Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu Silent Hill f – Kabus Merah Dari Tanah Matahari Terbit

Razin Syafiq by Razin Syafiq
September 22, 2025
in Artikel, Berita, Epic Store, Game Review, Microsoft, PC, PS5, Review, Seram, Steam, Xbox Series X|S
0 0
0
Reviu Silent Hill f – Kabus Merah Dari Tanah Matahari Terbit
Share on FacebookShare on Twitter

Silent Hill f tiba sebagai satu nafas baharu yang berani, diposisikan sebagai “permulaan untuk generasi akan datang.” Sejak berdekad lamanya, siri Silent Hill telah menjadi antara wajah utama dalam dunia game seram kerana kehebatannya dalam mengadunkan debaran psikologi dengan simbolisme yang mengganggu mental.

Tetapi dengan entri terkini, ia bukan sahaja cuba memberi penghormatan kepada legasinya, malah membawanya ke satu arah yang penuh dengan elemen kebudayaan.

Kredit: Konami

Bagi tujuan ulasan ini, saya telah menamatkan game ini buat kali pertama sehingga ke penghujungnya, mencapai penamat yang telah ditetapkan. Namun, sedia maklum bahawa masih ada empat lagi pengakhiran berbeza yang boleh diterokai.

Saya bermain dengan tetapan kesukaran yang disarankan oleh pembangun, iaitu Story Action dan Story Puzzle, dengan tempoh gameplay sekitar 16 jam. Ini termasuklah hampir tiga jam yang dihabiskan untuk menyelesaikan beberapa teka-teki.

Pemain yang lebih cekap mungkin mampu menyelesaikannya dalam jangka masa 12 hingga 13 jam sahaja. Selaras dengan kenyataan pembangun, penamat bagi playthrough pertama adalah tetap, sementara empat lagi penamat menawarkan naratif yang berbeza.

Kredit: Konami

Ulasan ini akan membedah aspek gameplay, atmosfera, dan penceritaan tanpa mendedahkan sebarang butiran mengenai penamat-penamat alternatif. Persoalan utamanya masih sama: mampukah Silent Hill baharu ini membangkitkan perasaan seram yang begitu dikenali, tetapi dengan sentuhan yang sama terasa baharu dan menghantui?

Bencana di Kampung Ebisugaoka

Kredit: Konami

Mengambil latar masa di Jepun pada era Showa, penceritaan Silent Hill f bertempat di Ebisugaoka, sebuah perkampungan terpencil di kawasan pergunungan. Keindahan suasana kampungnya yang dihiasi sawah padi, kuil-kuil lama, dan lorong-lorong sunyi sebenarnya menyembunyikan satu rahsia yang amat mengganggu.

Tumbuh-tumbuhan aneh berupa bunga dan kabus mula menjalar dan menakluki pekan itu, memberi isyarat akan satu malapetaka mengerikan yang bukan sekadar fenomena alam.

Kredit: Konami

Watak utamanya, Hinako Shimizu, ialah seorang gadis remaja yang kekok dan sering disisihkan oleh rakan-rakannya kerana gemar berkawan dengan budak lelaki. Ketika zaman kanak-kanaknya, teman setianya hanyalah anak patung dan seorang kakak yang baik hati.

Keadaan menjadi rumit setelah kakaknya berkahwin, meninggalkan Hinako untuk berdepan dengan ayahnya yang suka mengongkong dan ibu yang terlalu pasif. Tidak tahan dengan tekanan, dia melarikan diri untuk mencari ketenangan bersama rakan-rakannya, namun sebaliknya terjerumus ke dalam peristiwa yang aneh.

Seluruh penduduk kampung hilang tanpa jejak, memaksa Hinako dan beberapa rakannya yang terselamat untuk mencari jalan keluar dari kepungan kabus yang tiada penghujungnya.

Kredit: Konami

Perjalanan Hinako menyaksikannya terperangkap di antara tiga alam realiti yang berbeza:

  • Real World: Gambaran kampung yang kelihatan biasa tanpa sebarang elemen aneh.
  • Surface World: Realiti di mana keanehan kecil dan perasaan tidak tenteram mula menyelinap masuk.
  • Otherworld: Sebuah mimpi ngeri yang mengerikan, dihuni oleh makhluk-makhluk ganas seakan yokai dan simbolisme aneh yang meloyakan.
Kredit: Konami

Dalam perjalanannya, Hinako dibantu oleh seorang lelaki misteri berambut putih yang memakai topeng musang, namun niat sebenarnya masih menjadi tanda tanya.

