Seperti yang korang semua tahu, “balas dendam” adalah elemen yang selalu dibawa dalam filem Hollywood. Selalunya kisah seperti ini mengisahkan manusia lawan manusia, tetapi apa jadi apabila seekor haiwan, khususnya singa, yang ingin membalas dendam? Itulah premis untuk filem survival thriller Beast, yang diarahkan oleh Baltasar Kormákur dan dibintangi oleh bintang besar, Idris Elba.
United International Pictures telah memberi kami peluang untuk menghadiri media screening, jadi izinkan saya beri review ringkas tentang Beast tanpa mendedahkan apa-apa spoiler besar.
Beast mengisahkan tentang?

Idris Elba memainkan watak Dr. Nate Daniels, seorang suami duda yang kembali ke Afrika Selatan, tempat dia pertama kali bertemu isterinya, dalam perjalanan yang telah lama dirancang bersama anak perempuan mereka, Mer berusia 18 tahun (Iyana Halley) dan Norah (Leah Sava Jeffries) yang berusia 13 tahun. Bersama, mereka pergi ke rizab alam semula jadi yang diuruskan oleh Martin Battles (Sharlto Copley), seorang rakan lama kepada keluarga dan juga ahli biologi hidupan liar.
Asalnya bermula sebagai perjalanan yang tenang dan lancar, ia bertukar kepada perjuangan bertahan hidup apabila seekor singa, yang terselamat daripada pemburu haram, kini melihat semua manusia sebagai musuh dan mula menyasar mereka.

Pendek kata, perjalanan ini adalah usaha Nate untuk menghubungkan anak perempuannya kepada akar umbi memandangkan arwah ibu mereka, Amahle sebenarnya berasal dari Afrika. Pada masa yang sama, ini juga adalah cara Nate untuk merapatkan diri semula dengan anak-anak perempuannya selepas mereka menyalahkannya atas isu yang berlaku selepas kematian Amahle akibat kanser.
Seperti yang korang baca di atas, keluarga itu bertemu dengan seekor singa berbahaya, yang tujuan utamanya hanyalah memburu manusia dan membunuh mereka. Nate kini harus bertanggungjawab sebagai seorang bapa untuk melindungi anak perempuan dan dirinya sendiri.
Barisan pelakon sebenarnya agak solid

Apa yang saya suka tentang Idris Elba ialah dia mempunyai persona berkarisma dan untuk filem ini, dia menunjukkan kehebatannya sebagai seorang pelakon. Khusus untuk peranan ini: pada permulaan, dia seorang lelaki yang cuba membetulkan keadaan bersama keluarganya dan cara dia melakukannya pun dalam cara yang saya anggap realistik iaitu dalam keadaan awkward (janggal).
Ini masuk akal sebab plot cerita menjelaskan bahawa hubungan antara anak dan ayah ada masalah, jadi terang-teranglah si Nate tidak tahu bagaimana untuk berkomunikasi bersama anak perempuan yang semakin besar. Idris Elba menyampaikan persembahan ini dalam cara yang saya rasa natural tanpa terlalu “over”.

Kemudian, dia perlu mencari kekuatan dan keberanian dalam dirinya apabila singa mula menyerang demi melindungi anak perempuannya. Itu tiada masalah sebab kita tahu Elba memang hebat dalam filem aksi. Secara keseluruhan, saya suka lakonannya sebagai watak utama.
Jeffries dan Halley (watak anak perempuan) juga boleh tahan bagus dalam filem itu. Cuma bagi saya, watak Jeffries sebagai Mer agak menjengkelkan. Dia seorang remaja yang mengalami banyak peristiwa pahit, kita faham semua itu tetapi kadangkala reaksinya dalam beberapa situasi membuatkan saya tepuk dahi. Bayangkan, ayah jadi hero sebab dia mampu, anak pula nak tunjuk hebat sekali. Tapi saya pun tidak boleh salahkan dia, itu yang diminta oleh skrip.

Watak Norah pula bertentangan dengan kakaknya. Sebagai kanak-kanak, banyak yang dia tidak boleh buat tetapi adakala dia menyerlah termasuk satu ketika di mana dia berjaya menyelamatkan keluarga daripada singa. Lebih senang, watak ini kecil-kecil cili padi.
Sebaliknya, Sharlto Copley, yang memainkan peranan Martin Battles, kawan lama kepada Nates adalah tambahan yang dialu-alukan. Peranannya memang tidak sepenting yang lain tetapi Copley memanfaatkan setiap peluang yang dia ada sebaik mungkin. Kedua-dua Elba dan Copley bekerjasama dengan baik di skrin, di mana dia melakukan tugas yang baik untuk mengimbangi watak Nates. Secara keseluruhannya, Copely juga amat menonjol dalam peranan watak sokongan.

