Tidak semua laptop yang ada di pasaran benar-benar memberikan produktiviti yang tinggi semasa menggunakannya. Walaupun begitu, terdapat banyak laptop baharu yang diperkenalkan buat mereka yang inginkan produktiviti yang tinggi malah mudah digunakan semasa kerja mahupun belajar. Kami ingin perkenalkan kepada anda laptop Vivobook 16 (A1605) baharu yang diperkenalkan oleh ASUS! Bagi kami ia salah satu pilihan yang baik buat anda! Teruskan baca review kami untuk mengetahui sebabnya!
Reka Bentuk
Mengekalkan rupa minimalis dan kemas, Vivobook 16 (A1605) memberikan aura yang profesional, memang sesuai untuk digunakan di mana-mana sahaja. Ia hadir dengan paparan skrin sebesar 16 inci dengan aspect-ratio 16:10 dengan bezel yang cukup nipis. Ini memberikan tontonan yang luas kepada penggunanya. Lebih menarik sekali, paparan itu boleh ditolak sehingga 180 darjah, yang membolehkan anda untuk berkongsi maklumat dengan mudah semasa dalam perbincangan berkumpulan.
Laptop ini juga hadir dengan reka bentuk yang ergonomik yang keseluruhannya bagus. Kami telah menggunakan Vivobook 16 ini seharian untuk membuat kerja, dan kami sangat selesa menggunakannya. Walaupun berjam-jam dihabiskan dengan kerja menaip, sikit pun tidak terasa lenguh. Ini mungkin juga disebabkan dengan keyboard ErgoSense yang diperkenalkan. Kami akan ulas lebih lanjut mengenainya.
Daripada segi saiz, dimensinya ialah 35.84 x 24.95 x 1.99 cm (W x D xH) dan mempunyai berat sebanyak 1.88kg. Boleh dikatakan agak ringan juga kerana kami boleh mengangkatnya dengan satu tangan tanpa menggunakan banyak tenaga. Kalau ingin bawanya kemana-mana sahaja juga mudah kerana bebannya yang ringan dalam beg.
Laptop ini juga lebih kukuh dengan pelbagai ujian ketahanan yang diberikan padanya. Jadi kalau anda terjatuhkan laptop ini, ia masih berfungsi dengan baik.
Paparan dan kualiti audio
Seperti yang dinyatakan di atas, Vivobook 16 (A1605) mempunyai paparan sebesar 16 inci. Ia mempunyai resolution 1920 x 1200 WUXGA yang menjadikannya paparan dengan nisbah 16:10 dan menyokong sehingga 60 Hz refresh rate. Perkara lain yang kami berpuas hati ialah nisbah screen-to-body sebanyak 86% pada laptop ini. Ia membenarkan kami untuk nikmati paparan sebanyak mungkin.
Paparan ini hadir dengan teknologi NanoEdge tiga sisi dengan panel backlight LED. Bagi kami skrinnya tidaklah begitu terang dan kecerahannya hanya boleh ditingkatkan sehingga 300 nits sahaja. Walaupun begitu, ia cukup baik apabila dilihat dengan begitu lama.
Bercerita tentang visual paparan, ia dapat menghasilkan warna yang terang dan menawan apabila menonton video pada YouTube mahupun melihat gambar pada media sosial.
Buat anda yang mementingkan privasi, anda boleh melindungi webcam laptop menggunakan privacy shield fizikal yang berada di tengah-tengah bezel atas. Jadi kalau anda terbuka kamera secara tidak sengaja, privasi anda masih terjaga dengan adanya penutup webcam fizikal ini.
Untuk audio pula, ia sememangnya mendapat upgrade berbanding model terdahulu. Dilengkapi dengan teknologi Dirac, sistem audio laptop ini lebih jelas malah memberikan pengalaman audio yang seimbang. Anda akan dapat kualiti terbaik jika anda menggunakannya dalam bilik yang kecil.
Keyboard dan trackpad
Berkenaan keyboard-nya Vivobook 16 (A1605) terasa sangat responsif malah mempunyai layout yang cukup baik membuatkan kami mudah menyesuaikan diri semasa menggunakannya. Terima kasih kepada ASUS ErgoSense pada keyboard ini, ia memberikan pengalaman menaip yang cukup tepat malah terasa lebih cepat semasa menaip.
Walaupun begitu, kami sedikit janggal apabila ingin menggunakan kekunci arrow keyboard ini kerana ia terasa seperti lebih kecil dan kami sering tersalah tekan butang “0”. Keyboard ini juga dilengkapi dengan number pad yang sememangnya berguna buat mereka yang sering bekerja untuk data entry atau berkaitan dengan nombor. Ia juga mempunyai pelbagai ciri hotkey yang sangat berguna untuk number entry.
