Walaupun tidak popular seperti Dragon Ball atau Dr. Slump, Sand Land adalah salah satu karya daripada mangaka legenda Akira Toriyama. Walaupun Sand Land gagal mendapat perhatian semasa diterbitkan pada tahun 2000, karya yang sering dipandang rendah ini nampaknya sedang mengalami kebangkitan yang mengejutkan selepas dua dekad dengan penghasilan anime dan game khas.
Di sini, kami berpeluang untuk mencuba game Sand Land buatan Bandai Namco untuk melihat sama ada ia dapat menepati gembar-gembur di media sosial. Seronok atau tidak? Ayuh kita teruskan ke bahagan ulasan.
Jalan Cerita

Bagi mereka yang tidak tahu, Sand Land ialah siri manga pendek yang ditulis dan diilustrasikan oleh Akira Toriyama. Ia mula disiarkan dalam Weekly Shonen Jump dari 22 Mei hingga 28 Ogos 2000 dan terdiri daripada 13 bab dan 1 epilog.
Pada masa hadapan yang jauh, 50 tahun penuh bencana alam dan peperangan telah memusnahkan sebahagian besar Bumi, lalu meninggalkan tanah tandus yang dipanggil Sand Land. Sungai yang dahulu membekalkan air telah lama kering, dan bekalan air kini dikawal oleh seorang raja yang tamak.
Tanah terbiar kini didiami oleh manusia dan syaitan, yang hidup dengan aman bersama. Memandangkan botol air yang dijual oleh kerajaan raja semakin mahal untuk dibeli oleh rakyat, penduduk Sand Land sentiasa dahaga dan mula merompak antara satu sama lain untuk mendapatkan air dan wang.
Bosan dengan ketamakan raja, syerif tua Rao pergi mencari tasik yang telah lama hilang. Dia memberitahu Beelzebub, anak raja syaitan, tentang kewujudan tasik misteri itu yang mungkin dapat menyelamatkan penduduk Sand Land. Bersama-sama dengan syaitan bijak bernama Thief dan Ann, seorang mekanik berbakat dengan masa lalu yang misterius, mereka berempat pergi mencari Legendary Spring.

Kami akan menjadi watak utama – putera Beelzebub, yang memulakan perjalanan bersama teman-teman untuk mencari “Legendary Spring”. Sepanjang perjalanan, Beelzebub akan menjalani pelbagai ujian dan cabaran, lalu berubah menjadi wira boleh dipercayai yang menyelamatkan sumber air manusia. Bagaimanapun, mencari sumber air baharu tidaklah mudah; kerana perjalanan penuh dengan kesukaran dan bahaya. Tidak kira padang pasir yang panas, haiwan liar, penyamun jahat, atau “Royal Army” yang menggerunkan, semua ini akan menghalang kumpulan protagonis daripada mencapai matlamat mereka.

Oleh itu, kita perlu belajar dalam perjalanan, mengalahkan musuh untuk mendapatkan pengalaman, sumber dan item untuk menguatkan watak dan kenderaan. Hanya dengan berbuat demikian barulah kita boleh mengatasi halangan dan berjaya mencari sumber air baharu.

Game ini mengikuti alur cerita manga tetapi juga mengandungi perspektif baharu yang belum pernah dilihat sebelum ini yang dicipta oleh Toriyama untuk anime. Bahan ini mengembangkan lagi jalan cerita dan merupakan antara projek terakhir yang diuruskan oleh beliau sebelum meninggal dunia.
Gameplay
Jalan Cerita Utama, Misi Sampingan dan Aspek Open World

Seperti ARPG tipikal, game ini menampilkan jalan cerita utama bersama dengan pelbagai “side quest”. Dengan melengkapkan misi daripada demon dan manusia, dan meningkatkan populasi “Spino Town” untuk membangunkan kubu kuat, anda boleh memperoleh “blueprint” untuk kenderaan baharu serta membangunkan atau mengukuhkan komponen mesin.

