Minggu ini boleh tahan kecoh juga netizen di Internet yang terkejut melihat nilai mata wang Ringgit yang semakin lama semakin menghampiri RM 5 untuk $1 USD. Kebimbangan ini bertambah dengan peningkatan cukai SST yang bakal dilaksanakan pada bulan Mac nanti. Sudah pelbagai platform mengumumkan bahawa mereka akan menaikkan harga langganan mahupun pembelian pada platform masing-masing. Sudah tentu ada juga kalangan gamer yang bakal terkesan kerana ada kemungkinan besar harga games turut naik.
Melalui Google Finance, mata wang Ringgit Malaysia sudah mencapai RM 4.80 baru-baru ini. Boleh dikatakan antara yang terendah sejak 1998. Sudah ramai netizen yang meluahkan kerisauan mereka mengenainya. Masalah ini bukan sahaja terkesan di Malaysia malah negara-negara lain. Jadi mahu atau tidak, harga barang pasti akan naik dan sudah tentu harga perisian seperti game juga bakal menerima nasib yang sama.

Seperti yang kami laporkan pada awal bulan yang lalu, kenaikan cukai SST sudah tentu akan mempengaruhi harga langganan serta pembelian atas talian. Buat gamer yang ada melanggan servis seperti Xbox Game Pass, PlayStation Plus ataupun pas pada game live-service, masih tiada kemas kini mengenai perubahan harga pada servis-servis tersebut. Walaupun begitu, anda mungkin perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan mengenai kenaikan harga padanya. Dengan harga game moden semakin lama semakin mahal, mungkin lebih susah untuk ramai gamer mencuba game baharu nanti dan mungkin membawa semula gejala cetak rompak dalam komuniti.

Sudah tentu, kita semua mahu menyokong pembangun-pembangun dengan membeli game daripada sumber yang sah. Itu antara cara untuk kita mendapatkan kandungan berkualiti untuk game kegemaran kita. Tetapi ada sahaja cara lain untuk mendapatkan game dengan harga yang lebih murah, sebagai contoh promosi-promosi hebat yang diadakan oleh penerbit game mahupun kedai game.

Harap-harap sangat kenaikan harga pada perisian game mahupun servis langganan ini tidak begitu mendadak apabila kadar cukai baharu nanti dilaksanakan. Apa pendapat anda mengenainya? Boleh kongsikan di ruang komen!
@gamersantaimy
Discussion about this post