Ulasan Final Fantasy VII Remake – Tetap legenda seperti yang asal, dengan penambahan yang lebih padu!

*AMARAN! Ulasan ini mengandungi berapa spoiler. Ulasan ini ditulis berdasarkan salinan yang diberi oleh Square Enix*

Apabila ia mula-mula diumumkan, Final Fantasy VII Remake terasa seperti satu projek impian yang sukar untuk disesuaikan dalam landskap moden. Untuk membina semula sebuah game yang ikonik, tersayang dan terkenal terasa terlalu bercita-cita tinggi. Kini ia menjadi realiti, dengan usaha 100% oleh Yoshinori Kitase dan Tetsuya Nomura.

Dirancang sebagai projek ber-episod, bab pertama ini dikembangkan dan mereplikasikan semula pengembaraan Final Fantasy 7 pada 1997 sambil mengekalkan apa yang membuatkan kita jatuh cinta dengannya game ini.

Jalan cerita yang lebih mendalami latar belakang dunia FFVII! 

Berbanding dengan FFVII asal, anda tidak boleh menamakan watak utama lagi dan ia mempunyai pilihan dialog yang lebih sedikit berbanding yang asal. Pilihan dialog yang ada, sekurang-kurangnya akan mempengaruhi permainan dalam beberapa cara kecil. Sebagai contoh, apabila Tifa ingin menyelinap ke rumah agam Don Corneo, pemain boleh menentukan baju pilihan Tifa dengan bercakap dengannya. Di sini, buat la pilihan anda. Pilihan seperti ini mudah untuk terlepas pandang, jadi saya sarankan anda berbual dengan semua orang sebelum maju dalam jalan cerita. Cloud siap boleh berjimba dengan awek lagi..

Game ini mengisahkan Cloud Strife, seorang lelaki muda/ tentera upahan yang menyertai pasukan Avalanche. Di sini, dia ditugaskan untuk menjatuhkan sebuah organisasi jahat yang menyerap sumber hidup planet demi kepentingan korupsi mereka sendiri.

RPG ini bermula dengan cutscene yang lebih canggih, dipertingkatkan dengan grafik moden dan tumpuan yang lebih besar kepada dunia FFVII. Siapalah sangka mereka berjaya mereplikasikan semula dunia Final Fantasy 7 pada 1997 untuk generasi gamers baru.

Selepas beberapa adegan cerita, saya diserang oleh kumpulan askar yang bergegas ke arah saya. Sangat jelas bahawa sistem pertempuran lebih cepat dan beraksi berbanding yang sebelum. Saya pun menggunakan pedang Buster Sword milik Cloud dan pukul-pukul-pukul sehingga HP mereka menjadi 0 dalam beberapa saat. Mari saya jelaskan lagi.

Sistem Pertempuran Klasik tetapi Unsur Moden Memantapkan Lagi Permainan!

Walaupun pertempuran berlaku dalam masa nyata ketika saya berlari di sekeliling musuh sambil menyerang kelemahan mereka, asal-usul sistem turned-based masih wujud. Pada bila-bila masa, anda boleh menekan butang untuk melambatkan masa, membuka menu untuk memilih “spell“, abiliti unik, senarai item dan lain-lain. Ini bermakna saya boleh berehat sebentar daripada berlawan dan menilai persekitaran pertarungan, untuk pilih strategi terbaik bagi menang.

FFVII Remake menyesuaikan sistem pertempuran lama dengan ciri-ciri moden. Hasilnya ialah pengalaman pertempuran yang mengingatkan saya kepada game asal, pada masa yang sama, menggabungkan gaya moden yang segar.

Satu-satunya masalah saya ialah kawalan kamera dan kawalan menukar sasaran berkongsi butang yang sama (right analog stick). Saya ingin menukar sudut kamera untuk melihat medan pertempuran dengan lebih baik, tetapi ia tiba-tiba menukar sasaran.