Peta adalah dunia terbuka di mana kita boleh memandu sebarang kenderaan atau berkeliaran di atas “Raptor” (sejenis haiwan dalam game). Terdapat pelbagai haiwan liar atau musuh yang boleh dikalahkan, yang akan menjatuhkan bahan, exp, item dan banyak lagi selepas dikalahkan. Di seluruh peta, terdapat peti harta karun tersembunyi untuk dijumpai, yang turut mengandungi bahan, senjata, aksesori dan item lain.

Pada masa yang sama, terdapat juga beberapa aktiviti lain:
Rescue Quest: akan melibatkan kita menyelamat NPC yang dikurung oleh musuh dan memberi ganjaran mata wang, item, atau mungkin penduduk bandar baharu. Anda akan menemui misi ini di seluruh dunia.
Ruin: ini ialah lokasi yang anda akan temui semasa meneroka atau didedahkan selepas membaiki “radio tower”.
Cave: ini ialah lokasi yang mengandungi beberapa peti harta karun dan mungkin “diary entry” yang boleh dikumpulkan. Sesetengah akan memerlukan kereta kebal yang dilengkapi dengan senjata yang mampu memecahkan batu untuk diakses.
Sistem Pertempuran

SIstem pertempuran secara amnya boleh dibahagikan kepada dua jenis: pertempuran kenderaan dan pertempuran tangan. Pertempuran kenderaan adalah kaedah yang lebih diberi fokus, dan menawarkan pendekatan yang mudah dan pantas dalam pertempuran. Pertempuran kenderaan memerlukan lebih sedikit perancangan kerana kekuatan dan kelemahan setiap kenderaan.

Kereta kebal ialah kenderaan yang solid dan boleh menguruskan kebanyakan musuh dalam kebanyakan persekitaran, terutamanya jika “loadout” senjata dinaik taraf dan anda mempunyai “loadout” support yang kukuh. Kelebihannya adalah pertempuran jarak tengah hingga jarak jauh. Walau bagaimanapun, ia agak perlahan yang bermaksud musuh yang lebih kecil dan lincah mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk ditewaskan. Ini boleh mengakibatkan damage yang besar pada kenderaan anda terutamanya jika musuh berada dalam jarak dekat.

Kereta lebih tangkas tetapi menyebabkan damage yang lebih sedikit berbanding kereta kebal, tetapi gerakannya membolehkan kenderaan ini menyerlah dalam pertempuran jarak dekat menentang musuh yang pantas. Sesetengah variasi juga akan memberi lebih banyak pilihan mobiliti kerana variasi “hover” membolehkan anda bergerak di atas air dan pasir tanpa hilang banyak kelajuan.
Motosikal dan variannya ialah kenderaan terpantas dalam game namun ia tidak boleh melakukan atau menerima sebanyak damage seperti kenderaan lain, jadi ini lah kenderaan yang paling sesuai untuk penerokaan. Sebagai bonus, kelajuan tinggi motosikal membolehkan kita melompat melepas jurang dengan mudah.

Sut Bot (boleh disamakan dengan exosuit) menampilkan pelbagai jenis lompatan dan pilihan pertempuran dan mempunyai kekuatan perisai dan kuasa ala kereta kebal dan kereta tetapi bersama kelajuan motosikal. Ia juga menampilkan kebolehan unik seperti melompat untuk membolehkan kita mencapai kawasan baharu atau mengangkat objek/halangan yang boleh membuka kepada laluan baharu.

Dalam pertempuran tangan, kita akan mengawal Beelzebub, dan menggunakan kebolehan istimewanya untuk mendapat kelebihan dalam pertempuran. Cuma perlu diingatkan, kemahiran mengelak amat penting untuk menang dalam pertempuran jarak dekat. Tambahan pula, pelaburan strategik dalam “skill” membolehkan anda meminta sokongan daripada teman-teman apabila diperlukan. Pemain mempunyai fleksibiliti untuk menukar skill antara pertempuran, demi memastikan loadout sentiasa boleh diubah suai semasa meneroka pelbagai senario.
Bagi saya sendiri, pengalaman pertempuran agak lancar, terutamanya kerana kami boleh bertukar antara pelbagai mode pengangkutan, dan membolehkan kami mengalami beberapa gaya pertempuran yang berbeza.
Sistem Upgrade

Menaikkan level Beelzebub agak “straightforward” jadi pilihlah abiliti yang sesuai dengan gaya permainan anda. Satu lagi info adalah barisan bawah di grid abilitinya menampilkan upgrade bagus kepada serangan khasnya yang amat berguna dalam mana-mana keadaan.
Menaikkan level seluruh teman-teman memberi banyak fleksibiliti untuk pelbagai perkara termasuk menyokong gaya permainan yang berbeza mengikut pilihan pemain. Ini berdasarkan ahli parti mana yang anda melabur pada permulaan permainan.

