Hari ini, SEGA telah berkongsi butiran lanjut tentang Sonic X Shadow Generations, yang akan dikeluarkan pada 25 Oktober 2024 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Nintendo Switch, Xbox Series X|S, Xbox One, Steam dan Epic Games Store.
Khususnya, kami dapat belajar lagi mendalam tentang perkara yang ditawarkan dalam Shadow Generations, dan Sonic Generations serba baharu, termasuk info tentang jalan cerita, watak-watak penting, gameplay umum, dan beberapa stage utama.
Shadow Generations

Secara am, kita akan bermain sebagai Shadow the Hedgehog dalam story campaign serba baharu yang berlangsung dalam dunia misteri.
Black Doom—musuh kepada Shadow—telah muncul semula. Apabila sejenis petanda mengacau memori Shadow, dia mesti mengenang masa lalu termasuk perjalanannya ke Space Colony ARK. Apa yang menantinya ialah ancaman jahat yang hanya dia boleh hentikan.

Game kali ini akan menampilkan Chaos Control, iaitu kemahiran ikonik Shadow. Dalam situasi tertentu, anda boleh mengaktifkan pergerakan berkelajuan tinggi yang membolehkan Shadow mengambil laluan yang mustahil. Gunakan abiliti ini untuk menghentikan masa di sekeliling anda, melarikan diri daripada bahaya atau cari laluan tersembunyi!

Satu contoh ialah Chaos Spear, di mana Shadow boleh melontarkan lembing bertenaga yang boleh menghentikan dan melumpuhkan serangan musuh atau mengaktifkan mekanisme.
Selain Chaos Control, Shadow boleh memanfaatkan Doom Powers, iaitu sejumlah kebolehan baharu untuk melawan gerombolan musuh, meluncur di atas air dan terbang melepasi halangan.

Bersama semua kebolehan ini, Shadow harus menghadapi Space Colony ARK – salah satu stage dengan tarikan graviti yang unik, susun atur yang rumit dan turet peluru berpandu. Berasal daripada game Sonic Adventure 2 dan Shadow the Hedgehog, stage ini direka untuk memberi pengalaman yang lebih menarik daripada dahulu.
Salah satu bos yang boleh ditemui ialah Biolizard – salah satu musuh yang Shadow pernah hadapi dalam Sonic Adventure 2 . Kini lebih kuat, Biolizard boleh menumbuhkan dua tangan bioorganik gergasi untuk menyerang anda! Sebagai tips, anda boleh menggunakan Chaos Spear untuk bertahan daripada serangan Biolizard.

Sonic Generations
Alam semesta Sonic menjadi huru-hara apabila sejenis entiti jahat mencipta lubang cacing yang menyesatkan Sonic dan rakan-rakannya di ruang masa yang berbeza. Selepas tiba di landskap tanpa warna, dia bertemu dengan beberapa wajah yang dikenali dari masa lalu—termasuk versi dirinya yang lebih muda.

Bersama-sama, Classic Sonic dan Modern Sonic harus melalui pelbagai level 2D dan 3D ikonik dari sejarah untuk memulihkan alam semesta, menyelamatkan rakan-rakan dan mengalahkan musuh mereka!
Sebagai Modern Sonic, anda mempunyai semua jenis pergerakan yang boleh digunakan. Dengan Homing Attack dan Boost, hadapi segala level yang menggabungkan 2D scrolling dengan pergerakan 3D.

Sebagai Classic Sonic, anda akan berlari, melompat dan berguling melalui pelbagai level 2D daripada sejarah lama, kini dengan visual yang dikemas kini dan sinematik yang diolah semula.
Misi utama adalah untuk mengalahkan Time Eater, makhluk hitam misteri yang memakan ruang dan masa, dan juga entiri yang menyebabkan masalah ini. Classic Sonic dan Modern Sonic mesti mengalahkannya untuk memulihkan alam semesta dan menyelamatkan semua orang!

Pemain juga akan melawat semula level paling ikonik dalam sejarah Sonic, iaitu Green Hill Zone. Merupakan level pertama dalam game original Sonic the Hedgehog, versi ini telah dicipta semula dengan grafik dan visual yang lebih berkualiti tinggi.

Pada masa yang sama, SEGA turut memuat naik video khas yang memberikan pandangan lebih intim kepada kandungan Collector’s Edition! Berikut adalah videonya:
Untuk maklumat tentang pre-order, anda boleh rujuk artikel kami di SINI!
@gamersantaimy
Discussion about this post