Perkara pertama yang perasan ialah sistem pertempuran jauh lebih sukar daripada demo yang kami cuba di TGS 2019. Kita perlu bermain dengan mentaliti RPG, bukan game aksi, kerana pemain pasti akan tercedera. Tidak seperti permainan aksi, jika anda cukup pandai, anda boleh terlepas dengan 0 damage (contoh: Dark Souls, Nioh).

Pada dasarnya, saya perlu mengkaji dan memahami pergerakan musuh. Ini mengharuskan saya untuk memberi perhatian pada keaadan atau status musuh serta mempelajari rentak permainan mereka (nama spell akan keluar apabila musuh menggunakan abiliti). Serangan projektil juga boleh dihalang oleh musuh lain, atau dinding. Ciss kau dinding!!

Pertarungan dengan BOSS juga sangat berbeza dengan yang asal. BOSS tertentu akan meminta pemain untuk mendengar nasihat rakan-rakan Party. Jika pemain tidak ikut, pertarungan akan menjadi sangat-sangat sukar. Contoh situasi ialah apabila Party mendirikan Barrier unik (tidak boleh dibuang) yang imun pada damage. Spell ini istimewa kerana ia khas hanya untuk pertarungan BOSS tersebut sahaja. Di sini, pemain boleh berlindung dan menyerang bila perlu. Pada masa yang sama, beberapa pertarungan BOSS mempunyai fasa-fasa berubah. Perkara ini boleh dilihat di pertarungan BOSS pertama (Scorpion Sentinel) di mana pemain akan bertarung dengannya di darat dan apabila ia melompat ke kawasan lain. BOSS lain juga mempunyai fasa-fasa yang berubah.

Abiliti mengelak tidak begitu berkesan kerana kebanyakan serangan musuh terlalu luas, dan saya perlu mengelak sekurang-kurangnya beberapa saat lebih awal. Perlu diberi perhatian bahawa beberapa spell mempunyai AOE. Manfaatkan kelebihan ini untuk membunuh sekumpulan musuh dengan lebih mudah.

Selain itu, hati-hati apabila melakukan abiliti atau spell, kerana tindakan ini boleh dibatalkan oleh musuh. Jika dibatalkan, anda akan membazirkan ATB dan MP untuk abiliti.

Kegunaan Limit Break yang pasti Membinasakan Musuh!

Ciri Limit Break pula adalah seperti “skill istimewa” untuk watak. Walaupun saya kata “skill istimewa“, jangan pula kita terasa betul-betul kebal. Kita masih boleh menerima damage semasa memulakan abiliti ini. Apatah lagi jika AI mengawalnya. Limit Break hanya boleh diisi jika pemain dicederakan oleh musuh. Dahulu, arahan Limit Break akan menggantikan arahan Attack, tapi sekarang tiada lagi. Limit Break juga tidak boleh diteruskan pada pertarungan seterusnya dan akan di-reset. Kuat sangat lah kalau setiap pertarungan pun kita nak Limit Break kan? Setiap Limit Break mempunyai efek berbeza seperti meningkatkan kadar Stagger, atau Offensive. Limit Break Aerith boleh memberi Support (sokongan) kepada pemain. Sedikit info ialah Limit Break lama telah dipindah ke Abilities manakala Cloud pula mempunyai Limit Break baru. Nak tahu apa lagi seronok? Ada Materia istimewa yang boleh mengubah Limit Break anda ke Limit Break baru.

Final Fantasy VII Remake juga memperkenalkan Colosseum. Colosseum adalah arena pertempuran di mana banyak perlawanan berbeza diadakan. Beberapa mod hanya khusus untuk watak-watak tertentu manakala ada beberapa mod lain di mana pemain boleh pilih dua watak untuk bawa bersama. Kebanyakkan pertarungan di sini tidak membenarkan kegunaan item dan mencabar pemain dengan meletakkan syarat-syarat susah, tetapi berita baik! Setiap pusingan baru akan menyembuh HP dan MP anda sebanyak 50%. Di sinilah anda boleh membuka Limit Break kedua untuk watak-watak sebagai ganjaran.