Sambil meneroka, dia menemui pelbagai catatan, laporan perubatan, dan memorabilia yang sedikit demi sedikit mengubah persepsinya terhadap diri sendiri dan orang di sekelilingnya.

Anak patung kesayangannya turut muncul kembali, merayu supaya dia berpatah balik, manakala figura bertopeng musang itu terus memujuknya untuk mendapatkan “kebahagiaan” yang selama ini diimpikannya.

Kredit: Konami

⚠ AMARAN SPOILER UNTUK PENGAKHIRAN PERTAMA! KLIK UNTUK TAHU ⚠
Penamat pertama—satu-satunya pengakhiran yang boleh dibincangkan secara terbuka—mendedahkan bahawa dunia permukaan dan dunia lain hanyalah khayalan yang terhasil daripada keadaan mental Hinako yang rapu. Berdasarkan surat, rekod perubatan, dan peristiwa yang disaksikan, ternyata dia menderita trauma psikologi yang parah dan sangat bergantung kepada ubat-ubatan. Dikuasai oleh paranoia, dia mula bertindak ganas terhadap individu yang cuba menolongnya, yang akhirnya membawa kepada kemusnahan setiap versi dunia yang wujud di sekelilingnya dalam satu pengakhiran yang amat menyedihkan.
Kredit: Konami

Secara naratifnya, game ini adalah adunan menarik antara penceritaan unik Ryukishi07 dengan formula tradisional Silent Hill.

Karya Ryukishi seringkali berbelah bahagi antara kehidupan seharian dan kebenaran yang kejam, menggunakan elemen misteri dan tekanan psikologi untuk membongkar sisi gelap manusia, tetapi masih memberi harapan untuk penebusan.

Silent Hill pula sentiasa memanifestasikan perasaan bersalah, trauma, dan nafsu ke dalam bentuk kabus dan raksasa metafora, memaksa watak-wataknya bersemuka dengan sisi gelap diri mereka.

Kedua-dua elemen ini menghasilkan sebuah kisah di mana kabus di Ebisugaoka bukan sahaja menjadi metafora untuk hati yang kelam, malah berfungsi sebagai sebuah teka-teki logik dan emosi yang mengajak pemain untuk mendalami fitrah manusia.

Kredit: Konami

Walaupun masa bermain yang agak singkat untuk playthrough pertama, banyak persoalan masih belum terjawab. Penamat yang tetap itu meninggalkan banyak misteri, membuatkan keinginan untuk bermain kali kedua terasa lebih kuat.

Tradisi Bertemu Inovasi Melalui Gameplay

Kredit: Konami

Peta permainan direka dengan jelas dan mudah difahami, namun kekuatan sebenar eksplorasi terletak pada reka bentuk persekitarannya. Isyarat visual seperti lampu, kedudukan perabot, atau sumber cahaya yang samar digunakan secara bijak untuk membimbing pemain tanpa perlu sentiasa bergantung pada peta.

Barang-barang koleksi pula direka dengan teliti berunsurkan budaya Jepun: snek seperti Yokan, Arare, Ramune, Teh Kudzu, dan Inari Sushi berfungsi untuk memulihkan HP, Stamina, atau Sanity, menambahkan elemen budaya ke dalam fungsi praktikalnya.

Secara amnya, interaksi dengan persekitaran terasa lancar, walaupun ada kalanya mekanik pintu atau teka-teki memerlukan kedudukan kamera yang tepat untuk diaktifkan, yang boleh sedikit menjejaskan pengalaman gameplay.

Kredit: Konami

Sebelum mengupas sistem combat, penting untuk anda memahami fungsi tiga bar status utama:

  • Nyawa (HP): Bar yang menunjukkan tahap nyawa watak anda.
  • Stamina: Digunakan ketika berlari atau menyerang. Jika habis, watak tidak boleh melakukan sebarang tindakan sehingga ia pulih.
  • Sanity: Sumber tenaga untuk Mod Focus, tetapi ia juga akan susut akibat serangan psikik musuh (lazimnya dalam bentuk jeritan). Jika habis sepenuhnya, sebarang kerosakan Sanity seterusnya akan menjejaskan HP.
Kredit: Konami

Berbeza dengan judul-judul sebelumnya, Silent Hill f memberi penekanan tinggi pada sistem combat jarak dekat. Ketiadaan senjata api digantikan dengan sistem combat yang lebih strategik, menampilkan serangan ringan/berat, elakan, perfect counter, dan Mod Focus.

