasti akan menikmatinya.”

Dan bagi para penjelajah yang benar-benar berdedikasi, Rush meninggalkan petunjuk yang menarik bahawa rahsia Appalachia masih jauh daripada terbongkar, “Ya, terdapat banyak ‘Easter egg’ dalam game yang masih belum ditemui oleh pemain.”

Kredit: Bethesda Softworks

Bagi mereka yang tidak sabar untuk melihatnya, kedua-dua mereka mengumumkan bahawa Fallout 76: Burning Springs akan tersedia di Public Test Server (PTS) pada 2 Oktober, dengan lebih banyak butiran akan didedahkan semasa siaran Fallout Day pada 23 Oktober.

Tags: Fallout 76interviu
ShareTweetSend
Previous Post

Previu Fallout 76: Burning Springs – Wasteland Membara Semula

Next Post

animate Umum Pembukaan Rasmi Cawangan Tetap Di Kuala Lumpur & animate Cafe Pertama Di Malaysia

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

animate KL Bakal Anjur Sonic the Hedgehog 35th Anniversary Fair & Gratte Cafe Bermula 6 Jun!
Jom Singgah!

animate KL Bakal Anjur Sonic the Hedgehog 35th Anniversary Fair & Gratte Cafe Bermula 6 Jun!

June 5, 2026
Reviu Farming Simulator 26 (Nintendo Switch) – Pertanian Santai “On-The-Go,” Tapi Grafik Pula Kurang Menjadi
Review

Reviu Farming Simulator 26 (Nintendo Switch) – Pertanian Santai “On-The-Go,” Tapi Grafik Pula Kurang Menjadi

Pokémon Center Singapore Bakal Dibuka Semula 1 Julai 2026 – Wajah Baru, Merchandise Baru!
Jom Singgah!

Pokémon Center Singapore Bakal Dibuka Semula 1 Julai 2026 – Wajah Baru, Merchandise Baru!

June 5, 2026
Next Post
animate Umum Pembukaan Rasmi Cawangan Tetap Di Kuala Lumpur & animate Cafe Pertama Di Malaysia

animate Umum Pembukaan Rasmi Cawangan Tetap Di Kuala Lumpur & animate Cafe Pertama Di Malaysia

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd