Clair Obscur: Expedition 33 akhirnya dilancarkan minggu ini dan dengan pantas mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu game terbaik tahun 2025. Pendekatan unik terhadap gameplay turn-based reaktif berjaya menarik perhatian ramai pemain, termasuk mereka yang biasanya tidak meminati genre ini. Namun, sebelum anda memulakan perjalanan epik merentasi The Continent, adalah penting untuk membuat persediaan dengan menyemak tier list ahli parti game ini.
Memahami kekuatan setiap ahli parti dan mengenal pasti siapa yang perlu diberi keutamaan dalam pasukan utama anda amat penting. Setiap watak hadir dengan gaya tersendiri dan berbeza-beza dari segi tempoh dalam cerita. Tambahan pula, anda hanya boleh membawa tiga watak aktif dalam parti anda pada satu-satu masa.
Inilah senarai tier list kami untuk Clair Obscur: Expedition 33.
SPOILER! Senarai ini mengandungi spoiler besar, terutama bagi mereka yang belum melepasi kawasan Stone Wave Cliffs. Sila teruskan dengan berhati-hati!
Gustave

Kita mulakan dengan protagonis utama. Sayangnya, Gustave berada di kedudukan paling bawah dalam senarai ini. Faktor utamanya ialah dia tidak kekal lama dalam parti dan hanya mendapat tempoh masa yang agak singkat sebelum peranannya diambil alih oleh Verso. Ini bukan bermaksud Gustave watak yang lemah. Malah, gaya permainannya sangat mudah dan mesra pemain—tugas utama anda hanyalah mengisi bar Overcharge dan melepaskan serangan damage tinggi.

Bar tersebut boleh diisi dengan menyerang, melakukan parry, atau dodge, namun cara paling berkesan adalah dengan mencapai perfect pada setiap serangan Lumiere Assault. Pada fasa awal permainan, Gustave sebenarnya cukup boleh diharapkan, tetapi disebabkan kehadirannya yang terbatas, potensi penuhnya tidak sempat berkembang seperti ahli parti lain.
Monoco

Berbeza daripada ahli parti lain, Monoco menonjol kerana dia berasal dari kaum Gestral, bukannya manusia. Ini membuka banyak peluang untuk gaya gameplay unik—tetapi sayangnya, dia gagal menyerlah dalam jangka masa panjang. Dia mempunyai banyak persamaan dengan Gustave, dengan masalah utamanya adalah menyertai game terlalu lewat dan kurang masa untuk benar-benar berkembang. Selain itu, membangunkan potensinya memerlukan masa dan usaha yang banyak.

Monoco mampu berubah bentuk menjadi Nevron dan mengakses pelbagai skil, namun hanya jika dia berada dalam parti utama dan berjaya mengalahkan musuh tertentu yang mempunyai simbol khas. Ketika mula menyertai, levelnya juga lebih rendah, memaksa pemain untuk melabur masa menaikkannya. Mekanik utamanya, Bestial Wheel, menambah satu lagi kerumitan—terutamanya jika anda kurang biasa menguruskan penggunaan AP dan menyusun masa untuk memanfaatkan buff yang diberikan.
Lune

Kini kita tiba kepada salah satu watak yang wajar dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam parti utama anda. Lune ialah calon kuat untuk itu, walaupun dalam jangka panjang dia mungkin tidak begitu menyerlah. Ini mungkin mengecewakan sesetengah pemain memandangkan Lune mempunyai aura “waifu” yang kuat dan jelas nampak seperti watak yang anda ingin bangunkan sepenuhnya. Walaupun begitu, dia tetap menjadi watak support yang sangat boleh diharapkan sepanjang permainan, selain mampu berperanan sebagai damage dealer yang baik, terutamanya jika anda mampu mengaktifkan skil Mayhem miliknya dengan konsisten.

