NetherRealm Studios boleh berbangga kerana game mereka, Mortal Kombat 1, telah disahkan sebagai fighting game paling laris bagi generasi konsol terkini.
Pengumuman ini dibuat sendiri oleh Ed Boon, salah seorang pencipta siri ikonik ini, yang mendedahkan melalui X (sebelum ini Twitter) bahawa game itu kini telah mencatatkan jualan melebihi 6.2 juta salinan di seluruh dunia.
Walaupun angka ini mengesahkan kedudukan dominan francais ini dari segi komersial, ia disambut dengan perasaan bercampur-baur kerana wujudnya rasa kecewa dalam kalangan peminat serta timbulnya tanda tanya mengenai hala tuju siri ini pada masa hadapan.
Sejak ia mula dipasarkan pada 19 September 2023, prestasi jualan Mortal Kombat 1 sentiasa mengatasi game-game saingannya. Sebagai perbandingan, Street Fighter 6 dari Capcom yang menerima pujian ramai dan mula dijual pada Jun 2023, telah mencatat jualan sebanyak 5 juta unit setakat Jun 2025.
Pesaing lain, Tekken 8 dari Bandai Namco yang tiba pada Januari 2024, pula telah terjual sebanyak 3 juta unit menjelang Mac 2025.
Walaupun Dragon Ball: Sparking! Zero menunjukkan permulaan yang sangat pantas dengan jualan 5 juta salinan dalam tiga bulan pertamanya, ketiadaan laporan jualan terkini mengesahkan Mortal Kombat 1 kekal sebagai peneraju pasaran.

Walau bagaimanapun, pencapaian ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar.
Di sebalik kedudukannya sebagai peneraju generasi semasa, angka jualan 6.2 juta unit itu sebenarnya menandakan satu kemerosotan yang signifikan, iaitu hampir 60% lebih rendah berbanding jualan hebat sebanyak 15 juta unit yang dicatatkan oleh judul terdahulu, Mortal Kombat 11.
Perbezaan yang amat ketara ini mencetuskan kebimbangan mengenai momentum pertumbuhan francais ini.

Game ini, yang merupakan sebuah reboot untuk siri, membawa pemain ke garis masa serba baharu rekaan Fire God Liu Kang. Ia pada mulanya menerima sambutan hangat, dengan para pengkritik memuji kualiti visual yang mengagumkan serta mekanik gameplay teras yang telah ditambah baik.
Momentum kejayaan awalnya juga banyak dibantu oleh fenomena kebangkitan semula genre fighting game antara tahun 2023 hingga 2024, di mana beberapa francais terbesar dalam genre ini melancarkan judul baharu mereka dalam jangka masa yang sangat rapat—sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak penghujung era 1990-an.

Di sebalik kejayaan jualannya, hubungan antara NetherRealm dan komuniti pemainnya mula menjadi keruh. Pada bulan Mei 2025, pihak studio telah mengesahkan bahawa pek expansion cerita, Khaos Reigns, adalah kandungan besar terakhir untuk game ini, dan tiada lagi watak DLC baharu akan diperkenalkan.
Keputusan ini bermakna tempoh sokongan aktif untuk Mortal Kombat 1 hanya bertahan kurang daripada 21 bulan, satu jangka masa yang jelas lebih pendek jika dibandingkan dengan sokongan selama dua tahun untuk Mortal Kombat 11, apatah lagi jika dibandingkan dengan pesaingnya seperti Street Fighter 5 (enam tahun) dan Tekken 7 (empat tahun).

Tindakan menamatkan sokongan kandungan baharu ini telah menimbulkan kekecewaan dalam kalangan peminat, lebih-lebih lagi kerana Boon sendiri sebelum ini pernah memberi memberitahu bahawa MK1 akan disokong untuk tempoh yang lebih panjang berbanding judul terdahulu.
Meskipun pasukan pembangun masih komited mengeluarkan balance patch—malah Boon sendiri aktif mendapatkan input daripada peminat—komuniti tetap menyuarakan rasa kekecewaan kerana merasakan jangka hayat dan potensi game ini tidak dipenuhi seperti yang diharapkan.









Discussion about this post