Taktik Berguna untuk Menewaskan Musuh!

Ciri Stagger sangat penting untuk kebanyakan pertarungan, musuh akan menerima lebih banyak damage dan beberapa pertarungan memerlukan saya untuk menang dengan cara ini. Menyerang musuh dengan spell elemen yang mereka lemah akan mempercepatkan kemajuan Stagger.

Jangan lupa untuk kaji! Setiap musuh mempunyai keperluan berbeza untuk mengisi meter Stagger mereka. Setiap BOSS mempunyai fasa-fasa berlainan, dan apabila mereka pergi ke fasa berlainan tersebut, meter Stagger akan kosong semula. Kadang-kala, musuh boleh jatuh ke status Pressured. Dalam tempoh ini, mereka akan menerima lebih banyak damage, dan ia lebih mudah untuk mengisi meter damage sepanjang tempoh ini.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit tips untuk kawan-kawan yang baru nak mula. AI yang mengawal watak-watak sebenarnya adalah sangat pasif, dan akan menyerang kadang-kala, serta tidak akan menggunakan spell atau abiliti tanpa arahan khusus oleh pemain. Oleh itu, amat disarankan untuk menukar watak apabila anda sedang melancarkan spell atau tersekat dalam animasi, agar watak-watak lain boleh mengisi ATB juga.

Seperti mana-mana game lain, musuh AI akan menyerang watak yang dikawal oleh pemain (tidak tertakluk kepada BOSS), jadi untuk sentiasa selamat, saya menukar ke watak dengan HP yang lebih tinggi apabila HP watak yang saya sedang kawal amat rendah pada HP.

Watak dengan Gaya Permainan Berbeza saling Melengkapi Pasukan!

Party anda terdiri daripada Cloud, Barret, Tifa dan Aerith. Ini menawarkan pelbagai pilihan pertempuran untuk saya cuba. Tidak disarankan untuk pemain cuba satu gaya permainan sahaja kerana setiap watak mempunyai abiliti masing-masing. Barrett mampu menyerang musuh dari jauh manakala Tifa dapat memecahkan perisai dengan pukulan maut. Sebagai alternatif, anda boleh melambatkan masa dan mengaturkan arahan khusus jika watak-watak lain memerlukan penyembuhan atau mengaktifkan Limit Break.

Tingkatkan Senjata hingga ke Maksimum!

Setiap watak boleh meningkatkan tahap, dan setiap tahap akan membuka SP tambahan untuk senjata. Dengan tahap yang cukup, kita juga boleh membuka slot weapon core tambahan. Di sini kita boleh mengisi materia tambahan, meningkatkan kekuatan serangan, meningkatkan serangan magic dan lain-lain. Adakah ini akan membuat senjata pada awal permainan berguna pada penghujung permainan? Anda harus cuba sendiri.

Setiap senjata dilengkapi dengan weapon ability, satu slot untuk Summon Materia dan mempunyai SP mereka tersendiri yang boleh ditingkatkan pada bila-bila masa. Yang menariknya ialah selepas memahirkan mana-mana weapon ability, watak kita boleh mengakses kemahiran itu tanpa menggunakan senjata tersebut.

Saya paling puas hati apabila pemaju mementingkan butiran-butiran kecil. Jika anda tidak tahu, Materia yang kita guna pun boleh dilihat dalam masa nyata walaupun di sarung tangan Tifa.

Seru Makhluk Mitos untuk Bantu dalam Pertarungan!

Summon kembali dalam bentuk makhluk mitos yang bertarung bersama pemain. Berbanding dengan yang asal, saya suka dengan Summon baru. Ia terasa lebih autentik dan tidak membuatkan saya terasa seperti abiliti yang boleh “one-shot” semua musuh. Setiap watak hanya boleh menggunakan satu Summon dan ia hanya boleh digunakan pada musuh yang kuat serta tidak perlu memerlukan AP untuk meningkatkan tahap.

