Tamagotchi Plaza ialah game terbaharu yang membawa nafas baharu kepada dunia Tamagotchi, berbeza daripada konsep penjagaan haiwan maya comel yang popular sekitar lewat 90-an dan awal 2000-an.
Saya sendiri pernah memilikinya satu ketika dahulu, dan tahu betapa mencabarnya untuk memastikan ia terus hidup dan gembira. Tetapi daripada membesarkan sebuah haiwan maya, kali ini kita akan menjaga bandar…
Adakah game baharu ini masih berjaya mengekalkan daya tarikan francais? Berikut ialah ulasan penuh kami.
Dilantik Jadi Pengerusi di Dunia Tamagotchi

Dalam Tamagotchi Plaza, anda sebagai watak manusia tiba-tiba dibawa dari Bumi oleh Prince Tamahiko ke sebuah planet yang dikenali sebagai Tamagotchi Planet — ya, Bumi memang wujud dalam alam semesta ini atas sebab yang tidak dijelaskan. Planet ini diperintah oleh Gotchi King.
Setibanya di sana, Prince Tamahiko terus melantik anda sebagai pengerusi Jawatankuasa Tamagotchi Fest. Tanpa sebarang amaran, anda kini bertanggungjawab untuk memimpin jawatankuasa dan menjadikan bandar tempat anda berada menarik dan popular demi menjayakan festival tersebut.
Walaupun ada beberapa bandar di planet ini, anda akan mewakili kawasan bernama Tamahiko Town.
Urus Kedai, Main Minigame, Tapi Sampai Bila?
Matlamat utama dalam Tamagotchi Plaza adalah untuk menjadikan bandar anda sepopular mungkin agar terpilih sebagai tuan rumah Tamagotchi Fest. Caranya? Anda perlu menguruskan 12 buah kedai dengan bermain minigame di setiap satu, berulang kali sehingga kedai-kedai itu boleh dinaik taraf.
Semakin banyak naik taraf yang anda lakukan, semakin ramai Tamagotchi akan datang mengunjungi kedai-kedai tersebut.

Sebagai pengerusi, anda perlu membuka dan mengendalikan pelbagai jenis kedai — di sinilah terletaknya inti gameplay. Setiap kedai memerlukan anda untuk bermain minigame tertentu. Contohnya, di Dentist Store milik Mametchi, anda membantu membaiki gigi Tamagotchi.
Jika anda melakukannya dengan kerap, Prince akan melawat kedai anda dan memberikan pengiktirafan. Walaupun premisnya kedengaran menarik, game ini langsung tidak menyediakan sebarang tutorial atau arahan jelas. Jadi, pemain seperti saya terpaksa bergantung pada trial-and-error untuk memahami apa yang perlu dilakukan.
Saya juga tidak pasti siapa sebenarnya sasaran game ini, kerana dari pengalaman saya, pemain kasual mungkin akan cepat berasa keliru.

Tambahan pula, minigame yang ditawarkan hanya menyeronokkan untuk beberapa minit pertama. Selepas itu, ia menjadi terlalu berulang, dan kurang variasi. Walaupun banyak kedai boleh diteroka di Tamahiko Town, gameplay yang repetitif dan kekurangan ganjaran membuatkan game ini cepat menjadi membosankan.
Malah, sebahagian minigame terasa seperti versi copy-and-paste antara satu sama lain.

Dari segi saiz pula, peta permainan tidaklah terlalu besar, tetapi pergerakan dalam dunia ini terasa agak perlahan, menambah lagi rasa leceh ketika menjelajah.
Visual dan Audio yang Comel, Sesuai dengan Tema
Dari segi visual, Tamagotchi Plaza tampil dengan gaya kartun dan mesra untuk semua khayalak pemain, sejajar dengan tema comel yang menjadi identiti siri ini. UI-nya juga direka dengan gaya agar menarik dan ringkas dengan menu mudah difahami dan sangat jelas.
Semasa menjelajah dunia permainan, anda akan melihat ikon telefon pintar di sudut kanan bawah skrin. Fungsi ini membolehkan anda menjejak kemajuan gameplay, melihat Tamagotchi yang telah anda temui, dan banyak lagi. UI telefon ini juga direka secara comel dan cukup intuitif untuk difahami tanpa sebarang kekeliruan.

