Xiaomi secara rasmi memperkenalkan Redmi Note 14 Pro 5G BamBam Limited Edition untuk pasaran Malaysia, menambah satu lagi pilihan menarik dalam siri popular Redmi Note 14.
Edisi istimewa ini diinspirasikan oleh ikon global yang juga duta jenama Redmi, BamBam (Kunpimook Bhuwakul), hadir dengan warna eksklusif lengkap bersama tandatangan BamBam yang diukir kemas pada panel belakang, menjadikannya tampil berbeza dan penuh gaya.

Bukan sekadar rupa, BamBam Limited Edition juga dibina kukuh dengan struktur All-Star Armor dan perlindungan Corning Gorilla Glass Victus 2, memberikan ketahanan lebih baik terhadap hentakan dan calar.
Dengan penarafan IP68, peranti ini kalis air dan habuk, bersedia untuk digunakan dalam pelbagai situasi harian (daripada tumpahan air hinggalah persekitaran berdebu). Skrin 6.67 inci dengan resolusi 1.5K serta kecerahan puncak mencecah 3000 nits memastikan paparan sentiasa terang dan jelas walaupun di bawah cahaya matahari.
Kadar segar semula 120Hz pula menjadikan tatalan dan pengalaman bermain game lebih lancar, manakala pensijilan TÜV Rheinland untuk Low Blue Light, Flicker-Free, dan Circadian-Friendly memastikan keselesaan mata sepanjang penggunaan.

Di bahagian kamera, Redmi Note 14 Pro 5G tampil dengan sistem kamera AI pro-grade 200MP bersama Optical Image Stabilization (OIS), menawarkan hasil gambar yang tajam dan terperinci dengan keupayaan zum optik 2x dan 4x. Sama ada untuk rakaman pemandangan atau potret, kamera ini menetapkan standard baharu untuk segmen harganya.
Fitur kreatif seperti Dynamic Shots memberikan efek pergerakan pada gambar, sementara fungsi Dual Video membolehkan rakaman serentak menggunakan kamera depan dan belakang. Untuk penyuntingan pula, AI Image Expansion dan AI Erase Pro membantu menghasilkan hasil suntingan yang lebih profesional.

Dari segi prestasi, ia dipacu oleh cip MediaTek Dimensity 7300-Ultra dengan kuasa pemprosesan octa-core, memastikan kelancaran ketika bermain game, menstrim kandungan, atau melakukan kerja-kerja multitasking. Bateri sebesar 5110mAh menyokong penggunaan sepanjang hari, sesuai untuk gaya hidup aktif.
Paparan peranti ini juga direka lebih responsif, dengan ketepatan sentuhan yang baik walaupun dalam keadaan basah atau berminyak.

Redmi Note 14 Pro 5G BamBam Limited Edition hadir dengan konfigurasi 12GB RAM dan storan 256GB, dijual pada harga RM1,299. Peranti edisi terhad ini ditawarkan secara eksklusif di kedai Xiaomi, mi.com, serta kedai rasmi Xiaomi di Shopee dan Lazada.
Dengan jumlah unit yang terhad, peminat disarankan membuat pembelian segera sebelum kehabisan stok. Untuk maklumat lanjut, layari mi.com.
@gamersantaimy
Discussion about this post