Apa yang mengehadkannya ialah mekanik Elemental Stains, yang memerlukan persediaan lebih rumit dan memakan masa berbanding watak lain. Untuk mengoptimumkan damage Lune, anda perlu menggabungkan beberapa skil dengan tepat bagi menghasilkan Stains ini. Malangnya, kerana peranannya sebagai support, banyak gilirannya biasanya digunakan untuk memberikan buff atau melakukan penyembuhan, bukan untuk menghasilkan serangan damage besar. Berbanding Gustave yang mampu mengisi Overcharge dengan pantas, Lune lebih perlahan dari segi kelajuan. Namun, disebabkan tempoh penglibatannya yang panjang dalam game dan potensi untuk membangunkannya secara berperingkat, dia tetap berada di atas Gustave dan Monoco dalam kedudukan keseluruhan.
Maelle

Sebagai ahli termuda dalam kumpulan, Maelle menyerlah dengan gaya gameplay yang menyeronokkan dan potensi tinggi sebagai DPS utama. Gameplay-nya berpusat pada Stances, yang membolehkannya memilih antara serangan, pertahanan, atau keseimbangan kedua-duanya, bergantung kepada stance yang dipilih. Stance ini turut mempengaruhi bagaimana skilnya berfungsi. Walaupun sistem ini bukanlah paling fleksibel, ia menawarkan ganjaran besar kepada pemain yang berjaya menguasainya.

Setelah anda memahami ritma gameplay Maelle, dia menjadi sukar untuk digantikan dalam parti utama anda. Dia mampu menghasilkan damage Burn yang sangat kuat, menjadikannya ancaman serius kepada ramai musuh dan bos. Kekurangannya? Set skilnya lebih tertumpu kepada menghasilkan damage dan debuff, tanpa banyak sumbangan dari aspek support. Seperti disebut tadi, pengurusan mekanik Stance kadangkala boleh menjadi mencabar, terutamanya dalam pertarungan di mana situasi berubah dengan cepat dari satu giliran ke giliran berikutnya.
Sciel

Dua watak terakhir ini boleh dianggap antara yang terbaik, namun saya meletakkan Sciel sedikit lebih rendah kerana mekanik utamnya, Foretell, agak kompleks. Walaupun begitu, jika digunakan dengan betul, mekanik ini boleh menjadi sangat kuat, malah luar biasa.
Foretell membolehkan Sciel meletakkan “kad” khas pada musuh, sehingga 10 kad untuk setiap sasaran. Sesetengah skilnya menggunakan Foretell untuk mencetuskan Sun Charge, manakala skil lain akan “memakan” kad tersebut untuk menghasilkan Moon Charge, kedua-duanya memberikan efek unik. Jika anda berjaya menggabungkan kedua-dua jenis skil ini dengan efektif, anda akan membuka fasa Twilight, yang meningkatkan had kad Foretell hingga 20 setiap musuh dan menaikkan damage dengan ketara.

Walaupun potensi ini mampu mengubah arus pertarungan, cabarannya ialah anda perlu sentiasa menyesuaikan strategi mengikut situasi untuk memastikan keberkesanannya. Selain itu, Sciel turut menawarkan buff yang hebat, menjadikannya pilihan support yang solid di luar mekanik Foretellnya.
Verso

Akhir sekali, watak terbaik dalam Clair Obscur: Expedition 33 tidak lain adalah Verso. Sebagai ahli parti rahsia yang akhirnya menggantikan Gustave sebagai protagonis, Verso ialah versi yang lebih mantap dan berkuasa berbanding pendahulunya. Dia berkongsi senjata yang serupa, beberapa skil yang hampir sama, serta sistem unik yang seakan serupa iaitu Perfection. Namun, kelebihan utama Verso terletak pada kekuatan keseluruhannya yang jauh lebih mengagumkan, terutamanya jika anda mahir menguasai mekaniknya.
Perfection berfungsi dengan meningkatkan Rank Verso dari D hingga S, di mana semakin tinggi Rank, semakin besar kekuatan serangannya. Tetapi seperti namanya, untuk mengekalkan Perfection memerlukan ketepatan tinggi—anda akan kehilangan Rank jika tersilap dodge atau parry, menjadikan kawalan gameplay yang ketat sebagai satu keperluan. Namun, setelah anda berjaya menguasainya, Verso menjadi kuasa luar biasa, terutama dalam pertarungan panjang di mana kekuatannya benar-benar terserlah. Dengan gaya permainan yang mudah dikuasai tetapi berimpak tinggi, Verso adalah watak serba boleh yang unggul dalam pelbagai situasi.
Harap panduan ini cukup untuk membantu korang dalam Clair Obscur: Expedition 33. Game ini berada di PS5, Xbox Series X|S, dan PC (melalui Steam dan Epic Games Store). Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
Kami juga sediakan panduan beginner di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post