Gearbox Software, studio di sebalik francais terkenal Borderlands, baru-baru ini mengusik tentang kemungkinan mewujudkan sebuah dating sim berasaskan dunia Borderlands.
Perkara ini dikongsikan dalam temu bual eksklusif bersama kami di Bilibili World 2025, menampilkan Pengarah Kreatif Borderlands 4, Graeme Timmins, dan Ketua Pegawai Kreatif Gearbox, Randy Varnell.

Ketika ditanya sama ada pemain boleh berinteraksi dengan NPC dalam Borderlands 4 melalui mekanik seperti pemberian hadiah, Varnell mendedahkan satu perkara yang cukup menarik.
“Terdapat beberapa penulis dan pereka kami di Gearbox yang sangat ingin membuat Borderlands character dating sim,” katanya, mencetuskan spekulasi hangat tentang arah baharu francais ini. “Kami sangat ingin melakukannya. Kami menyukai bahawa peminat kami menyayangi watak kami dan mahukan lebih banyak daripada mereka.”

Menurut Varnell, Gearbox komited untuk mengembangkan dunia Borderlands melebihi permainan video semata-mata.
“Salah satu tanggungjawab saya di Gearbox adalah untuk memastikan pasukan francais kami meneroka setiap saluran—komik, buku, filem, permainan video lain, permainan papan, apa sahaja yang boleh anda bayangkan,” jelasnya lagi.
Meskipun tidak mendedahkan sebarang perancangan konkrit, dia memberi petunjuk bahawa pelbagai projek sedang dirancang untuk membolehkan peminat terus berhubung dengan watak kegemaran mereka tanpa perlu menanti bertahun-tahun untuk game baharu.

Idea sebuah dating sim yang membolehkan pemain menjalin hubungan dengan karakter-karakter unik dan penuh keanehan dalam dunia Borderlands tentunya menarik minat ramai.
Varnell menggalakkan komuniti agar menyuarakan hasrat mereka secara terbuka, “Jika anda mahukan sesuatu yang spesifik, bersuaralah, luahkan di internet, atau hantar emel kepada kami. Kami menyukai idea dan cadangan tersebut. Kami sentiasa mendengar apa yang peminat kami inginkan.”
Meskipun belum ada pengumuman rasmi tentang projek dating sim ini, keterbukaan Gearbox terhadap idea tersebut menunjukkan bahawa francais Borderlands mungkin bakal mengembangkan sayapnya ke genre baharu.
Sementara menunggu, peminat boleh menantikan pelancaran Borderlands 4 pada 12 September 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam serta Epic Games Store. Untuk info lanjut, layari laman rasmi Borderlands.









Discussion about this post