Stellar Blade akan dilancarkan tidak lama lagi! Kalau anda biasa dalam komuniti game mobile, anda pasti pernah mendengar satu game mobile yang bertajuk Goddess of Victory: NIKKE. Kalau anda ingin tahu, pembangun game mobile tersebut merupakan pembangun sama untuk Stellar Blade, iaitu SHIFT UP! Game ini juga merupakan game AAA pertama daripada pembangun itu, jadi ramai yang menantikan game itu keluar nanti. Kami telah berpeluang untuk mainkan game tersebut sebelum ia dilancarkan nanti. Tanpa membuang masa berikut adalah review penuh kami untuk Stellar Blade!
Cerita
Kisah game ini berlaku pada masa depan di mana bumi hampir dimusnahkan dek penaklukan makhluk asing yang dipanggil Naytiba. Harapan manusia belum hilang sepenuhnya kerana sebahagian besar daripada mereka telah terselamat dan telah membina koloni besar di angkasa bersama pasukan khas yang terdiri daripada “Angels” atau senang cerita, gadis combat android yang telah ditugaskan untuk turun ke Bumi untuk menghapuskan Naytiba.
Misi ini bukanlah misi yang mudah kerana ramai yang menjadi mangsa, dan EVE, protagonis kita juga salah seorang daripadanya. Tetapi nasib baik seorang lelaki bernama Adam tiba untuk selamatkan EVE daripada Alpha Naytiba.
Mereka akhirnya bekerjasama, di mana Adam akan menjejaki Alpha Naytiba manakala EVE pula akan berlawan dengan segala kebolehan yang dimilikinya. Dalam usaha mereka untuk membina semula Xion sebagai tempat untuk manusia lain hidup, mereka terus memburu semua Alpha NAytiba yang mesti dihapuskan sepenuhnya daripada muka Bumi. Sepanjang perjalanan, EVE akan bertemu dengan banyak watak menarik termasuklah rakan karibnya yang lain, Lily yang merupakan seorang juruteknik.
Seperti yang kami telah ceritakan dalam preview demo yang lalu, daripada segi cerita, Stellar Blade mempunyai persamaan yang agak kuat dengan game NieR: Automata. Dengan permulaannya mengenai konflik perang sehinggalah menghapuskan pendatang asing dengan gadis android seksi, terdapat juga droid terbang yang menemani EVE sebagai sokongan malah musziknya juga hampir sama. Tetapi itu mungkin disebabkan oleh penglibatan MONACA dalam penghasilannya. Walaupun begitu, Stellar Blade masih mempunyai identiti serta kekuatannya tersendiri, cuma ceritanya bukanlah salah daripadanya.
Walaupun tetapan game dibina dengan baik tetapi kisah yang diceritakan seakan-akan boleh diagak menjelang penamatnya. Malah rentak cerita juga tidak seimbang. Sekurang-kurangnya, kami rasa game ini mempersembahkan kualiti cutscene yang sangat baik dengna visual yang menawan serta model watak yang berkualiti tinggi, walaupun ekspresi mereka sendiri kadangkala kelihatan kaku.
Kombinasi dengan Semi-Open World
Kami agak terkejut melihat Stellar Blade turut mempunyai sebahagian daripada gameplay semi-open world. Bergantung kepada kawasan penerokaan, sambil game membawa anda melalui level yang direka dengan lebih linear, di mana anda boleh membuka shortcut untuk kembali semula dengan mudah. Skop penerokaan ini hanya berkembang apabila anda sampai di Xion, Wasteland dan Great Desert yang akan mempunyai peta yang lebih besar dengan banyak tempat menarik untuk diterokai.
Kedua-dua kawasan menawarkan anda peta untuk meneroka dengan lebih mudah, tetapi anda hanya boleh aksesnya secara manual melalui menu dan bukanlah dipaparkan melalui HUD. Agak leceh juga sebenarnya sistem ini tetapi ia juga membuatkan game kelihatan lebih kemas dan tidak penuh dengan UI pada skrin. Reka bentuk tahap yang lebih linear dalam game adalah sempurna dan disebabkan skop penerokaan yang terhad, anda tidak dibekalkan dengan peta jadi untuk mengundur semula, perlu lakukannya secara manual mengikut jalan paling pantas atau gunakan sahaja Fast Travel.