Pemain boleh memberi arahan kepada Summon selagi mana-mana watak mempunyai ATB yang cukup walaupun bukan dia yang seru. Apabila durasi Summon tamat, ia akan melancarkan serangan istimewa. Sebagai contoh: Ifrit akan menggunakan Hells ‘Fire. Sekiranya Summoner (pemain) tertewas dalam pertarungan, maka durasi Summon pun akan serta-merta tamat.

Sistem Materia yang lebih Luas Mengembangkan Lagi Permainan!

Peminat tegar pun pasti gembira untuk melihat sistem Materia yang tidak banyak diubah. Untuk yang belum tahu, Materia adalah kuasa magic di dunia Final Fantasy 7. Setiap Materia boleh membuka versi yang lebih kuat dengan mengumpul AP yang cukup. Sesetengah Materia boleh digunakan bersama Materia lain. Dengan menyambung Materia penyembuhan bersama AUTO CURE, AI akan secara automatik memulihkan diri sendiri. Materia dengan unsur api atau kilat pun boleh dilengkapkan pada senjata yang dibuktikan sangat berkesan pada awal permainan. Sayangnya, Materia yang dimahirkan sepenuhnya tidak akan menghasilkan materia baru seperti di FFVII asal.

Sebelum kita ke bahagian seterusnya, saya ingin memberi amaran. Jangan main-main dengan binatang “alien” hijau toyol bernama Tonberry. Sekali anda lawan, saya jamin semua mati dengan satu serangan. Nak tahu apa yang buat dia lagi imba? Dia siap boleh buat spell STOP lagi. Nak lari mana? Tahu-tahu mati..

Dunia yang Diperbaiki dengan Kecanggihan Teknologi Mendalami Jalan Cerita!

Dunia dan persekitaran Midgar memang indah untuk diterokai. Setiap persekitaran FFVII direka semula dan berubah menjadi lebih terperinci daripada Mako Reactor hingga ke bandar-bandar sekeliling. Anda dapat melihat bagaimana penduduk bandar menjalani hidup mereka. Butiran ini membuat saya terasa seperti FFVII Remake benar-benar hidup. Di atas, anda boleh lihat Aerith sedang bercakap dengan kanak-kanak miskin yang duduk pun di rumah miskin.. tetapi Aerith sebenarnya tinggal di rumah 3-tingkat siap ada taman lagi! Pandai dia main peranan kesian kan..

Final Fantasy VII Remake bukanlah game open-world sepenuhnya, tetapi akan merangkumi beberapa lokasi di mana pemain boleh membuat misi sampingan atau aktiviti tambahan. Terdapat banyak misi sampingan untuk pemain selesaikan. Cloud pun adalah askar upahan, jadi sesuai lah dengan kerja dia. Misi sampingan pula boleh terdiri daripada mini-game seperti Squat, Pull-Up, Dart, dan lain-lain. Sesetengah daripadanya agak mencabar dan memerlukan saya untuk mencuba beberapa kali sebelum berjaya.

Sebuah peringatan, apa-apa barangan istimewa, jika terlepas, anda memperolehi balik selepas habiskan permainan dan selepas maju dalam permainan, anda akan membuka akses kepada ciri Fast Travel melalui Chocobo. Tidak! Anda tidak akan menunggang bintang comel ini. Sebaliknya, anda akan duduk di dalam pedati.

Pelajari lagi tentang Watak-Watak di Dunia Midgar!

Sangat jelas bahawa Square Enix menggunakan Remake ini untuk mengembangkan latar belakang watak, tema keseluruhan permainan tentang korupsi dunia dan peristiwa-peristiwa penting yang terasa ringkas pada versi asal. Bagi pendapat saya, ahli Avalanche kali ini jauh lebih beketerampilan. Adegan “flashback” baru dan pembaikan pada cutscene sedia ada bermakna anda boleh mengetahui watak-watak kegemaran dengan lebih intim atau lebih segar. Ini sepatutnya menjadikan detik-detik di FFVII Remake lebih menyayat hati, terutamanya kerana berjuta-juta orang sudah tahu apa yang bakal berlaku. Itu sahaja saya akan cerita tentang jalan cerita. Taknak spoiler pula.