Kunci kejayaan terletak pada pemilihan masa yang tepat: apabila musuh menunjukkan kelemahan (disertai dengan gerakan perlahan dan imej bayang), serangan berat yang kena pada masanya akan menghasilkan ‘perfect counter’, memberikan damage besar dan melumpuhkan musuh seketika.

Mod Focus pula memperlahankan masa, membolehkan anda mengesan titik lemah musuh dengan lebih mudah, dan apabila dicas penuh, ia boleh melancarkan “serangan istimewa” yang sangat kuat.

Kredit: Konami

Jenis-jenis senjata termasuk paip keluli, kayu besbol, pisau dapur, sabit, besi perejang, tukul besar, dan kapak. Setiap satunya mempunyai kelebihan serta kelemahan tersendiri:

  • Paip, kayu besbol, perejang: Tahap ketahanannya lebih tinggi, tetapi damage lebih rendah.
  • Pisau dan sabit: Serangan pantas dan kuat, namun cepat rosak.
  • Tukul besar dan kapak: damage yang amat besar dan mempunyai serangan cas, tetapi pergerakannya perlahan apabila berdepan musuh yang lincah.
Kredit: Konami

Pengurusan inventori juga memainkan peranan yang sangat penting. Barangan yang ada berfungsi untuk memulihkan HP, Stamina, Sanity, atau ketahanan senjata, tetapi inventori awal anda terhad kepada 8 slot sahaja. Barangan bersaiz kecil (seperti Yokan) boleh ditindan, manakala yang besar (contohnya First Aid Kit) memerlukan slot individu.

Setiap barangan yang dibuang akan hilang selama-lamanya, jadi perancangan yang teliti amat diperlukan. Kapasiti inventori ini boleh ditambah kepada 11 slot sepanjang laluan cerita pertama.

Kredit: Konami

Namun, sistem ini bukannya tanpa cela. Animasi pertempuran terasa kurang kemas—pergerakan sebelum dan selepas menyerang tidak membenarkan pemain membatalkan aksi dengan mengelak (dodge-cancel), menjadikannya sukar apabila dikepung musuh.

Walaupun dimainkan di PS5, fungsi haptic feedback kurang dimanfaatkan, menyebabkan setiap pukulan terasa kurang berkesan.

Sistem shortcut inventori juga kurang praktikal: apabila barangan yang telah ditetapkan kehabisan, pemain terpaksa menghentikan game untuk memilih barangan lain dari menu, sekali gus mengganggu rentak gameplay.

Kredit: Konami

Namun, reka bentuk teka-teki diselaraskan dengan baik sekali dengan latar Jepun, merangkumi elemen seperti persembahan di kuil, tangkal, dan motif tradisional.

Tahap kesukarannya meningkat secara berperingkat; petunjuk pada awalnya agak jelas, tetapi teka-teki di peringkat akhir boleh menjadi sangat mengelirukan, malah catatan di dalam jurnal kadangkala boleh mengelirukan logik pemain.

Walaupun bermain pada mod Story Puzzle yang disarankan, saya sendiri terperangkap hampir sejam pada dua teka-teki.

Kredit: Konami

Kuil-kuil kecil di pinggir jalan yang dikenali sebagai Hokora mempunyai dua fungsi utama: sebagai lokasi save dan pusat naik taraf. Dengan memberikan barangan yang ditemui, anda akan menerima Faith Point. Mata ini boleh digunakan untuk meningkatkan statistik watak atau membuka Omamori.

Setiap Omamori memberikan bonus berbeza—seperti meningkatkan stamina, mengurangkan jarak penglihatan musuh, atau menambah damage senjata. Pada permulaan, anda hanya boleh menggunakan satu Omamori.

Untuk menambah slot, anda perlu melakukan tindakan “Pray”, yang akan meningkatkan HP, Stamina, Sanity, atau bilangan slot Omamori secara kekal.

Masih Adakah Elemen Seram Psikologi Dalam Silent Hill?

Kredit: Konami

Walaupun Silent Hill f berjaya menyajikan beberapa detik yang amat mencemaskan, ia lebih banyak bergantung pada elemen jump scare berbanding menerapkan perasaan seram yang membina secara perlahan-lahan seperti judul-judul sebelumnya.

