Siri anime Chainsaw Man telah pun bermula dengan episod pertama ditayangkan pada minggu lalu. Dalam episod itu juga anda telah diperkenalkan dengan watak utama siri ini iaitu Chainsaw Man ataupun Denji dan si anjing comel, Pochita yang juga merupakan devil. Nampaknya devil tersebut telah mengambil hati ramai penonton semasa dia muncul. Ingin tahu lebih lanjut mengenainya? Jom kami perkenalkan Pochita secara ringkas kepada anda!

Untuk pengetahuan anda, Pochita merupakan Chainsaw Devil yang boleh memberikan ketakutan terhadap gergaji rantai. Sebelum Denji menjadi Chainsaw Man, dialah Chainsaw Man yang pertama. Selepas itu, dia berubah menjadi jantung Denji dengan syarat tertentu. Apa yang anda lihat sebagai anjing comel itu hanyalah “topeng” untuknya.

Rupa sebenar Pochita
Selepas membuat kontrak dengan Denji, Pochita telah mencantumkan dirinya serta bergabung dengan jantung dan menjadi sebahagian daripada anatomi Denji. Inilah yang menjadikannya seorang hibrid. Untuk bertukar menjadi Chainsaw Man, Denji perlu menarik tali gergaji yang berada pada dadanya.

Rupa hibrid ini menjadikan Pochita lebih kecil malah membuatkannya kehilangan gergaji pada kepalanya dan segala pemegang dan saluran darahnya bersambung dengan Denji. Tetapi gigi taringnya yang tajam masih dikekalkan. Tali gergaji Denji juga disambung terus di bahagian atas kepala Pochita.
Berbeza daripada devil lain, Pochita berkomunikasi sama seperti anjing iaitu menyalak dan merengek. Selepas bergabung dengan Denji, dia dapat berkomunikasi dengannya menggunakan fikirannya. Dia selalu berkomunikasi dengan Denji melalui mimpi serta memberikan amaran supaya tidak membuka “pintu” yang dilihatnya.

Anda akan berjumpa dengan lebih banyak lagi devil sepanjang siri, dan memang susah untuk jumpa devil seperti Pochita yang sayang kepada manusia. Tetapi itu mungkin terhad kepada Denji selepas dia diselamatkan olehnya. Itu antara sebab mengapa dia sanggup memberikan jantungnya kepada Denji supaya dia dapat memenuhi impian yang sering diceritakannya. Disebabkan Pochita mengenali Denji dengan sangat baik, dia dapat meniru personaliti serta perlakuan Denji untuk menipu Makima.

Walaupun Pochita kelihatan comel, sebenarnya dialah devil yang paling digeruni. Pochita mempunyai satu kebolehan yang dipanggil “Devil Erasure” yang boleh memadam kewujudan devil lain. Senang cerita, tidak ada sesiapa pun akan mengingati devil itu. Disebabkan itulah ramai yang ingin menghapuskan Chainsaw Man. Tetapi ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Itu sahaja yang kami boleh kongsikan kepada anda hari ini. Untuk anda yang ingin menonton anime ini, boleh gunakan platform seperti Ani-One Asia dan Amazon Prime! Siri ini juga akan tersedia di platform lain pada masa akan datang. Manganya juga tersedia secara percuma di MangaPlus untuk dibaca. Untuk segala liputan mengenai Chainsaw Man daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post