Jika anda menggemari gaya pertempuran yang lebih agresif, jadi anda perlu melabur dalam abiliti Rao daripada awal lagi. Dia mempunyai empat skill aktif yang membolehkan dirinya bertarung musuh secara aktif. Selain itu, skill aktif “Rao’s Orders” meningkatkan kuasa serangan kenderaan Beelzebub buat sementara waktu. Kemahiran pasifnya menyerlahkan kemahiran aktifnya dan juga membolehkannya memintas musuh semasa pertempuran tangan ke tangan.
Kemahiran Thief lebih tertumpu pada “looting” dan pengumpulan bahan, yang membolehkan anda mempunyai bahan dan wang untuk mencipta dan menaik taraf kenderaan. Kemahiran pasifnya adalah bahagian paling bagus kerana ia meningkatkan jumlah wang, kualiti item dan jumlah barang yang dijatuhkan oleh musuh. Semestinya, skill ini sangat berguna sepanjang keseluruhan permainan.

Ann, yang hanya dapat diakses pada bahagian akhir permain, mempunyai kemahiran yang memfokuskan pada sokongan, khususnya untuk kenderaan. Empat skill aktifnya memberikan peningkatan besar kepada kenderaan aktif Beelzebub yang boleh mengubah arus perlawan dalam situasi genting. Skill pasifnya meningkatkan pemulihan nyawa untuk teman-teman dan mengurangkan cooldown abiliti kenderaan. Ini pun sangat penting dan dapat mengubah arus perlawan semasa “boss fight”.

Upgrade kenderaan akan berubah apabila senarai mesin bertambah tetapi pemain akan sentiasa mahu kereta kebal yang besar untuk boss fight, motosikal untuk penerokaan, jump bot untuk mencapai tempat tinggi, battlebot untuk membantu mengalihkan kontena dan hover car untuk menyeberang jenis rupa bumi tertentu. Upgrade pada bahagian ini pada mulanya memerlukan sejumlah bahan dan mata wang (itulah sebabnya saya sarankan untuk melabur dalam skill Thief) tetapi apabila anda semakin jauh dalam game, anda akan mula memerlukan senjata khusus di level tertentu sebagai komponen untuk “craft/upgrade”.

Upgrade kepada bandar (town) berbaloi untuk dilaburkan lebih awal supaya mendapat asas kukuh yang boleh dibina kemudian dalam permainan. Sumber utama untuk menaikkan level bandar adalah daripada NPC yang telah berpindah masuk, serta membuka kedai. Kedua-dua misi untuk memindahkan NPC di bandar dan kedai yang mereka buka akan menjadi sumber tidak ternilai untuk mendapatkan bahan atau senjata yang diperlukan untuk menaikkan level kenderaan. Sebaik sahaja kedai dibuka di bandar, pastikan anda jenguk mereka semula kerana NPC kadangkala akan mempunyai beberapa permintaan yang, apabila dipenuhi, akan meningkatkan stok mereka dengan bahan atau barang lebih berguna.
Peta
Radio Tower adalah kunci untuk meneroka peta secara menyeluruh. Setiap wilayah dalam game Sand Land akan mempunyai satu Radio Tower di suatu tempat. Mencari Radio Tower dan membaikinya akan menambahkan lebih banyak info pada peta anda berkenaan tempat menarik dan lokasi penting seperti runtuhan atau penempatan.