Agak seronok juga bermain game dengan rekaan semi-open World ini kerana banyak perkara menarik yang anda boleh jumpa di setiap sudut. Penerokaan di Xion terasa senang kerana anda berada di kawasan selamat tanpa sebarang musuh untuk dilawan. Ini jugalah tempat untuk anda berinteraksi dengan penduduk, menyelesaikan misi pilihan atau akses kemudahan yang ada. Lama kelamaan anda akan mempunyai akses untuk beberapa perk baru sambil membina hubungan yang rapat dengan penduduk di situ. Setiap pedagang utama di situ mempunyai level Affinity yang boleh dinaikkan sehingga Level 3 untuk membuka produk baru termasuklah Design PAttern untuk menghasilkan kostum yang cool dan seksi.
Untuk Wasteland pula, terdapat banyak rahsia, cabaran, harta dan bahan yang boleh dicari sambil melakukan misi. Tetapi kawasan ini mempunyai banyak raksasa yang senang perasan kehadiran anda. Bukan setakat itu sahaja, ia akan mengejar anda tanpa henti, jadi anda boleh cuba melarikan diri dengan berehat di Camp apabila sudah berada dalam keadaan kritikal. Anda juga kadang-kadang akan terjumpa dengan cabaran platforming yang kami rasa tidak begitu ngam dengan game ini kerana kawalannya yang kurang responsif untuk pelbagai gerakan.
Game ini juga menawarkan pelbagai puzzle dan cabaran yang direka dengan cukup baik. Tidak kiralah puzzle standard atau sesuatu yang berskala besar, tiada satu pun daripadanya mempunyai mekanik yang sama. Ini memberikan pengalaman baru kepada pemain malah sesuatu yang kreatif dan menyeronokkan daripada pembangun.
Combat
Sejujurnya kami kurang selesa ketika combat kerana kawalan gameplay Stellar Blade. Kami telah nyatakannya dalam preview yang lalu dan nasib baik kawalannya lebih baik berbanding versi demo. Tetapi apabila berada dalam situasi yang lebih sengit seperti menantikan serangan hendap atau melakukan maneuver tepat, kawalannya tidaklah responsif 100%. Terdapat beberapa serangan dan pergerakan yang anda tidak boleh hentikan animasinya. Jadi pertahanan EVE terdedah pada tempoh tersebut.
Kami faham ia mungkin direka untuk mengimbangi faktor risiko dna ganjaran, tetapi dengan memberi pemain peluang untuk hentikan animasi atau pergerakan pada bila-bila masa akan memberikan pengalaman yang lebih baik, tetapi lebih penting ia membuatkan pengalaman combat lebih fleksibel. Melihat perubahannya daripada versi demo, tidak disangkal lagi bahawa game ini mempunyai potensi yang hebat dengan beberapa perubahan yang mungkin diberikan padanya pada masa akan datang.
Seperti yang kami ceritakan, EVE merupakan robot tempur, jadi dia dilengkapi dengan senjata seperti pedang yang boleh menjadi aksesori getah rambut. Pedang itu juga menjadi asas untuk membina gaya combat EVE dengan banyak skill untuknya. Anda boleh melakukan serangan normal, serangan berkuasa, kombo antara kedua-dua serangan itu serta skill utama yang boleh digunakan selepas mengumpul kuasa mencukupi. Terdapat juga serangan khas yang berfungsi untuk merapatkan jarak dan bertukar menjadi serangan berterusan untuk memberi damage pada pertahanan musuh.
Pergerakan yang lain adalah seperti mengelak atau menghalang serangan, lompat, parry dan menjangka serangan maut yang terasa puas jika berjaya melakukannya. Beberapa daripadanya memerlukan timing yang betul, terutamanya parry sempurna dan mengelak yang anda boleh counter dengan serangan balas yang menjadikan musuh lemah. Bolehlah anda menyerangnya bertubi-tubi dengan kombo. Teknik ini agak mencabar untuk dimahiri, lebih-lebih lagi dengan isu kawalan gameplay yang kami sebutkan awal tadi.