Antara bahagian kegemaran saya dalam game ini adalah perbualan dan interaksi antara watak. Kehadiran lakonan suara di Remake sangat tepat dan membuat saya tertawa atau memahami watak dengan lebih lanjut berbanding FF7 asal yang tidak mempunyai suara.

Watak & latar belakang pula sangat terperinci sehingga saya dapat melihat beberapa helai uban di rambut dan misai Heidegger. Agaknya kalau adegan gempak, saya nak screenshot nanti, dan letak sebagai wallpaper PC. Mesti cun!

Dengan penambahan seperti ini, takkan anda semua tak pelik? NPC biasa memang berselerak di sekeliling tetapi apakah pandangan mereka tentang Cloud atau Barret? Mereka semua pakai baju biasa, kerja pun biasa, dan tiba-tiba ada lelaki besar dengan machinegun di tangan datang menyapa. Cloud pula merayu sini-sana bawa pedang besar. Aerith pun macam mengigau sebab asyik cakap dengan hantu. Siapa yang tak takut!! Ternyata, Tifa seorang sahaja yang “normal“.

Pemain dapat meneroka dunia Midgar yang lebih hidup, dengan banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan di samping jalan cerita utama. Saya yakin bahawa Remake ini akan terus memikat para pemain sehingga lebih banyak lagi tambahan diperkenalkan.

Kesimpulan!

Final Fantasy VII Remake adalah game 9.5/10 yang harus anda cuba! 100% wajib main! Selepas menghabiskan berjam-jam di game ini, ia benar-benar menepati jangkaan saya. Saya yang dahulu sangkal kepada game ini berubah menjadi peminat susah-mati dalam masa beberapa saat dan ia menunjukkan dedikasi Square Enix untuk membangunkan FFVII Remake.

Square Enix benar-benar berjaya mereplikasikan kehebatan game ikonik ini untuk konsep yang lebih moden. Walaupun kita dah tahu jalan cerita pun, banyak lagi perkara untuk peminat belajar di Remake. Final Fantasy VII Remake pasti salah satu permainan video paling hebat di abad ini! Kini disediakan untuk pelantar PlayStation 4, mari kita ulangi kisah Cloud Strife sekali lagi. Sebelum saya menamatkan ulasan ini, ada satu perkara terakhir saya ingin kata. Cloud lebih pandai menari daripada Squall (FFVIII).

Final Fantasy 7 Remake
Developer: Square Enix
Release Date: 2020-04-10
PlayStation 4
Ambil perjalanan kembali ke 1997 tetapi kali ini berbeza dengan semua peningkatan baru dan menakjubkan dari versi REMAKE!
Jangan lupa untuk ikuti kami di TikTok!
@gamersantaimy

The Review

Final Fantasy VII Remake

10 Score

Square Enix benar-benar berjaya mereplikasikan kehebatan game ikonik ini untuk konsep yang lebih moden. Walaupun kita dah tahu jalan cerita pun, banyak lagi perkara untuk peminat belajar di Remake. Final Fantasy VII Remake pasti salah satu permainan video paling hebat di abad ini!

PROS

  • Latar belakang lebih diterokai, tidak kisah daripada segi jalan cerita atau watak.
  • Sistem pertempuran yang lebih menarik dan lancar.
  • Penambahan moden tetapi masih mengekalkan ciri-ciri menarik versi awal.

CONS

  • Kawalan kamera yang merimaskan.

Review Breakdown

  • Selepas menghabiskan berjam-jam di game ini, ia benar-benar menepati jangkaan saya. Saya yang dahulu sangkal kepada game ini berubah menjadi peminat susah-mati dalam masa beberapa saat dan ia menunjukkan dedikasi Square Enix untuk membangunkan FFVII Remake. 0
Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Next Post

Discussion about this post

Discord Kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter Kami

Welcome Back!

Login to your account below

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.