Ekonomi maya dalam Counter-Strike 2 (CS2) mencatat sejarah baharu apabila nilai pasaran barangan kosmetik miliknya — termasuk skin senjata, pelekat, kotak, dan banyak lagi — melepasi $4.5 bilion. Menurut laporan Dexerto, permodalan pasaran ini mencecah $4,505,475,715.31 pada 22 April 2025, menandakan rekod tertinggi dalam sejarah francais Counter-Strike.
Kebangkitan Ekonomi CS2
Sebagai salah satu tajuk utama dalam dunia gaming kompetitif, siri Counter-Strike kekal popular di platform seperti Steam dengan komuniti esport yang kukuh serta pangkalan pemain yang setia. Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan Counter-Strike ialah pasaran skin, di mana pemain bebas membeli, menjual, dan bertukar barangan kosmetik untuk memperibadikan senjata dan watak mereka. Walaupun barangan ini tidak memberi kelebihan dalam game, ia telah menjadi item koleksi digital yang sangat bernilai, dengan sesetengah skin rare dijual pada harga ratusan ribu dolar.

Pada tahun 2023, Valve dilaporkan menjana hampir $1 bilion hanya daripada hasil pembukaan kotak (case opening), dengan lebih 400 juta kotak dibuka setiap tahun — memperkukuhkan lagi kitaran bekalan dan permintaan dalam pasaran ini.

Beberapa faktor mendorong lonjakan nilai pasaran kosmetik ini. Pertama, minat yang semakin tinggi daripada pengumpul dan pelabur telah mengubah skin Counter-Strike menjadi bentuk pelaburan alternatif, terutamanya ketika ketidakstabilan melanda pasaran saham dan mata wang kripto. Skin rare dengan corak eksklusif atau pelekat edisi terhad kini dianggap lambang status, dengan beberapa jualan — yang dikendalikan pedagang terkemuka seperti Oliver “zipeL” Behrensdorff dan Sam “roflm0nster” Alexander — mencapai nilai lebih $1 juta.

Kedua, CS2 kekal sebagai antara game paling aktif di Steam, memastikan komuniti pemain yang besar dan setia. Statistik menunjukkan sekitar 70% pemain memiliki sekurang-kurangnya satu skin bernilai lebih $1, mencerminkan betapa meluasnya penyertaan dalam ekonomi maya ini. Dengan ruang kompetitif yang hidup dan kemas kini berterusan, minat terhadap game ini kekal kukuh, sementara tarikan untuk memiliki skin rare terus mendorong permintaan.

Akhir sekali, nilai budaya yang dibawa oleh kosmetik dalam game ini juga menyumbang kepada peningkatan nilainya. Bagi ramai pemain, memiliki skin rare tidak sekadar soal penampilan, tetapi juga umpama memiliki secebis sejarah permainan — setanding dengan mengumpul kad dagangan vintaj atau barangan mewah.
@gamersantaimy
Discussion about this post