Mafia: The Old Country, antara game yang paling dinanti tahun ini, akan dilancarkan pada 8 Ogos 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series X/S, dan PC menerusi Steam, menurut pengumuman rasmi daripada penerbit 2K dan pembangun Hangar 13.
Sebagai entri keempat dalam siri utama Mafia, prekuel ini membawa pemain menyelami akar umbi dunia jenayah terancang di Sicily, meninggalkan latar belakang Amerika dalam game sebelumnya untuk memberi fokus kepada persekitaran kasar Sicily pada awal 1900-an.
Berlatar di bandar fiksyen San Celeste, Mafia: The Old Country menceritakan kisah Enzo Favara, seorang pemuda Sicily yang berusaha melarikan diri daripada zaman kanak-kanak yang penuh penderitaan di lombong sulfur.
Dalam usaha mencari kehidupan lebih baik, Enzo menyertai keluarga jenayah Torrisi, dan mula menempuh dunia gelap jenayah terancang yang baru bertapak di Sicily. Tidak seperti dunia terbuka luas yang diperkenalkan dalam Mafia III, game kali ini menawarkan pengalaman linear yang sinematik dan berfokus, mengingatkan kita kepada pendekatan Mafia (2002) dan Mafia II (2010).
Jalan ceritanya menggambarkan pergolakan sosial, budaya, dan kuasa di era itu, dihidupkan dengan perincian zaman yang autentik serta pelakon suara tempatan Sicily.

Dari segi visual, latar belakang dibina menggunakan Unreal Engine 5, memaparkan keindahan gunung berapi, pekan-pekan berdebu, dan kawasan luar bandar Sicily dengan penuh realisme. Segala-galanya — daripada pakaian hingga seni bina — direka untuk mencerminkan suasana sebenar luar bandar Sicily pada waktu itu.
Skor muzik permainan ini, yang diinspirasikan daripada melodi rakyat Sicily, memperdalamkan lagi suasana permainan, sementara rundingan bersama ahli sejarah Sicily memastikan ketepatan budaya dan sejarah dalam penceritaan.

Dari aspek gameplay, Mafia: The Old Country kembali kepada akar siri dengan pendekatan yang lebih berstruktur dan fokus.
Pemain akan berdepan pertempuran yang kasar dan sesuai dengan zamannya, menggunakan senjata seperti pisau stiletto, senapang lupara, serta alat-alat improvisasi, di samping mekanik stealth untuk pembunuhan senyap dan pengumpulan maklumat.
Gaya pergerakan pula menekankan realiti zamannya, dengan pemain boleh berjalan kaki, menunggang kuda, atau memandu kenderaan awal abad ke-20 seperti kereta kuda.
Semua ini disatukan dalam misi berfokuskan cerita, menggabungkan aksi, stealth, dan adegan sinematik, dengan tumpuan penuh terhadap perjalanan Enzo dan kebangkitan keluarga Torrisi, tanpa mengalihkan perhatian kepada aktiviti sampingan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post