Khabar angin mengenai adaptasi anime untuk permainan video popular, Sekiro: Shadows Die Twice, kini bertambah kencang. Ini berikutan penemuan satu pendaftaran domain web yang seolah-olah mengesahkan bahawa projek tersebut memang sedang dirancang secara rasmi.
Domain yang dimaksudkan, sekiro-anime.jp, telah didaftarkan oleh Kadokawa Corporation, yang merupakan syarikat penaung kepada pembangun Sekiro, FromSoftware. Didaftarkan pada 31 Julai 2025, ia menjadi bukti paling jelas setakat ini tentang kewujudan siri anime itu.
Buat masa ini, domain tersebut masih belum aktif dan hanya memaparkan halaman ralat, menandakan ia masih dalam peringkat persediaan awal.

Penemuan ini menyemarakkan lagi desas-desus yang sudah bertiup sejak 2023. Terdapat dakwaan tidak rasmi yang mengatakan anime Sekiro ini sedang diusahakan oleh studio Qzil.la. Walaupun masih baharu, studio ini semakin dikenali ramai menerusi karya mereka seperti Champignon Witch dan montaj penutup ke-11 untuk Chainsaw Man.
Fakta bahawa Kadokawa sendiri yang terlibat secara langsung menjadikan projek ini kelihatan sangat meyakinkan. Sebagai pemegang saham majoriti (70%) dalam FromSoftware dan pemilik beberapa studio anime, Kadokawa mempunyai segala sumber yang diperlukan untuk menghasilkan dan mengedarkan adaptasi ini.
Untuk yang kurang tahu, Sekiro: Shadows Die Twice yang dilancarkan pada 2019 mengisahkan perjalanan seorang shinobi di era Sengoku Jepun versi fantasi gelap. Misinya adalah untuk menyelamatkan tuannya dari cengkaman musuh.
Game ini mendapat pujian meluas kerana mekanik combat soulsborne yang unik dan mencabar berasaskan sistem posture, serta jalan ceritanya yang berunsurkan mitologi Buddha. Kejayaannya terbukti apabila ia dinobatkan sebagai Game of the Year di The Game Awards 2019 dengan jualan melebihi 10 juta unit setakat tahun 2023.
Meskipun pendaftaran domain ini menjadi isyarat kuat bahawa pengumuman rasmi mungkin akan dibuat tidak lama lagi, peminat disarankan untuk menganggap berita ini sebagai khabar angin sahaja buat masa ini.
Segala butiran lanjut seperti studio animasi yang terlibat, tenaga produksi, dan tarikh tayangan hanya akan disahkan selepas kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Kadokawa atau FromSoftware.
![[Khabar Angin] Anime Sekiro Hampir Disahkan Berikutan Pendaftaran Laman Web](https://cdn.gamersantai.com/2025/08/SEKIRO_ANIME_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post