Semakin jauh anda progress dan mendapat akses kepada lebih banyak sklii baru, kedalaman combat menjadi lebih ketara. Inilah masanya untuk anda mengambil pelunag untuk memahirinya dalam mode training. Anda juga akan dipakaikan dengan pilihan serangan jarak jauh melalui dron Adam. Ia boleh jadi agak berguna untuk menjauhkan jarak anda daripada gerombolan raksasa yang sukar dijangka.
Satu lagi yang kami sedar, Stellar Balde mempunyai sedikit rasa seperti game souslike tetapi tahap kesukaran game ini tidaklah begitu brutal dan hanya boleh terasa apabila melawan boss tertentu seperti Elite/ Alpha Naytiba. Jika anda melakukan kesilapan yang menyebabkan EVE mati, game ini akan memberi anda peluang untuk restart daripada checkpoint tanpa sebarang kerisauan dalam game souslike.
EVE
Dengan reka bentuknya yang menarik perhatian serta seksi, boleh dikatakan bahawa EVE merupakan salah satu titik jualan terkuat untuk kebanyakan pemain. Bukan setakat itu sahaja, protagonis kita ini juga memainkan perannya dengan begitu baik.
Tidak seperti wataknya yang pertama kali diperkenalkan dan nampak seperti tidak mampu mengekalkan kestabilan mentalnya, dia telah membesar menjadi seseorang yang lebih tabah, dipercayai dan tidak teragak-agak untuk memberikan bantuan dan membina persahatan dengan sesiapa sahaja tanpa mengharapkan balasan. Walaupun jarang ditunjukkan, dia juga mempunyai sisi yang lebih comel. Kadangkala dia juga kelihatan hambar tetapi terdapat benda menarik pada perwatakannya yang anda boleh selami sepanjang game, terutamanya semasa main side quest daripada NPC, yang direka dengan cukup baik dengan ada beberapa daripadanya mempunyai jalan cerita tersendiri.
Rekaan EVE yang seksi juga boleh dikatakan sedap untuk mata memandang malah berada dalam batas realistik kerana modelnya mengikut imbasan daripada imbasan badan model Korea, Shin Jae-eun. Tidak kiralah dalam cutscene, combat mahupun bahagian lain gameplay, Stellar Blade tidak pernah gagal untuk mempamerkan EVE pada tahap terbaiknya. Jika anda tidak begitu berkenan pada wataknya, ada banyak pilihan penyesuaian untuk menjadikan EVE lebih menarik pada mata anda sendiri.
Penyesuaian
Game ini membahagikan penyesuaian kepada dua, di mana anda boleh maksimumkan kebolehan combat EVE dan fokus pada penampilan melalui kostum dan aksesori.
Untuk meningkatkan kebolehan combat EVE, anda boleh pilih kombinasi antara dua peralatan utama. Pertama adalah Exospine untuk menentukan gaya combat dengan bonus tetap yang boleh dibuka dengan upgrade. Seterusnya adalah Gear yang memberikan bonus tetap mengikut rarity. Anda boleh upgrade slot untuk setiap peralatan dengan mengakses Repair Console di Camp. Anda juga boleh meningkatkan Attack Power, upgrade dron dan membuka banyak skill baru yang dibahagikan kepada lima kategori dengan menggunakan SP yang boleh didapatkan melalui grind.
Untuk fesyen pula, game ini memberi barisan kostum yang mudah untuk didapatkan, antara caranya adalah upgrade affinity daripada pelbagai pedagan atau pergi lakukan aktiviti penerokaan. Pada mulanya anda hanya mendapat Design Pattern kerana setiap kostum perlu dihasilkan sendiri oleh anda melalui Repair Console. Anda juga perlukan tiga bahan utama untuk menghasilkannya. Berita baiknya, bahan-bahan ini mudah didapatkan dan anda juga boleh membelinya dengan harga yang murah. Sebagai tambahan pada rekaan kostum yang seksi dan cool, anda juga boleh mencantikkan EVE dengan aksesori tambahan seperti menukar gaya rambut di salon. Banyak kali juga kami mengubah penampilan EVE sepanjang bermain.
