Wargaming, studio di sebalik game free-to-play yang sangat popular, World of Tanks, telah mengumumkan Update 2.0, sebuah rombakan paling transformatif dalam sejarah game ikonik ini.
Bakal dilancarkan pada 1 September, update ini akan memperkenalkan pelbagai kandungan baharu dan perubahan signifikan, bagi membuka era baharu untuk jutaan pemainnya.
World of Tanks ialah game aksi online berasaskan pasukan yang didedikasikan untuk peperangan kereta kebal, membolehkan pemain memandu lebih 800 kenderaan yang tepat dari segi sejarah dari 11 negara. Update 2.0 menjanjikan peningkatan pengalaman tersebut secara asasnya.

Tumpuan utama update ini ialah penampilan sulung kereta kebal Tier XI. Buat pertama kalinya, pemain akan dapat memandu 16 buah kenderaan Tier XI serba baharu, setiap satunya menampilkan mekanik gameplay yang unik dan sistem kemajuan baharu.
Wargaming telah mengesahkan bahawa lebih banyak kereta kebal Tier XI akan dikeluarkan pada masa hadapan.

Bagi memperkenalkan kenderaan peringkat teratas ini, sebuah acara PvE berpandukan penceritaan, “Operation Boiling Point,” akan menjadi latar belakang naratif untuk ketibaan mereka. Acara ini akan membolehkan pemain memandu uji tiga kereta kebal Tier XI yang berbeza di medan perang yang serba baharu.

Update ini juga membawa perubahan yang meluas pada gameplay. Pelarasan semula yang komprehensif akan mengubah suai lebih 350 buah kenderaan merentasi semua peringkat, direka untuk memberikan peranan combat yang lebih pintar dan gameplay yang lebih adil.
Ini dilengkapkan lagi oleh sistem matchmaker baharu, yang dibina dari awal untuk menyediakan masa menunggu yang lebih pantas, keseimbangan pasukan yang lebih baik dan pertempuran yang lebih dinamik.

Para pemain boleh mengerahkan kereta kebal mereka di medan pertempuran serba baharu: Nordskar, sebuah peta bertemakan Scandinavia.
Pengalaman pemain juga telah direka bentuk semula sepenuhnya. Hangar kini merupakan sebuah kilang kereta kebal yang dinamik di mana kenderaan dipasang dan disiapkan untuk pertempuran, manakala UI telah dipertingkatkan supaya lebih kemas, berfungsi dan bermaklumat.
Selain itu, peningkatan audio yang besar menghidupkan medan perang dengan bunyi kereta kebal yang lebih berat dan asli yang dirakam daripada kenderaan sebenar, serta landskap bunyi perang yang lebih jelas dan mengasyikkan.
Untuk maklumat lanjut tentang World of Tanks Update 2.0, sila lawati hab rasmi.









Discussion about this post