Setelah bertahun-tahun menunggu, penantian umtuk musim baharu siri anime popular One-Punch Man akhirnya berakhir kerana Season 3 secara rasminya disahkan bakal ditayangkan pada 5 Oktober 2025.
Pengumuman ini sekali gus mengakhiri kemarau selama lebih enam tahun yang dihadapi peminat sejak musim keduanya tamat disiarkan.
Berita tersebut diumumkan bersama visual utama baru dan sebuah trailer promosi, yang turut mendedahkan lagu-lagu tema untuk musim akan datang. Lagu pembukanya, “Get No Satisfied!,” adalah hasil kerjasama antara kugiran rock legenda siri ini, JAM Project, dengan kumpulan metal terkenal dunia, BABYMETAL.
Sementara itu, lagu penutup berjudul “Soko ni Aru Akari” (“The Light, That’s There”) akan dinyanyikan sendiri oleh pelakon suara Saitama, iaitu Makoto Furukawa.
Sebagai imbasan, musim pertamanya yang dihasilkan oleh studio Madhouse pada 2015 telah menjadi satu fenomena dan menerima pujian melambung kerana mutu animasinya yang cemerlang.
Namun, musim kedua yang diambil alih oleh J.C. Staff pada 2019 mendapat sambutan yang kurang memberangsangkan, terutamanya disebabkan penurunan kualiti animasi yang ketara. Keadaan ini menyebabkan musim ketiga diletakkan di bawah pemerhatian rapi dengan harapan yang amat tinggi daripada peminat.
Studio J.C. Staff sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerajui produksi animasi Season 3, satu keputusan yang telah mencetuskan pelbagai perbincangan dalam kalangan komuniti peminat.
Bagi meredakan sebarang kerisauan, produsernya, Atsushi Fujishiro, telah memberi jaminan bahawa pasukan produksi komited untuk menghasilkan karya berkualiti dan berjanji musim baharu ini ‘tidak akan mengecewakan’.

Untuk jalan ceritanya, One-Punch Man Season 3 akan meneruskan adaptasi arc Monster Association daripada manga karya ONE dan Yusuke Murata. Penonton bakal disajikan dengan pertarungan besar-besaran antara Hero Association menentang Monster Association yang diketuai oleh Monster King Orochi.
‘Hero Hunter’, Garou, akan menjadi tumpuan utama apabila dendam peribadinya terhadap para hero membawanya menjalinkan kerjasama berbahaya dengan pihak raksasa.
Pada masa yang sama, Saitama bersama Genos, akan berhadapan dengan ancaman raksasa yang jauh lebih hebat, manakala barisan hero S-Class seperti Tatsumaki, Bang, dan Atomic Samurai terpaksa berjuang melepasi had kemampuan mereka dalam pertempuran yang epik.

Buat masa ini, tarikh tayangan 5 Oktober 2025 itu disahkan untuk siaran di Jepun sahaja. Maklumat lanjut mengenai platform penstriman antarabangsa, terutamanya untuk penonton di Malaysia, dijangka akan diumumkan nanti.




![[ADCS 2025] Karya ‘Following The Line’ Raih Emas Di 27th DigiCon6 ASIA!](https://cdn.gamersantai.com/2025/09/ADCS-25_AWARD_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post