Sony menegaskan bahawa syarikat mereka tidak akan mengubah keputusan untuk menghentikan pengeluaran cakera fizikal bagi game PlayStation bermula Januari 2028.
Mengulas kontroversi itu sewaktu taklimat kewangan Suku Pertama Tahun Kewangan 2026 Sony Group Corporation, Lin Tao selaku Ketua Pegawai Kewangan mengesahkan bahawa syarikat itu tetap akan “meneruskan langkah ini secara berhati-hati”, biarpun memahami bantahan keras daripada pemain di seluruh dunia.
Lin Tao menjelaskan bahawa keputusan tersebut didorong terutamanya oleh peralihan industri ke arah media digital.
“Kami telah mengumumkan bahawa bermula Januari 2028 dan seterusnya, kami tidak lagi akan mengeluarkan disk—iaitu setahun setengah dari sekarang,” kata Tao. “Ada pelbagai sebab di sebalik keputusan ini, dan faktor utama ialah pendigitalan kandungan secara keseluruhan yang semakin pesat—itulah faktor terbesarnya. Ia bukan sahaja melibatkan PlayStation, malah merangkumi pelbagai jenis kandungan lain.”
Sambil mengaku kekecewaan yang diluahkan oleh komuniti gamer sejak bulan lalu, Tao menyatakan bahawa Sony telah mengambil masa yang lama untuk mempertimbangkan keputusan tersebut sebelum membuat pengumuman.
“Apabila memikirkan tentang masa depan, kami mengambil masa dan pertimbangan berhati-hati sebelum mencapai kesimpulan ini. Oleh itu, kami akan meneruskan pelan ini dengan penuh cermat,” katanya.
“Terhadap keputusan ini, kami menerima pelbagai maklum balas—ramai yang menyatakan pandangan yang sangat tegas—dan kami faham akan perkara tersebut. Permainan video amat disayangi ramai; ia bentuk hiburan yang dekat di hati dan penuh dengan kenangan indah. Jadi, kami sangat memahami emosi itu dan mahu mengambil kira. Dalam ekosistem digital masa depan kelak, bagaimana kami dapat terus mendekati para gamer adalah sesuatu yang mahu kami terus terokai.”
Biarpun para peminat mempunyai ikatan yang kuat terhadap media fizikal, angka kewangan Sony menjelaskan mengapa syarikat itu nekad melakukan peralihan ini.
Laporan kewangan terbaharu suku pertama 2026 menunjukkan bahawa pembelian perisian digital dan kandungan tambahan menyumbang lebih $3 bilion (sekitar RM12.2 bilion), manakala jualan disk fizikal hanya menyumbang $128 juta (sekitar RM524 juta). Dengan lebih 80% jualan perisian didominasi format digital, cakera fizikal hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan hasil permainan video Sony.
Sejak pengumuman dibuat pada 1 Julai lalu, bantahan daripada pemain semakin hangat di media sosial sehingga mencetuskan petisyen seperti “Don’t Kill the Disc” yang kini meraih ratusan ribu tandatangan. Komuniti gamer meluahkan kebimbangan tentang kehilangan hak milik sebenar ke atas game, tanpa pilihan untuk menjual semula atau meminjamkan cakera, serta risiko kehilangan akses penuh sekiranya kedai digital atau akaun mereka ditutup.








Discussion about this post