Prestasi PS5, Muzik dan Ciri yang hilang
Memandangkan game ini dibangunkan sebagai game eksklusif PlayStation 5, sudah tentu ada jangkaan untuk Stellar Blade optimum sebaik mungkin pada platform tersebut. Daripada segi teknikal, kami menjumpai bahawa game ini sangat optimum tanpa sebarang bug yang kami jumpai. Game ini menawarkan tiga pilihan mode grafik iaitu Prioritize Performance, Balanced dan Prioritize Resolution. Selalunya kami akan pilih mode dengan paparan grafik terbaik tetapi hanya untuk Stellar Blade, kami sudah cukup puas hati dengan mode Balanced yang masih menawarkan grafik yang menawan serta FPS yang lancar.
Game ini juga mengambil kesempatan pada ciri-ciri PS5 seperti Adaptive Trigger dan Haptic Feedback, tetapi masa loading sedikit perlahan apabila bergerak antara wilayah utama. Tetapi jika anda masih dalam satu kawasan, masa loading memang pantas.
Kami memang sangat suka pada soundtrack game dan kudos kepada pasukan audio SHIFT UP dan studio MONACA yang mix muzik untuk game ini. Tidak kira dalam mana-mana situasi, semua soundtrack memang sesuai habis. Jika soundtrack ini dijual atau tersedia di platform streaming muzik lain, kami pasti akan mendengarnya berulang-ulang.
Sayangnya, game ini tiada Photo Mode, membuatkan kami susah untuk mendapatkan screenshot yang baik kerana HUD game tidak hilang sepenuhnya. Untuk game yang memberikan perhatian pada kecantikan watak, Stellar Blade tidak menyediakan ciri penting ini malah library game juga tidak lengkap kerana tiada model viewer. Perkara lain yang mengecewakan kami adalah, game ini mengunci tahap kesukaran Hard Mode setelah menyelesaikannya sekali, yang kami fikir sepatutnya disediakan dari awal untuk pengalaman gaming yang lebih memuaskan, terutamanya memandangkan Normal Mode rasa terlalu mudah buat kami.
Kesimpulan
Untuk sebuah pembangun game mobile yang menghasilkan game AAA seperti Stellar Blade sememangnya mengagumkan kami. Kualiti yang ditawarkan bukanlah biasa-biasa malah beberapa aspek game turut melangkaui jangkaan kami. Walaupun begitu, combat game ini seperti mahu gabungkan rasa soulslike padanya, ia tidka mencapai standard kami terutamanya pada rasa responsif dan fleksibiti pada kawalan gameplay.
Kami juga agak kecewa dengan kesukaran yang ditawarkan pada awal game tetapi ini juga merupakan pilihan terbaik buat pemain baru yang cba membiasakan diri dengan kawalan tanpa terbeban dengan senario combat yang sangat sengit. Stellar Blade mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri yang saling melengkapi, contohnya, walaupun kami tidak begitu suka pada jalan cerita utamanya, game ini mempunyai variasi side quest dengan cerita tersendiri untuk dinikmati. Ia juga sesuatu yang cukup menarik malah memberi ganjaran pada pemain.
Dengan Stellar Blade menjadi debut kepada SHIFT UP untuk pasaran game AAA, ia satu karya yang boleh dibanggakan dan harap mereka boleh belajar lebih banyak daripada game ini untuk hasilkan game yang lebih hebat pada masa akan datang.
Stellar Blade akan dilancarkan pada 26 April 2024 secara eksklusif di PS5. Untuk membaca segala liputan kami berkaitan Stellar Blade, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Stellar Blade
PROS
- Reka bentuk dunia sci-fi yang mengagumkan
- Semi-open world yang dikendalikan dengan baik
- Puzzle dan cabaran yang direka begitu menyeronokkan
- Salah satu game dengan soundtrack terbaik
- Terdapat banyak penyesuaian kosmetik dengan fesyen yang hebat
CONS
- Jalan cerita utama yang mudah dijangka
- Combat mempunyai asas yang kukuh tetapi kawalannya tidak mampu menyokong dengan baik
- Tiadanya beberapa ciri penting seperti Photo Mode
Discussion about this post