Water supply point juga tidak ternilai penting. Berinteraksi dengannya akan membuka banyak titik fast travel untuk pemain, lalu lebih mudah untuk singgah di mana-mana bandar yang anda ingin bagi menambah bekalan atau menaikkan level kenderaan.
Pendapat

Secara ringkas, Sand Land ialah “action role-playing” game di mana pemain mengawal protagonis yang dapat memandu pelbagai jenis kenderaan dan mesin di atas peta luas berlatarkan dunia yang dihidupkan dalam gaya Akira Toriyama. Sejujurnya, saya sendiri rasa seperti seperti ini game memandu, kerana menghabiskan banyak masa dalam kenderaan berbanding di darat. Ini menunjukkan betapa pentingnya elemen kenderaan dalam game ini.
Pemain yang tahu dengan manga, filem atau anime original mungkin akan mendapati peringkat awal agak membosankan, kerana plot mengikuti trajektori yang serupa dan tertumpu terutamanya pada tutorial.

Tetapi rasa bosan itu akan hilang dengan cepat setelah kita mendalami game. Game ini memperkenalkan Ann pada fasa yang lebih awal, sedangkan watak ini muncul kemudian dalam anime. Game ini juga menambah segmen “Forest Land” yang tidak wujud dalam karya asal, jadi plotnya terasa lebih fresh di fasa pertengahan. Pemain yang belum melihat karya original atau filem tidak akan menghadapi isu ini dan boleh menikmati game seolah-olah menonton anime, meneroka dunia yang tidak dikenali sambil menikmati jalan cerita.

Satu aspek yang saya gemari terutamanya dalam game ialah keupayaan protagonis untuk memandu pelbagai jenis kenderaan, merentasi rupa bumi yang berbeza, yang benar-benar meningkatkan keseronokan permainan. Sesetengah rupa bumi memerlukan kita untuk melompat, jadi pemain perlu beralih kepada jumpbot. Ini “memaksa” kami untuk menggunakan kenderaan tertentu, dan secara tidak langsung memperkayakan pengalaman permainan. Selain itu, setiap kenderaan mempunyai kaedah serangan yang berbeza, dan pemain juga boleh mengubah suai setiap satu. Membuka kenderaan baharu memberikan pengalaman baharu sepenuhnya, lalu meningkatkan rasa keunikan.

Walau bagaimanapun, dari segi gameplay, ia mengikut format ARPG yang sangat standard, dan tidak mempunyai elemen gameplay yang sangat inovatif, lantas memberikan pengalaman yang agak konvensional.
Game Sand Land akan dikeluarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series, PlayStation 4 dan PC melalui Steam pada 26 April di seluruh dunia. Demo tersedia sekarang dan saya amat berterima kasih kepada Bandai Namco Entertainment Asia kerana memberi peluang untuk review game ini di PS5.
@gamersantaimy
The Review
Sand Land
Secara ringkas, Sand Land ialah ARPG di mana pemain mengawal protagonis yang dapat memandu pelbagai jenis kenderaan dan mesin di atas peta luas berlatarkan dunia yang dihidupkan dalam gaya Akira Toriyama. Sejujurnya, saya sendiri rasa seperti seperti ini game memandu, kerana menghabiskan banyak masa dalam kenderaan berbanding di darat. Ini menunjukkan betapa pentingnya elemen kenderaan dalam game ini. Walau bagaimanapun, dari segi gameplay, ia mengikut format ARPG yang sangat standard, dan tidak mempunyai elemen gameplay yang sangat inovatif, lantas memberikan pengalaman yang agak konvensional.
PROS
- Jalan cerita yang menarik, sama seperti menonton anime
- Unsur plot tambahan yang tidak ditemui dalam karya atau filem original
- Pelbagai kenderaan tersedia dalam game, dengan pilihan customization luas
- Banyak misi utama dan misi sampingan, yang menawarkan banyak elemen gameplay
- Pengalaman pertempuran yang sangat lancar, terutamanya apabila bertukar antara pelbagai mode pengangkutan untuk mengalami gaya pertempuran berbeza
CONS
- Bagi pemain yang tahu dengan karya original, peringkat awal mungkin terasa agak membosankan (ini tidak akan menjejaskan mereka yang tidak menonton)
- Selain daripada pertempuran, aspek lain agak konservatif, dan tidak mempunyai bahagian yang benar-benar kreatif
Discussion about this post