Aniplex secara rasmi mengumumkan bahawa Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Infinity Castle, filem pertama dalam trilogi finale francais anime, akan ditayangkan di Jepun pada 18 Julai 2025.
Sementara itu, di Malaysia, GSC dan TGV Cinemas telah menyenaraikan 14 Ogos 2025 sebagai tarikh tayangan yang dijangka. Maklumat itu telah disahkan secara rasmi, malah kedua-dua pihak pawagam tersebut turut memuat naik teaser yang anda boleh tonton di bawah:
Trilogi ini menandakan bab terakhir dalam adaptasi anime Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba. Berbeza dengan musim anime biasa, Ufotable memilih untuk membawa Infinity Castle Arc ke layar perak, sama seperti kejayaan filem Mugen Train, yang mencatat rekod sebagai filem anime paling laris sepanjang zaman dengan kutipan lebih $507 juta di seluruh dunia.
Diarahkan oleh Haruo Sotozaki dan diterbitkan oleh Ufotable, filem ini menyambung kisah selepas Hashira Training Arc (Musim 4), membawa penonton terus ke pertarungan klimaks antara Demon Slayer Corps dan musuh terhebat mereka, Muzan Kibutsuji.

Tanjiro Kamado dan para Hashira melancarkan serangan terakhir terhadap Muzan selepas ketua organisasi, Kagaya Ubuyashiki, memasang perangkap yang dahsyat. Namun, Muzan menggunakan kuasa Blood Demon Art milik Nakime untuk menarik para Demon Slayer ke dalam Infinity Castle, sebuah dimensi pelik yang sentiasa berubah bentuk.
Di dalam istana itu, Tanjiro dan sekutunya berdepan cabaran paling getir apabila mereka bertarung dengan Upper Rank terakhir dalam Twelve Kizuki, termasuk musuh yang sangat berbahaya seperti Akaza, Doma, dan Kokushibo. Dengan masa depan manusia menjadi taruhan, para Demon Slayer perlu melampaui batas mereka dalam peperangan habis-habisan menentang raja iblis itu.

Sebagai salah satu filem anime paling dinantikan pada tahun 2025, kami kini hanya mampu menunggu tayangan Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba Infinity Castle di Malaysia.
@gamersantaimy
Discussion about this post