Impulse Gaming, salah satu nama besar dalam industri perkhidmatan gaming di Malaysia, bakal membuka cawangan baharu di Sungai Petani, Kedah pada tahun 2025.
Langkah ini menandakan usaha mereka untuk mengembangkan sayap ke bahagian utara tanah air. Berita ini dikongsi menerusi posting media sosial dengan kapsyen, “Kedahans, are you ready to welcome us to your lovely state?”.
Walaupun lokasi sebenar masih belum diumumkan, para peminat sudah membuat spekulasi berdasarkan gambar dan komen yang dikongsi, dengan ramai menjangkakan ia akan dibuka di kawasan Amanjaya, di tapak bekas kedai bakeri Fairy Le Phénoménal.
Berita ini juga menjadikan Kedah sebagai negeri ketujuh yang menjadi lokasi cawangan Impulse Gaming, menyusuli kehadiran mereka yang sedia ada di Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, Impulse Gaming telah menjadi jenama yang dikenali ramai di kalangan komuniti gamer tempatan.
Mereka kini mempunyai cawangan di pelbagai lokasi seperti Johor Bahru (Mid Valley Southkey Flagship, Paradigm Mall, Toppen dan Ibu Pejabat), Kuala Lumpur (Midvalley dan CSL Flagship), Sunway, Seremban, Pulau Pinang (Autocity Flagship, Georgetown dan Queensbay Mall), serta Ipoh.
Impulse Gaming menawarkan pelbagai produk termasuk konsol seperti PlayStation, Nintendo Switch dan Xbox, aksesori seperti controller, headset, dan papan kekunci, serta barangan koleksi seperti Funko Pop, figura, dan merchandise bertema anime yang digemari peminat budaya pop.
Mereka turut menyediakan perkhidmatan seperti pembaikan konsol, program tukar beli untuk game dan peranti terpakai, serta pra-pesanan untuk game baharu. Ini baru sedikit, kerana banyak lagi produk dan servis yang mereka tawarkan selain daripada apa yang saya sebut.
Dengan rancangan untuk berkembang lagi besar melalui #SixMoreToGo, Impulse Gaming jelas bertekad untuk terus membawa produk dan pengalaman gaming terbaik ke seluruh pelosok Malaysia.
@gamersantaimy
Discussion about this post