Lyrical Games dan One More Level, studio yang terkenal di sebalik siri Ghostrunner, telah secara rasmi mengumumkan projek mereka yang seterusnya: Valor Mortis.
Judul baharu ini adalah sebuah game Soulslike first-person untuk single-player yang akan dilancarkan pada 2026 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam.
Berlatarkan sejarah alternatif abad ke-19, Valor Mortis meletakkan pemain sebagai William, seorang askar Grande Armée Napoleon yang dibangkitkan semula dari kubur di medan perang. Eropah yang ditemuinya apabila dia sedar telah dimusnahkan oleh wabak misteri, dan William mendapati dirinya disemai dengan kuasa wabak itu.
Naratifnya menyaksikan pemain berinteraksi dengan tokoh dan realiti sejarah yang diubah oleh elemen seram supernatural sambil mencari kebenaran di sebalik wabak tersebut dan kebangkitan semula mereka.

Gameplay dalam Valor Mortis dibina di sekeliling sistem combat yang mencabar yang terdiri daripada parry, dash, dan serangan finishers ganas merentasi pelbagai jenis senjata.
Mendokong falsafah Soulslike bahawa “setiap kematian adalah peluang untuk menjadi lebih kuat,” pemain boleh menyalurkan abiliti supernatural baharu mereka untuk memperkuat serangan dan menewaskan makhluk-makhluk keji Eternal Guard milik Napoleon yang dijangkiti wabak.
Reka bentuk tahap yang berinspirasikan Metroidvania akan menggalakkan penerokaan dan penggunaan mobiliti yang baru ditemui untuk mendedahkan rahsia persekitaran.

Dalam satu siaran media, CEO One More Level, Szymon Bryla, menerangkan cita-cita studio mereka untuk mencuba genre baharu sambil membina di atas kejayaan dahulu mereka.
“Dengan Valor Mortis, kami ingin mencuba sesuatu yang baharu dan asli—sebuah pengalaman yang lebih gelap, sambil tetap menawarkan cabaran sebenar kepada pemain,” kata Bryla. “Selepas Ghostrunner, kami tahu kami mempunyai asas untuk mencipta judul FPP, tetapi kali ini dalam genre Soulslike.
Pada masa yang sama, kami ingin kekal setia kepada kepakaran kami – iaitu menghasilkan game yang sukar untuk pemain tegar, berlatarkan dunia yang menarik dan luas, sambil menunjukkan bahawa studio ini telah berkembang sejak projek-projek kami yang terdahulu.
Valor Mortis ialah satu nafas baharu dan asli dalam genre Soulslike yang kami tidak sabar untuk para pemain merasainya sendiri.”
Mereka juga sedang membuka pendaftaran untuk playtest. Jika berminat, anda boleh mendaftar diri di SINI.









Discussion about this post