Akhir sekali ialah singa! Supaya tiada yang salah faham, singa itu bukan singa betul ya, sebaliknya CGI. Walaupun begitu, saya boleh merasakan aura pemangsa lagi-lagi dengan mulutnya yang penuh darah manusia, parut sekeliling dan badan yang besar tetapi slim untuk menunjukkan hierarki “predator” sebenar di atas bumi. Memang mengancam dan menakutkan.
Saya juga dapat rasa unsur “gila” dan psiko seperti mana kita lihat dari filem pembunuh bersiri jadi korang tahu bahawa singa itu hanya ada satu matlamat: iaitu untuk membalas dendam. Bukan itu sahaja, singa ini bukan yang haiwan biasa anda lihat di zoo. Ia sebenarnya bijak dan menggunakan taktik manusia seperti umpan untuk memancing mangsa (manusia) kemudian menyerang dari titik buta. Itu menambah lapisan baharu kepada antagonis dan memberi efek yang lebih menyeramkan kepada penonton.
Kawasan luas tapi adegan banyak setempat

Dengan hanya 4 orang untuk fokus bagi majoriti filem, ini membantu jalan cerita supaya tidak menjadi terlalu berat (filem tertentu mempunyai banyak watak untuk diceritakan), jadi pengarah Baltasar Kormákur sering menggunakan adegan/scene yang panjang untuk membuat kita lebih imersif dengan jalan cerita.
Sebagai contoh, ada adegan di dalam kereta/jip yang bertahan lebih kurang hingga 30 minit. Adegan ini akan berterusan sehingga saat di mana keluarga utama terpaksa melarikan diri ke lokasi lain kerana singa.

Secara ringkas, kami akan sentiasa memerhati kawasan/ruang yang sama tetapi ia tidak membosankan! Mata saya langsung tidak dapat berehat kerana keluarga akan sentiasa diserang oleh singa. Di sinilah datangnya elemen jump scare. Sememangnya, singa akan sembunyi tetapi selepas kamera berpusing beberapa kali, singa itu akan tiba-tiba keluar entah dari semak mana. Jadi, jangan risau! Walaupun bukan cerita hantu, tetapi movie ini masih banyak elemen mengejutkan.
Jalan cerita amat “direct” tetapi dalam cara yang baik

Selepas prolog yang brutal (sesi menunjukkan singa), skrip yang ditulis oleh Ryan Engle mengambil masa yang “lama” untuk memperkenalkan kita kepada keluarga dan memberitahu tujuan sebenar mereka melawat Afrika.
Dari satu segi, filem itu tidak memfokus sangat pada drama keluarga dan membiarkan cerita itu berkembang secara semula jadi, tetapi kemudian memberikan info penting sepanjang naratif. Pada pendapat saya, intro-nya yang berat tetapi penting beralih dan berjalan dengan baik hingga ke pertengahan filem.

Satu lagi perkara yang saya suka ialah cerita itu tidak terlalu rumit. Dalam beberapa aspek, ia sangat “straightforward”, dan ini membolehkan pelaksanaan filem untuk menjadi lebih mengasyikkan. Itulah sebabnya pengarah memutuskan untuk menggunakan adegan gaya panjang untuk cuba meletakkan kita dalam perspektif watak ketika seekor singa berbahaya datang memburu mereka.
Untuk singa, ia memang lebih besar daripada singa biasa tetapi bukan dalam saiz “raksasa/hulk” – hanya beberapa inci lebih besar. Secara peribadi, saya lebih suka pendekatan ini daripada menjadikannya singa mutan kerana apa yang lebih menakutkan ialah anda boleh menyamakan singa ini kepada haiwan di dunia sebenar. Bayangkan lah mereka guna singa saiz raksasa, memang menakutkan cuma kita tahu ia tidak realistik. Sebaliknya kalau guna singa sebenar, kemungkinan besar ada yang takut hingga trauma untuk melawat zoo.

Dalam saiz yang lebih normal, penonton pasti boleh bayangkannya dengan lebih baik jika seekor singa biasa mengamuk secara tiba-tiba. Itu pandangan saya.
Tetapi ada juga beberapa masalah yang perlu saya kongsi. Ia mempunyai permulaan yang cemerlang. Pertengahan juga agak bagus tetapi pengakhirannya sangat anti-climatic. Saya tidak akan memberitahu apa yang berlaku, jadi anda perlu menontonnya untuk faham maksud. Ia bukan sahaja adalah pengakhiran yang terlalu cepat, malah segalanya selesai begitu saja dengan mudah. Saya pun bertanya – “itu saja??”.
Pendapat

Secara keseluruhan, Beast adalah filem survival thriller yang agak menghiburkan dengan beberapa jumpscare. Selain daripada membawa mesej penting seperti kepentingan sebuah keluarga dan kejahatan pemburuan haram, jalan ceritanya tidaklah begitu rumit. Ia tidak menawarkan apa-apa yang berbeza atau unik berbanding filem seram haiwan lain (Jaws, Meg, Crawl) tetapi menggunakan elemen saspens dengan baik, dan menonjolkan watak manusia terutamanya Nate dan anak perempuannya.
Saya berharap cerita itu dapat menawarkan satu atau dua kejutan walaupun kita tahu ke mana jalan cerita hendak pergi. Hakikatnya, pengarah tahu perkara ini dan kemudian cuba meningkatkannya dengan kerja kamera yang teknikal dan lakonan hebat oleh Idris Elba.
Antara perkara yang saya tidak suka adalah pengakhirannya yang mengecewakan kerana filem tamat dengan terlalu cepat dan dalam keadaan “tiba-tiba”. Walau bagaimanapun, filem ini boleh menjadi hiburan yang bagus untuk sesiapa sahaja yang berminat dengan filem thriller jenis simple dan straight-to-the-point”.
Untuk membaca review kami yang lain seperti game, anime, produk dan lain-lain, korang boleh rujuk di sini.
@gamersantaimy
Discussion about this post