Semasa sambutan One Piece Day’25, Netflix telah mendedahkan teaser pandangan pertama Season 2 untuk siri live action popular One Piece dan turut membuat pengumuman mengejut dengan mengesahkan pembikinan untuk musim ketiga.
Musim kedua, yang diberi judul rasmi One Piece: Into the Grand Line, bakal menemui penonton pada tahun 2026. Meskipun tarikh tayangan yang spesifik masih dirahsiakan, proses penggambaran di Cape Town, Afrika Selatan, telah pun selesai dan kini kerja-kerja pasca-produksi sedang giat dijalankan.

Dalam musim terbaharu ini, pengembaraan Monkey D. Luffy bersama kumpulannya akan diteruskan dengan pelayaran mereka memasuki lautan yang paling berbahaya di dunia. Sinopsis rasmi menceritakan:
“Luffy dan kru Straw Hats memulakan pelayaran ke Grand Line yang luar biasa—sebuah lautan legenda di mana bahaya dan keajaiban menanti di setiap selekoh. Dalam perjalanan mereka merentasi alam yang tidak dapat dijangka ini untuk mencari khazanah teragung di dunia, mereka akan bertemu dengan pulau-pulau aneh dan pelbagai musuh baharu yang hebat.”

Season 2 disahkan akan mengadaptasi kisah-kisah awal Saga Alabasta, yang merangkumi Reverse Mountain, Whiskey Peak, Little Garden, dan juga Drum Island.
Melalui klip yang dikongsikan, peminat diberi gambaran tentang pengembaraan akan datang, yang turut memaparkan watak-watak penting seperti Princess Vivi, Captain Smoker, Miss All Sunday, serta ikan paus Laboon dan gergasi dari Little Garden.

Sudah tentu, pelakon-pelakon utama yang membawa watak geng Straw Hats akan kembali melakonkan peranan masing-masing—Iñaki Godoy (Luffy), Mackenyu (Zoro), Emily Rudd (Nami), Jacob Romero (Usopp), dan Taz Skylar (Sanji).
Turut serta bersama mereka ialah beberapa pelakon baharu yang akan menghidupkan watak-watak ikonik lain, antaranya:
- Charithra Chandran sebagai Princess Vivi (Miss Wednesday)
- Lera Abova sebagai Nico Robin (Miss All Sunday)
- Callum Kerr sebagai Captain Smoker
- David Dastmalchian sebagai Mr. 3
- Katey Sagal sebagai Dr. Kureha
- Joe Manganiello sebagai Mr. 0
- Sendhil Ramamurthy sebagai Nefertari Cobra
- Brendan Sean Murray sebagai gergasi Brogy
Seperti yang diumumkan sebelum ini, Mikaela Hoover akan menyumbangkan suara serta menjadi model wajah untuk Tony Tony Chopper.

Bukan itu sahaja, Netflix turut memberikan lampu hijau untuk penerbitan Season 3 lebih awal daripada kebiasaan. Musim ketiga ini dijangka akan meneruskan penceritaan Saga Alabasta, dan kemungkinan besar akan memfokuskan kepada klimaks arc tersebut.
Pengesahan ini diperkukuhkan lagi dengan petunjuk daripada pelakon Joe Manganiello, yang menyatakan wataknya Mr. 0 akan membuat kemunculan semula, menandakan kesinambungan kisah itu.

Projek siri live action ini merupakan hasil kerjasama antara Netflix, Shueisha, dan Tomorrow Studios. Bagi memastikan naskhah adaptasi ini tidak lari daripada bahan sumber asalnya, pencipta manga itu sendiri, Eiichiro Oda, meneruskan peranannya secara langsung sebagai salah seorang penerbit eksekutif.









Discussion about this post