Sekali pandang, trackpad laptop ini kelihatan sedikit besar tetapi apabila menggunakannya, ia terasa sangat sesuai pada laptop ini. Selalu kalau letak tangan pada touchpad semasa menaip rasa tidak selesa, tetapi berbeza dengan trackpad pada Vivobook 16 ini, ia seperti tiada trackpad di situ. Walaupun trackpad sentiasa “on”, cursor mouse juga jarang bergerak dengan sendiri. Jadi memang sungguh selesa semasa kami menggunakannya. Trackpad ini juga mempunyai pengimbas jari pada sudut kanan untuk mereka yang ingin “on” laptop ini dengan lebih pantas tanpa perlu menginput kata laluan.
Dengan pelbagai virus serta bakteria yang menjadi kerisauan sekarang ini, ASUS Antimicrobial Guard Plus meliputi laptop ini untuk melindungi pengguna-penggunanya. Salutan ini mampu merosakkan sel serta menghalang pembiakannya.
Prestasi
Laptop ini dilengkapi dengan cip processor Intel Core 5 120U baharu, dengan 10 core dan 12 thread yang mampu memberikan kecekapan lebih baik pada kuasanya. Memandangkan ia hadir dengan Intel integrated graphic, jadi anda boleh mendapatkan prestasi grafik yang cukup baik untuk kerja grafik ringan.
Untuk mengekalkan suhunya, Vivobook 16 turut dilengkapi dengan kipas 87-blade IceCool pada CPU dengan dua vent terletak pada bahagian belakang dan kiri laptop. Ia juga mempunyai 16GB DDR4 RAM serta storan sehingga 512 GB PCIe 4.0 SSD. Berikut adalah ujian benchmark yang kami lakukan padanya:
- PCMark 10: 5540
- 3DMark: 1318
- Cinebench
- Multi core: 447
- Single core: 110
Barisan I/O Port
Terdapat beberapa port yang ada pada Vivobook 16 (A1605), iaitu:
- USB 2.0 Type-A x1
- USB 3.2 Type-C x1
- USB 3.2 Gen 1 Type-A x2
- HDMI 1.4 x1
- Combo Audio Jack 3.5 mm x1
- DC-in x1
Seperti model sebelum ini, ia mengekalkan layout port ini, di mana satu port USB 2.0 terletak pada sebelah kiri laptop manakala selebihnya berada pada sebelah kanan. Jadi mungkin sedikit serabut pada sebelah kanan laptop kalau anda menggunakan kesemua port ini.
Hayat bateri
Vivobook 16 mempunyai bateri 50WHr dan mampu bertahan sehingga 5 jam semasa kami mengujinya. Pelbagai perkara juga kami telah lakukan seperti menyiapkan beberapa dokumen, melayari internet, menonton video dan juga mendengar Spotify. Agak kagum juga kami dengan prestasi baterinya ini. Sesuai sangat untuk anda menggunakannya untuk kerja atau belajar di mana-mana.
Kalau habis bateri, ia juga hadir dengan pengecasan pantas, di mana kami mampu mendapatkan bateri 100% dalam masa sejam lebih sahaja. Jadi anda mampu meneruskan kerja tanpa bergantung kepada pengecas untuk masa yang lama.
Software tambahan
Sudah tentu ASUS memberikan beberapa software yang boleh personalized pengalaman anda sendiri pada laptop ini. Antara software yang diperkenalkan adalah MyASUS, di mana anda boleh memantau sistem laptop, update software, optimize prestasi laptop dan banyak lagi. Terdapat juga GlideX yang memudahkan anda untuk mengongsi skrin anda pada mana-mana platform serta OS. Sebagai tambahan ScreenXpert pula membantu anda mengurus aplikasi merentas paparan yang disambungkan ke PC ASUS anda dan memberi kawalan penuh pada aliran kerja anda!
Kesimpulan
Vivobook 16 (A1605) tidak disangkal lagi pilihan berbaloi untuk dimiliki oleh pekerja mahupun pelajar untuk mendapatkan produktiviti yang baik serta mudah dibawa ke mana-mana. Dengan dilengkapi dengan Microsoft Office Home & Student ia merupakan software penting untuk menyelesaikan segala dokumen-dokumen penting.
Kehadiran ciri-ciri hebat seperti skrin besar, keyboard dan trackpad yang responsif serta hayat bateri yang baik sudah mencukupi untuk melakukan kerja-kerja ringan. Laptop ini tersedia dengan harga RM 3099 dan hadir dalam dua warna iaitu Indie Black dan Cool Silver. Anda boleh ke laman web ASUS untuk mendapatkan spesifikasi penuh laptop.
Untuk mendapatkan liputan lain mengenai laptop daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post