Malam tadi, DreamWorks Animation secara rasmi mengumumkan filem Shrek 5, yang akan menemui peminat di pawagam Malaysia pada 22 Disember 2026, menurut GSC.
Sekuel yang dinanti-nantikan ini hadir 16 tahun selepas filem terakhir dalam siri utama, Shrek Forever After (2010), dan bertepatan dengan ulang tahun ke-25 filem original Shrek (2001).
Shrek 5 akan mempertemukan semula peminat dengan Shrek, Princess Fiona, dan sahabat setianya, Donkey, serta dunia dongengnya yang lucu, Far Far Away.
Walaupun jalan cerita masih dirahsiakan, filem ini dijangka membawa pengembaraan baharu, termasuk menampilkan kehidupan Shrek dan Fiona bersama anak triplet mereka yang kini sudah remaja.
Filem ini diarahkan oleh Walt Dohrn, individu yang memainkan peranan penting dalam francais Shrek, dengan Conrad Vernon dan Brad Ableson sebagai pengarah bersama. Skrip ditulis oleh Michael McCullers, manakala Chris Meledandri (CEO Illumination) dan Gina Shay, penerbit asal Shrek, bertindak sebagai penerbit.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon suara asal yang kembali ke francais: Mike Myers sebagai Shrek, Cameron Diaz sebagai Princess Fiona, dan Eddie Murphy sebagai Donkey. Selain itu, Zendaya telah menyertai barisan pelakon, menyuarakan salah seorang anak perempuan Shrek dan Fiona.
Perancangan untuk Shrek 5 bukanlah sesuatu yang mudah. Pada asalnya, DreamWorks merancang lima filem selepas kejayaan Shrek 2 (2004), tetapi rancangan itu dibatalkan selepas Shrek Forever After dijadikan penutup francais pada tahun 2010.

Namun, permintaan untuk sekuel baharu terus meningkat. Selepas NBCUniversal mengambil alih DreamWorks Animation pada 2016, khabar angin mengenai kebangkitan semula francais ini semakin kuat.
Meskipun pada awalnya ada perbincangan untuk tayangan pada 2019 atau 2020, pembangunan filem tergendala—sehinggalah kejayaan Puss in Boots: The Last Wish (2022) menghidupkan semula minat terhadap dunia Shrek.
Kini, selepas bertahun-tahun spekulasi, Shrek 5 akhirnya disahkan dan bakal membawa kembali aksi, gelak tawa, serta kisah penuh keajaiban ke layar perak.









Discussion about this post