Baru-baru ini, kami berpeluang menghadiri Xbox Asia Developer Sessions, sebuah acara yang menghimpunkan penggiat industri untuk pameran menarik bagi tajuk Xbox akan datang daripada beberapa game studio paling inovatif di Asia.
Menampilkan bakat hebat dari Indonesia, Thailand, Singapura, dan Korea, sesi ini bertujuan untuk memperkenalkan dan mengangkat game yang bakal mencuri perhatian para gamer dari seluruh dunia.
Antaranya termasuk pertempuran mecha strategi Kriegsfront Tactics, dan pengalaman survival mistik Agni: Village of Calamity dari Indonesia; cabaran aksi 13Z: The Zodiac Trials dari Singapura; seram mendebarkan Nightmare Circus dari Thailand; serta dunia surreal Vapor World: Over The Mind dari Korea.
Acara ini memberikan gambaran awal tentang karya-karya luar biasa dari rantau Asia ini yang bakal menggegar dunia gaming.
Kriegsfront Tactics
Kriegsfront Tactics ialah tajuk “turn-based mecha tactics RPG”, dibangunkan oleh Toge Productions, sebuah studio indie dari Indonesia yang terkenal dengan tajuk seperti Coffee Talk.
Berlatarkan Asia Tenggara alternatif pada tahun 1970-an semasa era konflik fiksyen, game ini meletakkan pemain sebagai komander yang memimpin skuad mecha boleh disesuaikan di belakang garisan musuh.
Menggabungkan elemen permainan strategi taktikal klasik seperti Front Mission, mekanik roguelike, dan estetik retro poligon rendah, ia menawarkan campuran pengurusan skuad, pembahagian sumber, dan pemilihan keputusan moral.
Pemain akan menavigasi hutan-hutan Nusanesia ini, menyelesaikan misi, merekrut pilot dengan skil dan kisah unik, serta bertahan di barisan hadapan sambil menghadapi pilihan sukar yang menguji moraliti mereka.
Game ini menampilkan grid-based combat, pertarungan sinematik, dan sistem customization untuk mecha, membolehkan pemain mengubah livery, menukar bahagian, dan memasang senjata. Naratifnya meneroka konflik sejarah alternatif, mengambil inspirasi daripada masa lalu Asia Tenggara.
Awalnya diumumkan untuk PC melalui Steam pada 2022, Kriegsfront Tactics kini telah diperluaskan untuk merangkumi versi Xbox Series X|S, PlayStation 5, dan Nintendo Switch.
Tiada tarikh keluaran pasti ditetapkan, tetapi demo prolog percuma tersedia di Steam, menawarkan pemain untuk mencuba pertempuran, meneroka, dan kisah pembukaan.
Agni: Village of Calamity
Agni: Village of Calamity ialah game cinematic survival horror akan datang, dibangunkan oleh Separuh Interactive, sebuah studio indie berpusat di Jakarta, Indonesia. Diinspirasi oleh klasik seperti Resident Evil dan Silent Hill, ia menggabungkan seram saspens dengan naratif kaya berasal daripada budaya dan kisah dongeng Asia Tenggara.
Pemain memainkan watak Agni, seorang penyiasat dari unit polis rahsia Indonesia, yang menentang perintah untuk menyiasat panggilan kecemasan dari kampung terpencil Desa Purba.
Apa yang bermula sebagai misi tanpa kebenaran dengan cepat bertukar menjadi pengalaman menyeramkan apabila Agni mendedahkan rahsia gelap, berhadapan dengan makhluk mengerikan, dan melawan seram kosmik yang mencabar pemahamannya tentang realiti.
Tajuk ini menampilkan perspektif kamera tetap yang mengingatkan kita pada survival horror klasik, dipadankan dengan grafik moden yang dikuasakan oleh Unreal Engine 5, menghasilkan suasana yang sangat menyeramkan.
Gameplay berpusat pada penerokaan, penyelesaian teka-teki, dan pengurusan sumber, di mana pemain mengumpul petunjuk untuk merungkai misteri kampung dan mencari rakan Agni yang hilang, Lila. Combat amat saspens, menawarkan pilihan antara konfrontasi dan mengelak ancaman mimpi ngeri.
Perjalanan Agni bukan sahaja luaran tetapi juga dalaman, bergelut dengan rasa bersalah, trauma, dan ketakutan ditinggalkan, menambah lapisan emosi kepada pengalaman ini.
Ditetapkan untuk keluaran pada 2026 di PC melalui Steam dan Xbox, Agni: Village of Calamity telah menarik perhatian kerana visualnya yang menakjubkan dan rasa visual Tenggara yang tulen.
13Z: The Zodiac Trials
13Z: The Zodiac Trials ialah game hack-and-slash roguelike action-adventure, dibangunkan oleh Mixed Realms, sebuah studio indie berpusat di Singapura.
