Kami berpeluang untuk memperoleh DOOM: The Dark Ages Collector’s Bundle dan ternyata sebaik sahaja kotak dibuka, saya sudah dapat merasakan pengalaman yang benar-benar epik sedang menanti.
Setiap barangan di dalamnya jelas menampilkan semangat DOOM yang brutal, jadi jom kita lihat apa yang menjadikan Collector’s Bundle ini sangat istimewa – khususnya untuk peminat lama.

Patung Doom Slayer & SteelCase yang Mengandungi Replika Red Key Card
Sejak awal lagi, DOOM: The Dark Ages Collector’s Bundle menampilkan sesuatu yang benar-benar mencuri tumpuan iaitu patung DOOM Slayer setinggi 12 inci. Ini bukan sekadar barangan hiasan—ia adalah karya seni yang penuh kehebatan.
Dengan jubah bulu, DOOM Slayer berdiri megah sambil menggenggam Shield Saw yang ikonik, sedia menghapuskan gerombolan iblis. Super Shotgun dan Flail pun ada sebagai aksesori, dan boleh ditanggalkan untuk memberi ruang bagi kami menyesuaikan posenya agar tampil lebih garang.
Melihat lebih dekat, perincian seperti perisai yang lusuh dan tapak berlumuran kesan pertempuran menunjukkan lagi tahap ketelitian yang luar biasa. Tanpa nafi, patung ini layak menjadi pusat perhatian di mana-mana rak koleksi game.
Turut disertakan dalam bundle ini ialah SteelBook Case yang menampilkan rekaan warna merah dan hitam, sepadan dengan estetika fantasi gelap game ini bersama rekaan luar yang dihiasi dengan simbol ikonik Doom Slayer. Di dalamnya tersimpan kod untuk Edisi Premium DOOM: The Dark Ages.
Memandangkan tiada cakera fizikal disertakan, ruang tersebut diisi dengan satu lagi item eksklusif—replika logam Red Key Card bersaiz sebenar. Bagi yang tidak tahu, ia merupakan item penting dalam game yang digunakan untuk membuka pintu dan mengakses kawasan tersembunyi.
Memegangnya di tangan terasa berat seolah-olah kita memegang item sebenar, menjadikannya sebuah koleksi pameran yang menarik.
a
Kandungan Digital Premium

Edisi Premium tidak berkompromi dari segi kandungan digital. Artbook Digital merupakan sajian visual, dipenuhi dengan seni konsep yang menghidupkan dunia Cosmic Realm dalam game ini.
Daripada Atlan yang megah menjulang hingga makhluk iblis yang menggerunkan, setiap halaman memberikan gambaran mendalam tentang proses kreatif di sebalik pembangunan game oleh id Software. Soundtrack juga dimasukkan sekali, menampilkan lagu dan muzik penuh intensiti daripada game.

Divinity Skin Pack turut menyerlahkan gaya Doom Slayer, lengkap dengan kostum eksklusif untuk watak utama, naga sibernetiknya, serta mech Atlan setinggi 30 tingkat.
Tidak cukup dengan itu, DLC kempen yang disertakan menjanjikan pengalaman tambahan yang padat, memastikan keseronokan memburu iblis terus berpanjangan walaupun selepas jalan cerita utama tamat.
Berbaloi atau Tidak?
Sejak dikeluarkan, ramai boleh bersetuju bahawa DOOM: The Dark Ages adalah satu game yang hebat, menggabungkan kezaliman francais ini dengan combat yang lebih berat, berlatarbelakangkan fantasi gelap zaman pertengahan.
Collector’s Bundle pula mengangkat pengalaman ini ke tahap seterusnya, dengan himpunan barangan fizikal dan digital yang benar-benar membawa anda menyelami dunia Slayer sepenuhnya.

Patung DOOM Slayer itu sahaja sudah cukup bernilai untuk harga yang ditawarkan, tetapi digandingkan pula dengan SteelBook, Red Key Card, dan kandungan digital tambahan, ia menjadi satu tawaran yang sukar ditolak.
Untuk mendapatkan bundle ini, anda hanya perlu kunjungi kedai game terdekat atau layari laman web rasmi.




















Discussion about this post