Industri filem Korea Selatan sekali lagi bakal mencuri perhatian dengan pengumuman filem live action The Prophet: Omniscient Reader, yang tayangannya dijadualkan pada Julai 2025.
Berdasarkan web novel dan webtoon terkenal Omniscient Reader’s Viewpoint karya Sing Shong, adaptasi filem yang dinanti-nantikan ini turut telah memuat naik teaser pertama yang anda boleh tonton di bawah:
Filem ini mengisahkan Kim Dok-Ja, seorang seorang pemuda yang bekerja sebagai pekerja pejabat dan memiliki minat terhadap membaca, terutamanya bagi web novel kegemarannya, Three Ways to Survive in a Ruined World. Namun, kehidupannya berubah secara drastik apabila peristiwa dalam novel tersebut mula menjadi realiti.
Hanya Dokja sahaja yang mengetahui bagaimana dunia akan berakhir. Dengan pengetahuan ini, dia menggunakan pemahamannya tentang jalan cerita untuk mencipta pengakhiran terbaik, sekali gus mengubah takdir dunia.

Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat, dengan Ahn Hyo-seop membawakan watak Kim Dok-Ja, protagonis utama. Lee Min-ho memegang peranan sebagai Yoo Joong-Hyeok, wira karismatik dari novel dalam cerita tersebut, manakala Kim Jisoo dari BLACKPINK muncul sebagai Lee Ji-hye.
Pelakon lain yang turut membintangi filem ini termasuk Chae Soo-bin sebagai Yoo Sang-ah, Shin Seung-ho sebagai Lee Hyun-sung, Nana sebagai Jung Hee-won, Park Ho-san sebagai Gong Pil-du, dan Choi Young-joon sebagai Han Myung-oh.

Diarah oleh Kim Byung-woo, yang terkenal menerusi filem seperti The Terror Live dan Take Point, produksi filem live action “Omniscient Reader” dikendalikan oleh Realies Pictures dengan kerjasama Smilegate.
Omniscient Reader’s Viewpoint pertama kali diterbitkan di platform KakaoPage pada tahun 2018 dan tamat pada tahun 2020. Ia dengan pantas menjadi salah satu web novel paling popular di Korea Selatan, menarik jutaan pembaca serta membina komuniti peminat yang kukuh.
Kejayaannya kemudian diteruskan melalui adaptasi webtoon oleh ilustrator Sleepy-C, yang disiarkan di KakaoPage dan Tapas untuk pembaca antarabangsa, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai fenomena budaya.

Filem ini merupakan yang pertama daripada lima adaptasi yang dirancang, menandakan skala projek yang besar serta daya tarikan naratifnya yang berpanjangan.
Lebih menarik lagi, peminat turut boleh menantikan adaptasi anime yang sedang dalam pembangunan dan akan disiarkan di Crunchyroll, memperluaskan lagi francais ini ke pelbagai platform hiburan.
@gamersantaimy
Discussion about this post