Berita baik buat para peminat Jujutsu Kaisen di Malaysia! GSC telah mengesahkan tayangan eksklusif filem kompilasi JUJUTSU KAISEN: Hidden Inventory / Premature Death – The Movie, yang dijadualkan untuk tayang di seluruh Malaysia bermula 4 September 2025.
Pengesahan ini, yang dikongsikan menerusi akaun rasmi X milik GSC, menandakan ketibaan filem ini di Malaysia, selepas tayangan perdananya di Jepun pada 30 Mei 2025.
Filem ini secara khususnya adalah sebuah kompilasi yang mengadaptasi arc “Hidden Inventory / Premature Death” daripada musim kedua anime tersebut. Penonton akan dibawa kembali ke kisah silam Satoru Gojo dan Suguru Geto semasa mereka masih di sekolah menengah, yang memaparkan detik permulaan persahabatan mereka.
Jalan ceritanya berpusat pada misi genting mereka berdua untuk menjadi pengawal peribadi kepada Riko Amanai daripada ancaman musuh serta sebuah kumpulan kultus yang berniat jahat.
Namun, misi mereka terjejas akibat kemunculan pembunuh upahan handal, Toji Fushiguro, sehingga mencetuskan peristiwa tragis yang akhirnya mengubah takdir Gojo dan Geto buat selamanya.

Meskipun bahan utamanya adalah rakaman daripada Musim ke-2, kandungan filem ini telah disunting semula khas untuk tayangan panggung wayang bagi menyajikan sebuah “pengalaman sinematik” yang lebih istimewa.
Antara penambahbaikannya termasuklah sistem bunyi yang telah diolah semula sepenuhnya agar lebih mengasyikkan di dalam dewan pawagam, bersama beberapa suntingan visual yang signifikan.
Penonton juga akan disajikan dengan kandungan baharu seperti sebuah segmen “Juju Stroll” yang tidak pernah ditayangkan sebelum ini dan juga dendangan versi akustik lagu tema pembukaan arc ini, “Where Our Blue Is” nyanyian Tatsuya Kitani.

Filem ini dilihat sebagai peluang terbaik bukan sahaja untuk peminat setia menghayati semula jalan cerita yang penuh emosi ini, tetapi juga untuk penonton baharu memahami konteks penting kisah tersebut.
Di samping itu, ia berfungsi sebagai satu imbasan semula yang tepat sebelum ketibaan musim ketiga Jujutsu Kaisen yang dinanti-nantikan oleh ramai.
Buat masa ini, butiran lanjut mengenai tiket JUJUTSU KAISEN: Hidden Inventory / Premature Death – The Movie belum lagi dikeluarkan. Oleh itu, para peminat dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan terkini melalui media sosial mereka bagi mendapatkan maklumat berkenaan jualan tiket.









Discussion about this post