Crunchyroll telah mengesahkan bahawa manga popular Daemons of the Shadow Realm (Yomi no Tsugai) karya Hiromu Arakawa, pencipta Fullmetal Alchemist, bakal diadaptasi ke dalam bentuk anime.
Adaptasi ini akan dihasilkan oleh Studio Bones Film, bahagian terbaru di bawah Studio Bones yang terkenal menerusi siri seperti Fullmetal Alchemist: Brotherhood dan My Hero Academia. Anime ini dijadualkan untuk tayangan global melalui Crunchyroll, walaupun tarikh pelancarannya masih belum diumumkan.
Projek ini akan dikendalikan oleh Masahiro Andō selaku pengarah, yang dikenali menerusi Sword of the Stranger. Skrip pula diselia oleh Noboru Takagi, penulis berpengalaman yang pernah terlibat dalam Kingdom (musim 3 hingga 6) dan empat musim pertama Golden Kamuy.
Rekaan watak dihasilkan oleh Nobuhiro Arai (Bungo Stray Dogs), manakala gubahan muzik pula diserahkan kepada Kenichiro Suehiro, komposer yang pernah mengendalikan muzik untuk Golden Kamuy dan Re:ZERO -Starting Life in Another World-.

Berlatar di dunia ghaib di mana segelintir manusia memiliki kuasa untuk mengawal entiti misteri yang dikenali sebagai Daemon (atau Tsugai dalam bahasa Jepun), kisah ini memfokuskan kepada pasangan kembar Yuru dan Asa: dua watak yang digelar sebagai “anak-anak yang memisahkan siang dan malam.”
Yuru menjalani kehidupan aman sebagai pemburu di perkampungan terpencil Higashi, dilindungi oleh dua penjaga yang dinamakan Divine Left dan Divine Right. Dalam masa yang sama, Asa pula dikurung di dalam sangkar dan menjalankan satu tugas misteri untuk kampung mereka.
Namun ketenangan itu musnah apabila sekumpulan lelaki bersenjata muncul menaiki helikopter dan memburu Yuru. Di tengah kekecohan, Yuru menerima kejutan pahit: seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai kembar sebenarnya telah membunuh Asa.
Yuru kemudian diselamatkan oleh orang luar bernama Dera, memanggil sepasang Daemon, dan mula menyedari takdir sebenarnya lalu terjerumus ke dalam konspirasi berbahaya berkait dengan ramalan yang mengancam dunia.

Daemons of the Shadow Realm memulakan penerbitan dalam majalah Monthly Shōnen Gangan terbitan Square Enix pada Disember 2021, selepas pengumuman awalnya pada Ogos tahun sama sempena ulang tahun ke-20 Fullmetal Alchemist.
Sejak itu, manga ini telah mencatat lebih 4 juta salinan terjual di seluruh dunia, sekaligus mengukuhkan kedudukan Arakawa sebagai salah satu mangaka paling hebat dalam dunia.

Buat masa ini, itu sahaja info yang kami tahu. Tapi lebih banyak maklumat pasti akan dijelaskan dalam bulan-bulan akan datang.
@gamersantaimy
Discussion about this post