Peringkat awal permainan—ketika anda tidak bersenjata dan serba tidak tahu—berjaya membina suasana yang sangat saspens. Namun, perasaan ini mula pudar setelah senjata diperolehi, dan taktik serang hendap yang berulang (contohnya, musuh yang muncul setiap kali pintu dibuka) lama-kelamaan menjadi mudah dijangka.

Kredit: Konami

Tekanan daripada persekitaran pula berada pada tahap normal. Kebanyakan kawasan diterangi cahaya matahari, dengan hanya beberapa lokasi dalaman yang malap. Ia kekurangan suasana menekan yang dicipta oleh kabus tebal dan persekitaran mereput yang sentiasa ada seperti dalam Silent Hill 2.

Kredit: Konami

Reka bentuk raksasa pula amat bersandarkan kepada elemen body horror: anggota badan yang cacat, bunga-bunga yang tumbuh dari tubuh, sulur-paut menjalar, dan tekstur seakan organ berjaya menimbulkan rasa jijik atau kurang selesa—tetapi hanya pada mulanya. Apabila sudah terbiasa, impak visual mereka mula berkurangan.

Bos terakhir, walaupun kelihatan gah, muncul terlalu lewat untuk meninggalkan kesan yang mendalam pada psikologi pemain. Tidak seperti Pyramid Head atau ikon-ikon lain, tiada ancaman yang sentiasa mengekori dan menghantui perjalanan anda.

Dalam siri-siri klasik, setiap makhluk mempunyai makna tersirat, mewakili rasa bersalah atau keinginan terpendam protagonis. Di sini, rekaan mereka terasa lebih bersifat literal—sekadar menjadi cabaran fizikal untuk diatasi, bukannya bebanan simbolik yang perlu difahami.

Faktor ini, ditambah pula dengan tumpuan berat pada aspek combat, menyebabkan raksasa-raksasa ini gagal meninggalkan ‘parut emosi’ yang berpanjangan.

Kredit: Konami

Elemen seramnya memang berkesan pada saat ia berlaku, tetapi kesannya tidak kekal lama. Sebaik sahaja laluan pertama tamat, kesan psikologi yang ditinggalkan terasa lebih lemah daripada yang dijangka—namun, tanggapan ini mungkin berubah dengan penamat-penamat yang lain.

Muzik dan Kualiti Visual

Kredit: Konami

Akira Yamaoka dan pasukannya sekali lagi berjaya menghasilkan skor muzik yang bukan sahaja menyeramkan, malah kaya dan berakar umbi dari segi budaya. Gabungan instrumen tradisional Jepun dan vokal elektronik menghasilkan satu audio yang unik dan terasa bersesuaian dengan naratifnya.

Muzik latar dan runut bunyi semasa babak penceritaan juga diselaraskan dengan cantik, berjaya menaikkan tahap ketegangan atau kesedihan tanpa terasa berlebihan.

Kredit: Konami

Butiran pada model watak amat mengagumkan, dengan animasi mikro yang ekspresif semasa babak sinematik berjaya mengelakkan watak kelihatan kaku atau janggal.

Sistem pencahayaan juga cemerlang, terutamanya pada babak panorama awal yang memaparkan keindahan kampung: sawah padi, kuil, dan rumah-rumah desa berjaya membangkitkan suasana asli Jepun pada era 1960-an.

Elemen seperti seni bina, papan doa, dan azimat omamori bukan sekadar hiasan; ia diintegrasikan ke dalam teka-teki, sistem naik taraf, dan pemulihan, menjadikan budaya sebagai teras utama gameplay.

Ketika dimainkan di PS5 Pro, prestasinya kekal stabil, dengan hanya sedikit penurunan kadar bingkai pada beberapa babak akhir, tanpa sebarang masalah teknikal yang serius.

Pendapat

Kredit: Konami

Silent Hill f merupakan satu percubaan berani untuk memberikan nafas baharu kepada francais ini. Ia tampil dengan penceritaan yang berani, bereksperimen dari segi mekanik, dan diperkaya dengan mitos Jepun. Kekuatan utamanya terletak pada atmosfera penceritaan, teka-teki yang bijak, dan identiti budaya yang begitu kuat.

Namun, kehebatannya ini sedikit tercalar oleh sistem combat yang kaku, pengurusan sumber yang kurang kemas, dan elemen seram yang kadangkala terasa luaran dan kurang menusuk secara psikologi.

Kredit: Konami

Bagi peminat tegar siri ini, ia adalah satu game yang menarik untuk cuba, walaupun tidak sempurna—terutamanya untuk menyaksikan bagaimana sentuhan penulisan Ryukishi07 berjaya membentuk semula kabus ikonik Silent Hill.