Dari segi grafik, game ini menampilkan warna-warna yang cerah, ceria dan meriah yang sangat sesuai dengan suasana Tamagotchi. Malah, dari saat pertama anda bermain, anda sudah boleh merasakan identiti Tamagotchi yang kuat.

Beralih ke aspek audio, muzik latar dalam game ini pasti tidak epik atau sinematik, sebaliknya cukup riang dan ringan untuk melengkapkan suasana ceria dalam permainan. Kadang-kadang, iramanya terasa menenangkan hingga nak tidur pun ada.
Watak Tamagotchi pula tidak bercakap dengan kata-kata sebenar, sebaliknya mereka mengeluarkan bahasa mengarut yang lucu setiap kali berinteraksi, sama ada dengan anda ataupun watak lain dalam game.
Pendapat
Secara keseluruhan, Tamagotchi Plaza tidak memenuhi jangkaan saya. Saya menyangka game ini akan mengekalkan elemen klasik haiwan peliharaan maya, namun ternyata tiada langsung ciri tersebut. Sebaliknya, anda hanya menjalani kerjaya singkat seperti menjadi doktor gigi, artis manga, dan juga rapper.
Minigame yang ditawarkan mungkin kelihatan menarik pada awalnya, tetapi cepat menjadi membosankan kerana terlalu berulang dan kurang ganjaran yang memuaskan.

Lebih mengecewakan, game ini tidak menyediakan panduan atau tutorial yang jelas. Pemain hanya diberikan petunjuk kabur dan perlu belajar sendiri melalui percubaan. Dari segi visual, grafiknya memang comel dan penuh warna-warni, selaras dengan tema Tamagotchi.

Namun, berdasarkan pengalaman saya, ini adalah jenis game yang mungkin dibeli oleh peminat lama kerana faktor nostalgia. Sayangnya, walaupun untuk mereka, kekurangan inti dan gameplay yang hambar mungkin menyebabkan minat itu tidak bertahan lama.
Bagi pemain baru atau kasual yang mengharapkan game santai dan menyeronokkan dalam jangka masa panjang, pengalaman ini mungkin lebih mengecewakan.
Game ini kini boleh didapati di Nintendo Switch dan Nintendo Switch 2. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
The Review
Tamagotchi Plaza
Tamagotchi Plaza mengecewakan kerana tiada elemen klasik haiwan peliharaan maya. Sebaliknya, ia menawarkan kerjaya singkat seperti doktor gigi, artis manga, dan rapper. Minigame awalnya menarik tetapi cepat membosankan kerana berulang dan kurang ganjaran. Tiada panduan jelas, hanya petunjuk kabur, memaksa pemain belajar sendiri. Grafik comel dan berwarna-warni, sesuai dengan tema Tamagotchi, tetapi gameplay hambar. Peminat lama mungkin tertarik kerana nostalgia, namun kekurangan inti menjadikan minat sukar bertahan. Pemain baru atau kasual mungkin kecewa dengan pengalaman yang kurang menyeronokkan.
PROS
- Pelbagai minigame yang boleh anda pilih untuk main dan berhenti pada bila-bila masa tanpa sebarang penalti
- Estetika game selari dengan apa yang anda jangkakan daripada suasana Tamagotchi, sangat terang dan berwarna-warni
- Jika anda peminat besar Tamagotchi, anda mungkin teruja dengan jumlah Tamagotchi yang boleh ditemui dalam game
CONS
- Sedikit atau tiada panduan atau tutorial sebelum memulakan minigame
- Kisah yang mengelirukan di mana anda segera dilemparkan ke dunia Tamagotchi tanpa sebarang konteks
- Aktiviti atau minigame agak berulang, kurang insentif untuk terus bermain
- Malah, peminat nostalgia pun mungkin tidak akan bertahan lama









Discussion about this post