Dengan pengumuman filem Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba: Infinity Castle – Part 1: Akaza Returns yang bakal menemui penonton di Malaysia pada 14 Ogos 2025, para peminat kini bersiap sedia untuk permulaan sebuah pengakhiran.
Filem akan datang ini adalah yang pertama daripada trilogi yang bakal mengadaptasi kemuncak siri ini, di mana Demon Slayer Corps bersiap untuk menentang Muzan Kibutsuji di dalam istana. Di sini, mari kita imbas kembali perjalanan yang membawa Tanjiro Kamado dan rakan-rakannya ke tahap ini.
Unwavering Resolve Arc

Kisah ini bermula dengan sebuah tragedi. Tanjiro Kamado pulang ke rumah dan mendapati seluruh keluarganya dibunuh kejam oleh seekor iblis. Adiknya, Nezuko, satu-satunya yang terselamat, tetapi telah bertukar menjadi iblis. Ajaibnya, Nezuko masih mengekalkan sisa-sisa kemanusiaannya.
Ini memulakan misi Tanjiro: mencari penawar untuk adiknya sambil menuntut bela atas kematian keluarganya.

Di bawah bimbingan Water Hashira, Giyu Tomioka, Tanjiro berlatih dengan Sakonji Urokodaki sebelum menyertai Demon Slayer Corps secara rasmi. Dalam perjalanannya, dia berkenalan dengan Zenitsu Agatsuma yang penakut tetapi sepantas kilat, dan Inosuke Hashibira yang liar dan sentiasa memakai topeng kepala babi hutan.
Musim ini bukan sahaja memperkenalkan trio utama ini dan musuh terhebat, Muzan Kibutsuji, tetapi juga memaparkan pertemuan pertama Tanjiro dengan iblis-iblis kuat, dan Hashira iaitu pahlawan terhandal dalam Demon Slayer Corps.
Mugen Train Arc

Dalam misi besar pertama mereka bersama seorang Hashira, trio ini menyertai Flame Hashira yang berkarisma, Kyojuro Rengoku, di atas Mugen Train. Mereka berhadapan dengan Enmu, seekor iblis yang memerangkap mangsanya dalam mimpi.
Selepas pertarungan sengit yang mempamerkan kekuatan dan sifat kepimpinan Rengoku yang luar biasa, mereka berjaya menumpaskannya.

Namun, kegembiraan mereka tidak bertahan lama. Akaza, Iblis Upper Rank Three yang amat digeruni, muncul. Pertarungan antara Rengoku dan Akaza menjadi salah satu detik paling emosional dan penting dalam siri ini. Walaupun berjuang dengan gagah berani, Rengoku tewas.
Pengorbanannya menyalakan semangat baharu dalam diri Tanjiro, Zenitsu, dan Inosuke, sekaligus mencetuskan permusuhan peribadi antara Tanjiro dan Akaza.
Entertainment District Arc

Walaupun masih bersedih, semangat mereka kian membara apabila mereka menyertai Sound Hashira yang berhaya, Tengen Uzui, dalam misi di Entertainment District yang meriah. Di sana, mereka berdepan dengan musuh paling sukar setakat ini: adik-beradik Iblis Upper Rank , Daki dan Gyutaro.

Arc ini menjadi titik perubahan besar, di mana Pasukan Demon Slayer berjaya melakukan sesuatu yang tidak pernah berlaku selama lebih seabad—menewaskan Iblis Upper Rank. Pertarungan ganas itu menguji had kemampuan setiap daripada mereka, dengan Tanjiro berjaya membangkitkan Demon Slayer Mark buat kali pertama.
Kemenangan ini dibayar dengan harga yang tinggi, menyebabkan Tengen Uzui terpaksa bersara, tetapi ia membuktikan bahawa iblis elit Muzan tidaklah kebal.
The Swordsmith Village Arc

Selepas pedangnya musnah, Tanjiro mengembara ke Swordsmith Village yang tersembunyi untuk mendapatkan pedang baharu. Dia ditemani oleh dua Hashira: Mist Hashira yang pendiam, Muichiro Tokito, dan Love Hashira yang ceria, Mitsuri Kanroji.
Perkampungan itu kemudiannya diserang secara tiba-tiba oleh dua lagi Iblis Upper Rank: Hantengu (Upper Rank Four) dan Gyokko (Upper Rank Five).

Pertarungan yang menyusul mempamerkan kemajuan luar biasa para Demon Slayer. Muichiro Tokito berjaya menewaskan Gyokko seorang diri, manakala Tanjiro, Nezuko, dan Genya Shinazugawa bertarung sengit menentang pelbagai klon Hantengu.
Arc ini berakhir dengan pendedahan yang mengubah segala-galanya: Nezuko berjaya menakluki matahari, menjadikannya iblis pertama yang mampu bertahan di bawah cahaya siang.
Perkembangan ini mengubah tumpuan utama Muzan; dia kini mahu memakan Nezuko untuk mendapatkan kebolehan yang sama, menjadikan Nezuko sasaran nombor satu bagi semua iblis.
The Hashira Training Arc

Bertindak sebagai babak pengenalan ke Infinity Castle, arc ini memperlihatkan seluruh Demon Slayer Corps bersiap sedia untuk pertempuran terakhir yang tidak dapat dielakkan. Menyedari keadaan kini jauh lebih genting, para Hashira mengadakan sesi latihan intensif untuk seluruh ahli pasukan.
Setiap Hashira mengendalikan fasa latihan yang berbeza, mendesak setiap ahli—termasuklah Tanjiro, Zenitsu, dan Inosuke—untuk mengasah kemahiran mereka ke tahap tertinggi, dan bersedia untuk perang habis-habisan menentang Muzan dan saki-baki iblisnya.

Fasa persiapan rapi dan pembangunan watak ini menjadi fokus sebelum mereka diperdaya masuk ke dalam sarang Muzan—Infinity Castle—di mana kita lihat sama ada perjalanan panjang mereka cukup atau tidak untuk menewaskan antagonis tersebut.
Banyak lagi sebenarnya yang berlaku, tetapi kami cuba kurangkan spoiler untuk mereka yang belum menonton anime Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba sepenuhnya.
Jika anda mahu mengikuti setiap perkembangannya, anda boleh menonton siri ini di Netflix, Crunchyroll, Bilibili, Muse Asia (YouTube), Ani-One Asia (YouTube), Disney+, Amazon Prime Video, dan iQIYI.









Discussion about this post