Berlatarkan dunia mitos yang diilhamkan oleh Zodiak Timur, pemain memainkan watak roh haiwan—seperti Fox yang pantas, Raven yang terbang tinggi, atau Panda yang perkasa—yang bersaing untuk menjadi Zodiak ke-13. Game ini meletakkan anda berhadapan dengan demon dan Zodiac Guardian laub dalam ujian yang menguji keberanian, kelajuan, dan kekuatan.
Dengan tumpuan pada fast-paced combat, arena pelbagai, dan sistem upgrade luas, ia menggabungkan pengaruh daripada tajuk seperti Hades dan Devil May Cry, menawarkan gameplay solo dan co-op (2-4 pemain).
Pemain membina build unik dengan menguasai watak-watak dengan abiliti tersendiri, seperti kobolehan pedang Fox yang pantas atau serangan Raven yang tepat, sambil membuka modifier dan skill kuat antara pusingan.
Struktur roguelike memastikan replayability—setiap kegagalan menguatkan pemain apabila anda kembali ke pusat kampung yang meriah untuk berkumpul semula, berinteraksi dengan NPC, dan bersedia untuk cabaran seterusnya.
Visual game ini telah berkembang melalui ujian, dengan update terkini meningkatkan pencahayaan, mekanik, dan dinamik co-op. Ia sedang dalam pembangunan aktif untuk PC melalui Steam dan Xbox, tetapi tiada tarikh keluaran tepat ditetapkan.
Nightmare Circus
Nightmare Circus ialah game action-adventure akan datang, dibangunkan oleh FairPlay Studios, sebuah pembangun indie dari Thailand.
Berbeza dengan tajuk Sega Genesis 1996 dengan nama yang sama oleh Funcom, iterasi moden ini meletakkan pemain sebagai seorang “puppeteer” yang terperangkap dalam Nightmare Realm yang pelik dan menyeramkan. Sebagai sebahagian daripada rombongan sarkas, anda terjaga di tanah asing dan perlu berjuang untuk menyelamatkan rakan anda sambil merungkai misteri gelap alam tersebut.
Game ini menggabungkan estetik seram dan comel, menampilkan latar sarkas yang berbelit di mana anda menghadapi musuh mengerikan dan bertujuan untuk menjadi puppeteer paling berani yang pernah dilihat oleh alam ini.
Inti Nightmare Circus memperkenalkan mekanik “Puppet String” yang unik, membolehkan pemain menggunakan kayu puppet sebagai senjata dan alat. Sistem ini membolehkan pendekatan “Collision Combat”—memukul, melanggar, dan menghentam musuh serta halangan—sambil membantu dalam penjelajahan dan penyelesaian teka-teki.
Perspektif isometrik atas-bawah meningkatkan penerokaan merentasi dunia fantasi yang berwarna namun gelap, dengan pelbagai pengakhiran berkaitan dengan pilihan anda. Masih dalam pembangunan, ia dijadualkan untuk PC melalui Steam dan Xbox, tanpa tarikh keluaran pasti diumumkan.
Vapor World: Over The Mind
Vapor World: Over The Mind ialah game 2D action-adventure platformer, dibangunkan oleh ALIVE Inc., sebuah studio indie Korea Selatan, dan diterbitkan oleh Boltray Games.
Mengambil inspirasi daripada tajuk soulslike seperti Sekiro: Shadows Die Twice dan Bloodborne, ia menggabungkan pengalaman naratif yang surreal dengan combat berasaskan “deflection” yang mencabar.
Berlatarkan dunia mimpi lukisan tangan, lahir daripada projek rahsia bernama “Vapor World”—sebuah mesin yang direka untuk membolehkan manusia meneroka alam daripada pemikiran mereka—game ini mengikuti seorang budak misterius yang terjaga dalam mimpi ngeri, tanpa ingatannya.
Pemain perlu membimbingnya melalui dunia gelap yang penuh dengan penderitaan dan penyesalan, mencari ingatan yang hilang sambil menghadapi “trauma” (musuh) dan bos hebat yang dikenali sebagai “Seeds.”
Gameplay menekankan pertempuran mahir, memerlukan parry tepat dan kombo menggunakan abiliti yang dipanggil “Projections” untuk mengatasi musuh. Eksplorasi adalah kunci, di mana pemain mendedahkan kawasan tersembunyi, item unik, dan petunjuk naratif merentasi persekitaran 2.5D yang menggabungkan platforming dan mekanik stealth—seperti bersembunyi dalam bayang atau menyerang dari tebing. Gaya seni pun menonjol, menampilkan visual lukisan tangan yang seram namun indah.
Akan datang secara Early Access, versi demo mengandungi prolog dan dua episod menawarkan kira-kira lima jam permainan, manakala keluaran penuh—dijadualkan untuk 2025 di PC (Steam), Xbox Series X|S, dan Xbox Game Pass—menjanjikan pengalaman 12 jam, termasuk pengakhiran, subquest tambahan, dan musuh baharu.
Untuk segala info tentang Xbox, layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post