Bagi pemain baharu pula, ia adalah titik permulaan yang lebih mudah berbanding judul-judul terdahulu, namun untuk memahami lapisannya yang lebih mendalam, kesabaran amatlah diperlukan.

Kredit: Konami

Setelah melengkapkan penamat yang pertama, saya masih teruja untuk kembali ke dunia Silent Hill f bagi membongkar empat lagi pengakhiran yang ada.

Sama ada ia akan mengangkat status seramnya ke tahap legenda atau sekadar kekal sebagai sebuah eksperimen yang menarik, game ini adalah sebuah misteri yang saya tidak sabar untuk selesaikan.

Game ini akan dilancarkan pada 25 September untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, serta PC melalui Steam, Epic Games Store dan Microsoft Store. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.

The Review

Silent Hill f

9 Score

Silent Hill f merupakan satu percubaan yang berani dan bercita-cita tinggi untuk menghidupkan semula francais ini, dengan membawa pemain ke sebuah perkampungan Jepun era Showa yang kaya dengan budaya dan misteri. Penceritaannya yang digarap oleh Ryukishi07 menjadi sifat utama, menggunakan elemen seram psikologi dengan penceritaan misteri yang memukau. Walaupun cemerlang dari segi atmosfera, visual, dan muzik, pengalaman game ini sedikit terjejas oleh sistem combat jarak dekat yang terasa kaku dan kurang responsif, serta elemen seram yang lebih cenderung kepada jump scare berbanding debaran psikologi yang menjadi legasi siri ini. Secara keseluruhannya, ia adalah sebuah game yang menarik dan patut dialami, terutamanya kerana penceritaannya yang hebat, walaupun beberapa kelemahan mekanikal menghalangnya daripada mencapai kesempurnaan.

PROS

  • Menggabungkan seram psikologi Silent Hill dengan penceritaan misteri Ryukishi07 untuk naratif yang saspens dan unik
  • Kampung era Showa dan elemen cerita rakyat mencipta suasana budaya yang kaya dan mengasyikkan
  • Penerokaan, teka-teki, dan perkembangan diintegrasikan dengan bijak ke dalam dunia permainan
  • Muzik menggabungkan instrumen tradisional Jepun dengan nada elektronik untuk meningkatkan mood dengan sempurna
  • Visual yang terperinci dan pencahayaan yang ekspresif memberikan penampilan yang serba original dan seram

CONS

  • Combat terasa kaku dan kekurangan maklum balas yang lancar dan memuaskan.
  • Mekanik slot shortcut dan penukaran barangan tidak intuitif dan mengganggu kelancaran
  • Sesetengah teka-teki kekurangan petunjuk yang mencukupi, menyebabkan detik-detik yang mengganggu rentak cerit

Review Breakdown

  • Rating 0
Tags: reviuSilent Hill f
ShareTweetSend
Previous Post

Dragon Ball: Sparking ZERO ‘DAIMA Character Pack 2’ Akan Tiba 25 September, Menampilkan Goku SSJ4 & Vegeta SSJ3

Next Post

“Mencipta Game Yang ‘Cool’ Untuk Timur & Barat” – Visi Sebenar Sword Sage: Awakening

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Reviu Farming Simulator 26 (Nintendo Switch) – Pertanian Santai “On-The-Go,” Tapi Grafik Pula Kurang Menjadi
Review

Reviu Farming Simulator 26 (Nintendo Switch) – Pertanian Santai “On-The-Go,” Tapi Grafik Pula Kurang Menjadi

Pokémon Center Singapore Bakal Dibuka Semula 1 Julai 2026 – Wajah Baru, Merchandise Baru!
Jom Singgah!

Pokémon Center Singapore Bakal Dibuka Semula 1 Julai 2026 – Wajah Baru, Merchandise Baru!

June 5, 2026
RGG Studio Umum Jualan Hebat Di Steam, Harga Diskaun Untuk Like a Dragon, Yakuza & Banyak Lagi!
Promosi

RGG Studio Umum Jualan Hebat Di Steam, Harga Diskaun Untuk Like a Dragon, Yakuza & Banyak Lagi!

June 5, 2026
Next Post
“Mencipta Game Yang ‘Cool’ Untuk Timur & Barat” – Visi Sebenar Sword Sage: Awakening

"Mencipta Game Yang ‘Cool’ Untuk Timur & Barat" - Visi Sebenar Sword Sage: Awakening

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd